Selasa, 29 March 2022 | 10:15am
Penyelidik UPM menawarkan kepakaran dalam projek penyelidikan makanan alternatif untuk ayam guna larva serangga, black soldier fly. - Foto hiasan
Penyelidik UPM menawarkan kepakaran dalam projek penyelidikan makanan alternatif untuk ayam guna larva serangga, black soldier fly. - Foto hiasan

Iktiraf pakar tempatan selesai masalah pelbagai bidang

Malaysia memiliki 20 universiti awam (UA) dan ratusan universiti serta kolej swasta di samping pelbagai institusi penyelidikan di bawah agensi kerajaan. Soalnya, sejauh mana kita benar-benar memanfaatkan semua kepakaran untuk membangunkan rakyat dan negara, termasuk menangani pelbagai isu timbul kesan pandemik COVID-19.

Isu ini cukup kritikal untuk diperhalusi kerana adalah merugikan andai kepakaran dimiliki gagal digembleng, lebih parah jika kita mengutamakan kepakaran luar tanpa memberi peluang secukupnya kepada pakar tempatan.

Diakui banyak sumbangan diberikan pakar tempatan, namun ia masih belum sampai ke tahap optimum. Akibatnya, banyak hasil kajian penyelidik tempatan sekadar tersimpan di makmal dan hanya mampu diterbitkan dalam jurnal atau buku.

Hakikatnya, kajian berkenaan menghasilkan pelbagai penemuan inovasi dan idea baharu menggunakan geran atau dana daripada kerajaan. Justeru, hasil ditemukan wajar diguna pakai untuk menyelesaikan masalah rakyat serta negara.

Contohnya, penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) menawarkan kepakaran dalam projek penyelidikan makanan alternatif untuk ayam menggunakan larva serangga, black soldier fly (BSF) yang boleh digunakan menggantikan kacang soya sebagai sumber protein dalam dedak ayam.

Ini dapat menawarkan penyelesaian isu kenaikan harga ayam untuk jangka panjang kerana pakar UPM juga menyarankan penggunaan hampas isirung kelapa sawit (PKC) diproses sebagai makanan ayam, menggantikan karbohidrat dalam kacang soya dan jagung.

Sebelum ini, kerajaan juga mengumumkan sedang membangunkan vaksin sendiri untuk melawan pandemik COVID-19, melalui kerjasama Institut Kajian Perubatan (IMR) dengan UPM.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) baru-baru ini, melancarkan Pakej Mekanisasi Tanaman Kubis Tanah Rendah bagi meningkatkan pengeluaran hasil serta menjimatkan kos buruh pengusaha ladang. Kejayaan itu membantu ke arah peningkatan pengeluaran, pendapatan dan taraf hidup petani serta jaminan bekalan dalam sektor pertanian serta makanan.

Jelas, negara ada pakar boleh membantu menyelesaikan pelbagai masalah dalam pelbagai bidang termasuk pertanian, sains, teknologi, perubatan, ekonomi mahupun sosial.

Bilangan pakar khususnya berkelayakan ijazah doktor falsafah (PhD) cukup ramai dan mereka mampu membantu memulihkan negara serta mensejahterakan kehidupan rakyat melalui idea dan inovasi baharu.

Oleh itu, agensi kerajaan perlu kerap mengadakan sesi libat urus dengan pakar tempatan berdasarkan permasalahan dihadapi dengan cara mendekati dan mendengar pandangan serta idea mereka sebelum membuat sesuatu keputusan terutama dalam membangunkan dasar penting.

Dalam konteks ini, kerajaan wajar menyediakan dana mencukupi untuk penyelidik tempatan melaksana lebih banyak lagi kajian bagi menghasilkan inovasi dan penyelesaian yang diperlukan.

Universiti dan agensi penyelidikan sedia ada sepatutnya dijadikan makmal atau platform mengkaji semua permasalahan, sekali gus mencari penyelesaian terbaik dengan menggunakan pendekatan nilai untuk wang atau value for money.

Semua agensi kerajaan wajar menjadikan pakar tempatan sebagai rakan karib dan pakar rujuk yang boleh membantu memberi bimbingan dan nasihat. Jangan sia-siakan kepakaran anak tempatan apatah lagi membiarkan mereka berhijrah ke luar negara hingga menimbulkan gejala 'brain drain' atau penghijrahan cendekiawan.

Tiba masanya kerajaan mengiktiraf dan menghargai peranan pakar tempatan dengan mengadakan lebih banyak sesi libat urus, mendengar pandangan dan idea, menyediakan dana untuk projek penyelidikan berimpak tinggi serta melaksanakan secara serius idea dan inovasi yang ditemukan.

Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X