Selasa, 26 April 2022 | 11:00am
Gambar hiasan/NSTP/Mikail Ong
Gambar hiasan/NSTP/Mikail Ong

Bidang maritim tawar belia peluang kerjaya baharu

Industri maritim melalui sektor pelabuhan dan perkapalan adalah nadi utama perdagangan dunia dan dianggarkan lebih 85 peratus daripada kargo antarabangsa diangkut melalui pengangkutan laut.

Menurut statistik dikeluarkan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) pada 2021, dianggarkan hampir 55,000 kapal dagang melaksanakan urus niaga pada peringkat antarabangsa.

Di Malaysia, sektor pengangkutan dan logistik menjadi tulang belakang pertumbuhan ekonomi negara yang membolehkan pergerakan penumpang serta barang yang cekap merentasi sempadan global sehingga ke sampai ke destinasi.

Menurut statistik Jabatan Perangkaan bagi 2021, sektor pengangkutan menyumbang sebanyak 2.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan eksport serta import masing-masing melonjak kepada 13.3 peratus dan 14.6 peratus.

Berdasarkan kepada senario semasa, pembukaan sempadan Malaysia sejak 1 April lalu meningkatkan jaringan ekonomi perdagangan intra serantau dan global. Hal ini membuktikan industri maritim pemboleh daya penting untuk pembangunan ekonomi negara.

Justeru, kemudahan pelabuhan laut, pelabuhan kering dan jaringan pengangkutan dan logistik yang menjadi barisan hadapan dalam industri maritim menawarkan peluang kerjaya cerah kepada golongan belia.

Selari dengan Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 yang menitikberatkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang maritim, kebolehpasaran graduan maritim pada peringkat negara adalah 71.8 peratus pada tahun 2017, meningkat kepada 73.4 peratus pada tahun 2018, 2019 (83.4 peratus) dan 82.7 peratus pada tahun 2020.

Dalam pada itu, merujuk kepada unjuran guna tenaga negara terkandung di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) (2021-2025), terdapat peratus peningkatan guna tenaga dalam skop pengurusan dan profesional serta kebolehpasaran graduan dalam bidang maritim.

Sebagai universiti mempunyai visi 'Universiti Berfokus Marin Terunggul dalam Negara dan Disegani di peringkat Global', Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memainkan peranan utama dalam menjadi pusat pembelajaran dan penyelidikan ulung bagi menyumbang ke arah pembangunan modal insan dan penerokaan ilmu bagi bidang maritim negara.

UMT melalui Fakulti Pengajian Maritim komited mengembangkan bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik agar selari dengan matlamat pembangunan lestari atau Sustainable Development Goals (SDG); Hidupan di Lautan (SDG-14) dan Matlamat Pendidikan Berkualiti (SDG-4),

UMT menawarkan program peringkat ijazah dalam bidang Pengurusan Maritim, Operasi Maritim dan Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim serta program baharu pada peringkat ijazah lanjutan khusus dalam bidang maritim (iPhD).

Program iPhD adalah program kontinum dan berstruktur yang mana fokus dan pendekatan utama adalah pembelajaran sepanjang hayat dengan kerangka kurikulum direka adalah fleksibel dan mengikut kehendak industri.

Pemilihan bidang yang tepat itu untuk memberi jaminan kerjaya masa hadapan dan seterusnya mengelakkan berlaku pengangguran selepas tamat pengajian. Peluang keemasan untuk membina karier dan mencipta nama sebagai seorang eksekutif dalam bidang maritim perlu direbut oleh belia mengambil kira faktor keperluan semasa dalam industri maritim di dalam dan luar negara.

Penulis adalah Dekan, Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu

Berita Harian X