Sabtu, 19 March 2022 | 11:01am
Kenaikan kadar gaji minimum dijangka membantu isi rumah meningkatkan lagi keupayaan mereka berbelanja dan membeli. - Foto hiasan
Kenaikan kadar gaji minimum dijangka membantu isi rumah meningkatkan lagi keupayaan mereka berbelanja dan membeli. - Foto hiasan

Gaji minimum baharu bantu rapat jurang kemiskinan

PERTUMBUHAN ekonomi sangat berkait rapat dengan kadar kemiskinan bagi sesebuah negara. Justeru, apabila kerajaan mahu menyemak semula garis kemiskinan, ia satu pendekatan wajar dilakukan.

Semakan garis kemiskinan bertujuan mengurangkan jurang kemiskinan dalam masyarakat sehingga akhirnya yang kaya menjadi semakin kaya dan miskin menjadi semakin miskin.

Mungkin pelbagai aspek perlu diberi perhatian dalam menangani isu kemiskinan ini, antaranya pendapatan penduduk, peralihan struktur ekonomi, kadar penyertaan guna tenaga, urbanisasi, taburan pekerja profesional dan penyertaan wanita dalam pekerjaan.

Di Malaysia, dengan kadar pertumbuhan ekonomi semakin memberangsangkan walaupun masih berdepan pandemik COVID-19, semakan kadar garis kemiskinan perlu dilakukan memandangkan negara berdepan dengan pelbagai isu yang membolehkan jurang pendapatan semakin melebar dan menyumbang kepada peningkatan kadar kemiskinan.

Kadar pendapatan diguna pakai bagi menentukan kadar kemiskinan setiap rumah adalah RM2,208 sebulan bagi isi rumah miskin dan miskin tegar pula RM1,169.

Apabila COVID-19 menyerang negara, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan banyak aktiviti ekonomi terpaksa ditutup sepanjang ia dilaksanakan. Sepanjang fasa PKP, ramai rakyat kehilangan pekerjaan atau terjejas pendapatan akibat pemotongan gaji oleh syarikat atau majikan.

Walaupun kerajaan memberi moratorium dan membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ia hanya membantu mengurangkan beban rakyat dalam tempoh tertentu saja.

Sumber kewangan terbabit hanya mampu bertahan bagi tempoh singkat terutama mereka yang dibuang kerja dan gaji dipotong majikan.

Akhirnya, mereka tidak mampu menampung perbelanjaan harian dan membayar hutang piutang, sekali gus menyebabkan mereka terjerumus ke dalam kumpulan miskin.

Sementara itu, gaji atau upah rendah yang tidak selari dengan keadaan ekonomi semasa turut memberi tekanan kepada isi rumah untuk berbelanja.

Kenaikan harga barang ditambah pula dengan kadar sara hidup tinggi terutama di bandar besar turut memberi kesan kepada sumber kewangan rakyat terutama ketika menempuh PKP.

Sehubungan itu, apabila penetapan kadar gaji minimum yang baharu bakal dilaksanakan, iaitu sekitar RM1,500 seperti dimaklumkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, ia dijangka memberi kesan kepada kadar kemiskinan rakyat.

Kenaikan kadar gaji minimum dijangka membantu isi rumah meningkatkan lagi keupayaan mereka berbelanja dan membeli, seterusnya memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Di samping itu, ketidaksamaan pembangunan antara wilayah dan negeri atau bandar dan luar bandar juga menjadi satu cabaran kerajaan dalam memastikan kadar kemiskinan dapat dikawal.

Ini dapat dilihat apabila ada sesetengah wilayah atau negeri mempunyai pembangunan pesat, sektor ekonominya melonjak, sekali gus mengukuhkan semula tahap kesejahteraan rakyat.

Walaupun pelbagai inisiatif dilaksanakan, ia masih belum cukup untuk memastikan pembangunan antara wilayah dan negeri adalah seimbang.

Apabila pembangunan dan penumpuan ekonomi hanya tertumpu kepada sesuatu wilayah atau negeri saja, berlaku migrasi tenaga kerja secara besar-besaran dan akhirnya mengakibatkan negeri atau wilayah yang kurang maju kekal miskin susulan kelembapan kegiatan ekonomi.

Apabila negeri atau wilayah kurang maju dan miskin tidak dapat menawarkan peluang pekerjaan yang banyak, sudah pasti ia menyumbang kepada peningkatan kadar kemiskinan dalam negeri atau wilayah berkenaan.

Oleh itu, sebagai sebuah Keluarga Malaysia, kita perlu berganding bahu dalam memastikan isu kemiskinan dan jurang pendapatan ini dapat ditangani dengan berkesan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Puncak Alam, Kampus Selangor

Berita Harian X