Ahad, 23 Januari 2022 | 11:00am
Pemandangan ibu kota dari Dek Pemerhatian Menara Berkembar PETRONAS, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad
Pemandangan ibu kota dari Dek Pemerhatian Menara Berkembar PETRONAS, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad

Negara perlu pusat beli-belah wakaf pacu ekonomi ummah

KUALA Lumpur pernah dinobatkan kota raya membeli-belah keempat terbaik dunia oleh rangkaian berita global CNN sekitar 2012, di belakang kota raya utama dunia iaitu New York, Tokyo dan London.

Kajian CNN menerusi 10 Top Best Shopping Cities in the World adalah berdasarkan empat kriteria diadili iaitu kemudahan bergerak, nilai untuk wang, kepelbagaian dan pengalaman.

Kini selepas 10 tahun berlalu, kompleks beli belah muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, dengan konsep ditonjolkan lebih tertumpu kepada golongan atasan yang lazimnya mempunyai kuasa beli tinggi.

Namun suatu yang menarik direnung apabila negara bukan Islam seperti Thailand membangunkan pusat beli-belah berkonsepkan wakaf. ASEAN Mall berpangkalan di Pattani yang dibina hasil usaha rakyat Malaysia yang turut melabur ini, juga menjadi pusat sehenti produk halal serantau Asia Tenggara.

Ironinya, ini memberi satu lagi harapan buat pembangunan hartanah wakaf negara bagi meneroka pembangunan pusat beli-belah berkonsepkan wakaf pula.

Menjadi kebiasaan, sesebuah pusat beli-belah di Malaysia dibangunkan pemaju terkemuka. Malah, pelaburan dalam sektor hartanah perdagangan kompleks beli-belah menggunakan model Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) yang lama dipraktis, turut merancakkan sektor ekonomi negara.

Cuba bayangkan konsep pelaburan REIT diterapkan kepada kompleks beli-belah wakaf di negara kita. Satu impian berani, tetapi menarik untuk direalisasikan terutamanya bagi memperkasa aspek 'kedermawanan' Islam di bumi Malaysia ini.

Bagaimana kompleks beli-belah wakaf ini akan beroperasi kelak? Pembinaannya perlu dikoordinasi Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) selaku orang tengah antara Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di seluruh Malaysia.

Untuk menjayakan projek sulung ini, semua MAIN perlu bersama-sama terbabit memberikan idea dan pendapat apakah jenis perniagaan ingin diketengahkan dalam kompleks beli-belah ini kelak.

Modal awal pembinaan kompleks beli-belah ini akan disumbangkan pewakaf melalui akaun wakaf khas pusat beli-belah merujuk MAIN di setiap negeri.

Majlis Agama Islam Pahang (MUIP) sebagai contoh, sudah membangunkan 10 pasar raya mini di Pahang. Walaupun bukan menggunakan konsep wakaf, sekurang-kurangnya pengalaman dimiliki MUIP dapat dikongsi dalam pembinaan pusat beli-belah wakaf ini.

Ini menunjukkan, kepakaran menguruskan perniagaan dimiliki MUIP boleh dipraktis dalam pembinaan pusat beli-belah wakaf dalam operasinya kelak.

Secara dasar, objektif kompleks beli-belah berkonsepkan wakaf ini untuk memperkasa ekonomi golongan asnaf, menjadi platform keusahawanan, selain merancakkan industri peruncitan negara, sekali gus menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

Sebagai kompleks beli-belah 'unik', ia perlu mempunyai identiti dan imej tersendiri serta mampu memenuhi selera masyarakat secara umumnya.

Realiti harus diterima, barang 'wakaf' daripada persepsi umum sering kali memberikan imej negatif dan ini mengundang cabaran untuk mengubah stigma masyarakat umum.

Sebagai institusi penting dalam masyarakat moden, kompleks beli-belah wakaf perlu segera dibangunkan. Jika kena gayanya, mungkin mampu menggoncang ekonomi kapitalis dengan kemampuan pusat beli-belah wakaf ini menjadi tumpuan disebabkan keupayaan entiti mengumpulkan penjual, pembeli serta pelbagai produk, selain perkhidmatan bagi golongan mewah, sederhana dan kurang berkemampuan di bawah sebuah lokasi terpusat.

Malah, imej pusat beli-belah wakaf nanti perlu meneliti kepelbagaian faktor khususnya dalam menyampaikan syiar Islam. Tidak seperti pusat beli-belah lain, ruang solat perlu ditempatkan di bahagian utama dengan suasana pengunjung sentiasa berasakan diri dekat dengan Allah SWT.

Secara umum, pembinaan pusat beli-belah dan pengoperasiannya membabitkan kos tinggi. Oleh itu, keperluan pihak korporat turut serta dalam pelaburan pusat beli-belah wakaf ini amat dialu-alukan.

Pembabitan pihak seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai contoh, berpandukan falsafah pelaburan jangka panjang, diharap membantu pengembangan aset wakaf untuk terus berkembang tanpa mengira sempadan geografi.

Ringkasnya, pusat beli-belah wakaf bukan sekadar mengejar pembangunan aset strategik, malah lebih utama membawa imej Islam untuk menyebarkan syiar membangun ekonomi ummah.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak

Berita Harian X