Ahad, 2 Januari 2022 | 11:00am
Gambar hiasan/Sukarelawan mengemas dan membersih kawasan di sekitar Kampung Chennah, Jelebu yang terjejas selepas banjir surut. - Foto NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Gambar hiasan/Sukarelawan mengemas dan membersih kawasan di sekitar Kampung Chennah, Jelebu yang terjejas selepas banjir surut. - Foto NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Bergerak sebagai satu pasukan depani cabaran 2022

Tahun 2021 sudah berlalu meninggalkan kita dan pasti akan dikenang setiap lapisan rakyat apabila pelbagai kisah suka duka tercoret.

Awalnya kita melihat permulaan tahun mampu memberi sinar cahaya kembali kerana kejayaan negara mengekang penularan wabak COVID-19 yang meragut ribuan nyawa rakyat Malaysia dan jutaan penduduk di seluruh dunia mula menampakkan hasil.

Bagaimanapun dek kealpaan kita, negara hingga kini masih dibelenggu wabak COVID-19 dan jangkitan terus kekal mencatat ribuan kes sehari.

Namun, kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) didukung warga penjawat awam sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada seluruh rakyat apabila lebih 97 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah lebih 87 peratus melengkapkan vaksinasi, manakala lebih 90.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Walaupun vaksin bukan penyelesaian sepenuhnya kepada COVID-19, ia sekurang-kurangnya mampu mengurangkan risiko jangkitan serius kepada penghidapnya. Ketika ini kita lihat rakyat sudah mampu menjalani kehidupan seperti sedia kala dengan norma hidup serba baharu.

Jika dahulu barisan hadapan kita, terutama petugas kesihatan bergelut untuk menguruskan pandemik ekoran situasi COVID-19 mencatatkan jumlah jangkitan lima angka setiap hari hingga fasiliti kesihatan hampir lumpuh.

Bagaimanapun melalui pelaksanaan PICK, kita berjaya menurunkan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital kerana keberkesanan vaksin mampu mengurangkan kesan jangkitan walaupun jumlah kes harian masih mencatatkan empat angka.

Kita semua sedar vaksin bukan penyelesaian sepenuhnya kepada COVID-19, pengambilan dos lengkap sekurang-kurangnya memberi sedikit kelegaan kepada petugas kesihatan yang sebelum ini sudah kelelahan apabila terpaksa bekerja melebihi had kemampuan diri.

CUEPACS mengucapkan setinggi penghargaan kepada wira barisan hadapan kita selama ini sanggup mengorbankan masa bersama keluarga bagi memerangi COVID-19, menjaga sempadan negara daripada bolos dan memastikan pematuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) hanya untuk menjadikan negara kekal selamat.

Begitu juga sokongan rakyat bersama-sama mengambil bahagian bagi menjayakan program imunisasi terbesar pernah dilaksanakan negara kerana tanpa pembabitan itu, sudah tentu sukar kita menjalani kehidupan seperti hari ini.

CUEPACS menggesa agar semua pihak terus memberikan sokongan kepada PICK, terutama mengambil suntikan dos penggalak bagi mereka sudah lengkap vaksinasi dan yang belum lagi berbuat demikian, bukalah hati anda untuk laksanakan tanggungjawab itu.

Malangnya, belum sempat kita menarik nafas lega, negara sekali lagi dikejutkan tragedi banjir amat buruk dengan terdapat beberapa kawasan masih lagi ditenggelami air dan ada juga kawasan sudah surut serta memasuki fasa pasca banjir.

CUEPACS menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat terkesan dengan bencana banjir kerana tragedi ini bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan harta benda, malah kehilangan insan tersayang.

Bagaimanapun CUEPACS kesal dengan tindakan sesetengah pihak cuba mempolitikkan tragedi banjir ini dengan memberi gambaran seolah-olah pasukan penyelamat negara ditunjangi penjawat awam gagal memberi bantuan sewajarnya.

Harus diingatkan sepanjang lebih 64 tahun negara mengecapi kemerdekaan, petugas keselamatan kita tidak pernah gagal dalam menggalas tanggungjawab dan amanah dengan rakyat sebagai keutamaan berbanding kepentingan diri sendiri.

Difahamkan lebih 300 rumah milik anggota pasukan keselamatan turut ditenggelami banjir dan mereka terpaksa meninggalkan rumah serta keluarga sendiri demi menyelamatkan orang awam.

Begitulah besarnya hati anggota keselamatan kita lebih mengutamakan tugas melebihi kepentingan peribadi, namun dituduh gagal memberikan bantuan sewajarnya ketika kejadian banjir.

Di media sosial kita dimomokkan dengan gambaran hanya rakyat bantu rakyat sedangkan realitinya pasukan keselamatan tiba lebih awal bagi memberikan bantuan kepada mangsa terjejas.

Banjir luar biasa jarang-jarang berlaku di Lembah Klang dengan air naik terlalu cepat menyukarkan proses menyelamat apatah lagi kepadatan penduduk mencecah jutaan orang mengakibatkan keupayaan menyelamat juga menjadi terbatas.

CUEPACS menghargai bantuan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semasa proses menyelamat, tetapi ia tidak mewajarkan kita meletakkan sepenuhnya kesalahan kepada pasukan keselamatan negara.

Mendepani cabaran 2022 kelak, CUEPACS berharap seluruh warga perkhidmatan awam dapat bergerak secara tuntas dan strategik sebagai pasukan besar bagi memastikan negara dan rakyat terus mengecapi kemakmuran.

Usaha membantu rakyat dalam tempoh sukar harus menjadi keutamaan kepada semua penjawat awam melalui peningkatan dalam mutu penyampaian perkhidmatan awam.

Dalam menghadapi cabaran amat kritikal ini, kerjasama dan solidariti semua pihak amat penting bagi memastikan sasaran untuk memulihkan semula ekonomi rakyat dan negara dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Penulis adalah Presiden CUEPACS

Berita Harian X