Khamis, 6 Januari 2022 | 10:30am
Banjir menyebabkan ada sebahagian siswa kehilangan harta benda dan peralatan pembelajaran.
Banjir menyebabkan ada sebahagian siswa kehilangan harta benda dan peralatan pembelajaran.

Beri ruang siswa pulih semangat selepas bencana

Tahun 2021 meninggalkan banyak lakaran sejarah negara berhadapan 'teguran daripada Pencipta' yang di luar kebiasaan dan jangkaan.

Dalam kekalutan memerangi penularan COVID-19 yang mengancam ribuan nyawa rakyat, negara turut dikejutkan dengan musibah banjir yang meragut korban yang ramai, menjadikan ia sejarah duka negara mengakhiri 2021.

Pelbagai lapisan masyarakat terkesan dengan 'tsunami kecil' ini termasuklah sejumlah mahasiswa yang sedang menuntut di pusat pengajian tinggi. Mereka turut kehilangan harta benda dan peralatan pembelajaran sepanjang musibah melanda negara.

Lantas timbul persoalan bagaimanakah mahasiswa universiti di sekitar negeri yang terbabit banjir ini, bersedia dengan 'tsunami kecil' kali ini?

Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) aktiviti dan proses berterusan. Jika terdapat gangguan atau penangguhan, ia pasti memberi kesan ke atas momentum pembelajaran mahasiswa.

Walaupun dapatan awal kajian institut pengajian tinggi (IPT) menunjukkan 78.4 peratus pelajar tidak tertekan dengan kaedah PdP dalam talian, namun ternyata musibah banjir sekali lagi memberi ujian dan cabaran kepada mahasiswa universiti.

Laporan akhbar menyatakan sejumlah pelajar daripada universiti tempatan hilang kediaman dan tempat tinggal, musnah harta benda dan peralatan pembelajaran seperti komputer riba dan perkakasan lain. Lebih memilukan, sebilangan mahasiswa kehilangan ahli keluarga tersayang.

Selain itu, mereka yang terbabit berhadapan dengan isu gangguan bekalan elektrik, air bersih serta capaian internet mengakibatkan terputusnya komunikasi dan hubungan dengan pihak luar. Sebilangan mahasiswa kehilangan harta benda turut berhadapan ketidakstabilan emosi memandangkan ia membabitkan kemampuan kewangan keluarga untuk mengembalikan semua harta yang musnah.

Ternyata ia bukan sahaja memberikan impak dari sudut emosi dan psikologi, malah momentum belajar mahasiswa itu sendiri.

Ditambah pula sebelum ini, pelaksanaan pembelajaran dalam talian dikuatkuasakan akibat pandemik turut memberi impak ke atas keghairahan mahasiswa untuk belajar, disebabkan kurang mendapat bahan rujukan seperti daripada perpustakaan, gangguan capaian internet serta semangat bersaing yang hilang. Ini sekali gus memberi kesan ke atas semangat belajar mereka.

Sebilangan mahasiswa menyatakan kegagalan menguruskan masa dan disiplin dengan baik sepanjang pelaksanaan pengajian dalam talian kerana kebanyakannya digunakan untuk perkara lain seperti permainan video, menonton drama atau filem, lepak serta tidur sepanjang masa.

Pengekalan momentum mahasiswa penting bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran dan terus dapat mengekalkan fokus dalam pelajaran, sekali gus menghasilkan mahasiswa yang proaktif dan cemerlang.

Namun begitu, usaha dilaksanakan beberapa IPT dalam menangguhkan sesi PdP sepanjang tempoh bencana banjir ini dilihat langkah tepat bagi memastikan mahasiswa terkesan tidak terus tercicir dan tertekan.

Mereka ini wajar diberi ruang memulihkan semangat dan terus mengekalkan momentum serta kecekalan dalam meneruskan pengajian.

Tuntasnya, krisis melanda negara menjadi pemangkin dan satu anjakan paradigma kepada mahasiswa universiti untuk belajar menerajui kepemimpinan lebih mencabar pada masa akan datang, sekali gus memberikan cabaran baharu kepada bakal pemimpin negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Rembau, Negeri Sembilan

Berita Harian X