Isnin, 17 Januari 2022 | 11:10am

Spekulasi PRN Johor didorong kedinamikan politik semasa

Spekulasi Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin kuat diperkatakan ekoran desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Ia timbul selepas Menteri Besar sendiri, Datuk Hasni Mohammad menyatakan 'tidak selesa' dengan kedudukan majoriti semasa dan berhasrat bertemu Perdana Menteri untuk membincangkan kedudukan kerajaan negeri hanya berkelebihan satu kerusi.

Kini, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memiliki 28 kerusi berbanding 27 kerusi Pakatan Harapan (PH).

Walaupun ada permintaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kempas susulan kematian penyandangnya, ia tidak dilakukan selaras Fasal 23 (5) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri menetapkan tiada PRK sekiranya kekosongan berlaku selepas tiga tahun Pilihan Raya Umum (PRU).

Kerajaan juga masih mempunyai kelebihan majoriti sehingga tiada isu DUN tergantung, tetapi persoalan timbul mengapa spekulasi itu terus diperkatakan?

Umumnya, tiada keperluan pilihan raya berdasarkan sentimen semasa dan mood rakyat. Fokus ketika ini adalah untuk menyelesaikan masalah COVID-19 dan pemulihan pasca bencana.

Cuma dari perspektif politik, ia nampak perlu. Walaupun tiada isu majoriti, ancaman tetap ada dari perspektif pakatan rapuh, sekali gus mirip di Melaka apabila wujud potensi lompat parti dan kebarangkalian menukar sokongan.

Apa berlaku di Melaka memperlihatkan BN-UMNO yakin meninggalkan pakatan semasa dan secara perlahan menghimpit BERSATU. Dengan saingan tiga penjuru UMNO, PN dan PH merebut undi Melayu seperti di Melaka, ia juga sangat kritikal di Johor.

Walaupun UMNO dilihat kuat di Johor dan menjadi pilihan utama pengundi Melayu, dinamik tiga hala itu masih boleh menjejaskan kekuatannya di kerusi majoriti Melayu seperti diperlihatkan PN di Melaka. Komponen Melayu PH walaupun kalah teruk di Melaka, masih berpotensi 'mengganggu' BN dan PN di Johor.

Soalnya, mengapa PRN Johor mahu disegerakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)? PRN mungkin dilihat sebagai gerakan awal BN 'membersihkan' saingan politik dan memperbaharui mandat dengan cara bukan PRU selepas melihat keputusan PRN Melaka mengejutkan.

Ada tiga faktor memungkinkan hal itu. Pertama, pengukuhan dan kestabilan kerajaan. Hal ini mudah kerana BN-UMNO tidak mahu berkongsi kuasa dengan PN. Pada masa sama, kestabilan kerajaan persekutuan tetap utuh walaupun selepas PRN Melaka. Reaksi BERSATU dan PAS setia menyokong kerajaan walaupun bersaing dan kalah teruk di Melaka dilihat masih boleh diteruskan walaupun berlaku PRN di Johor.

Kemampuan BN-UMNO menang solo di Melaka menjadi suntikan motivasi. Sekiranya trend di tahap serupa, BN-UMNO berupaya mengulanginya, sekali gus membentuk kerajaan majoriti kuat dan stabil seperti di Melaka.

Kedua, dinamik politik UMNO. Umum mengetahui UMNO menolak BERSATU dalam kamus politik mereka tetapi tidak bersifat total kerana keperluan BERSATU mengekalkan sokongan kepada kerajaan sedia ada. Walaupun PRN Melaka menyaksikan BN-UMNO menang, kredit kemenangan tidak dikaitkan Perdana Menteri berbanding presiden parti.

Paradoks 'Perdana Menteri lwn Presiden parti' jelas masih membelenggu dinamik politik kepemimpinan UMNO. Ada kebarangkalian keputusan PRN Johor akan mengubah hala tuju dinamik itu. Apatah lagi sekiranya BN menang, tekanan terhadap Perdana Menteri baik dari segi politik dan pentadbiran turut meningkat.

Pada peringkat awal, sudah tentu tekanan PRU-15 lebih awal menjadi perhatian. Sesudah itu, isu calon dan pilihan raya menarik untuk diperhatikan.

Dengan pemilihan UMNO bakal menjelang, apakah PRN Johor akan menjadi modal mengukuhkan kedudukan Kem Datuk Seri Najib Razak-Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi? Apakah dinamik politik UMNO juga akan kembali kepada cara lama walaupun berazam untuk mereformasikan parti selepas kalah PRU-14?

Ketiga, kelemahan PH sebagai pakatan. Kenyataan balas pemimpin PH barangkali mendorong BN mempercepatkan PRN Johor. Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika ditanya mengenai PRN itu, Khamis lalu, jelas tidak mahu ia diadakan dan mengaku walaupun sedia bertempur, PRN hanya akan menguntungkan kerajaan.

Mungkin Johor dan Melaka berbeza demografinya. Keseimbangan pengundi dan geografi bercampur antara bandar dengan luar bandar kena dengan cara politik PH. Namun, defisit kepercayaan pengundi terhadap PH masih tetap sama dan belum ada tanda sudah dibetulkan.

Berbanding PRU-14, PH bukan sahaja belum datang dengan penawaran kuat dan meyakinkan, malah terkial-kial membetulkan naratif balas lawan terhadap ketidakupayaan ketika menjadi kerajaan selama 22 bulan.

Apapun PRN Johor masih pada tahap spekulasi. Di sebalik semua dibincangkan mungkin soalan paling penting perlu ditanya adalah beranikah kepimpinan di Johor untuk membubar DUN dalam masa terdekat?

Mujibu dan Ariff Aizuddin adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X