Khamis, 30 Disember 2021 | 11:00am
Gambar fail, Orang ramai melihat pameran pelbagai jenis rumah yang ditawarkan sempena pembukaan Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) di Central i-City, Shah Alam. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Gambar fail, Orang ramai melihat pameran pelbagai jenis rumah yang ditawarkan sempena pembukaan Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) di Central i-City, Shah Alam. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR

Laksana projek perumahan secara beretika, utama nilai kebajikan

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menganggarkan 4.8 juta orang tinggal di kawasan berisiko banjir di seluruh negara. Malah, angka ini dijangka meningkat lantaran sikap pemaju perumahan tidak jujur dan tamak mengaut keuntungan ketika membangunkan taman perumahan baharu.

Harga rumah naik berkali ganda juga menyebabkan kediaman di kawasan bandar besar dan pinggir bandar tidak lagi mempunyai nilai 'kebajikan' ketika urus niaga dijalankan.

Agak pelik, jika pemaju perumahan tidak tahu sejarah tapak taman perumahan yang hendak dibangunkan. Hilang sifat ihsan dan empati kepada pembeli, pemaju mengambil mudah akan perkara ini.

Natijahnya, banjir besar berlaku baru-baru ini dan mungkin lebih dahsyat pada masa akan datang, sedikit sebanyak berpunca daripada pemaju juga.

Pembeli pula dalam keadaan terdesak, kadangkala tidak dapat berfikir panjang, malah percaya kepada pemaju yang menjalankan pembangunan dalam ruang lingkup 'undang-undang' melalui terma kelulusan kebenaran merancang diperoleh.

Hakikatnya, tahap peduli pemaju, pihak berkuasa tempatan (PBT), pihak berkuasa negeri dan pembeli itu sendiri akan menentukan pola pembangunan serta pemilikan perumahan di kawasan berkenaan.

Malah, peletakan projek perumahan di kawasan strategik dengan dilengkapi semua kemudahan asas menjadi alasan bagi pihak pemaju untuk menaikkan harga rumah, selain faktor peningkatan kos pembinaan dan pembangunan seperti barang binaan serta kos penyediaan infrastruktur.

Oleh itu, kenaikan harga rumah saban tahun diuar-uarkan pemaju dengan mantra harga tanah tinggi untuk membangun projek perumahan wajar direnung kembali.

Faktor banjir bukan sahaja membuka mata pengguna untuk lebih bersifat berhati-hati ketika membuat keputusan membeli rumah, malah satu tamparan hebat buat pemaju tamak mengaut keuntungan untuk berfikir lebih jauh daripada semata-mata soal keuntungan.

Kita memahami, kerajaan memerlukan pemaju perumahan ini untuk sama-sama merancakkan pembangunan negara dengan lebih tersusun, malah tanpa mereka, mana mungkin perumahan baharu dan terkini dapat dibangunkan.

Namun, pihak pemaju wajar menyelami maksud doktrin perancangan sejagat digagaskan Jabatan Perancang Bandar dan Desa mengenai hubungan manusia dengan manusia, manusia dengan Pencipta dan manusia dengan alam.

Jika ketiga-tiga hubungan ini jika dapat dihayati pemaju khususnya, malapetaka sebesar ini mungkin dapat dikurangkan risikonya.

Pada masa sama, musibah banjir ini juga memberi nilai tambah terhadap pentingnya cakna pengetahuan dalam kalangan pembeli rumah.

Amat mengejutkan hasil kaji selidik Impak Pandemik Terhadap Perlindungan Zurich Malaysia, baru-baru ini, menyatakan kira-kira 74 peratus pemilik rumah tidak mempunyai perlindungan terhadap kerosakan akibat banjir.

Data ini secara tidak langsung membawa dua naratif berkemungkinan pembeli tidak pernah ambil tahu sejarah kawasan perumahan ingin dibeli atau tidak cakna akan keperluan memiliki perlindungan terhadap kerosakan akibat banjir.

Hakikatnya, peristiwa banjir yang berlaku mengajar banyak pihak. Mungkin ada pihak bimbang jika sejarah kawasan tertentu terus dibongkar. Malah lebih banyak rahsia akan menjadi hangat diperdebatkan masyarakat.

Justeru, dalam memacu ekonomi, sudah pasti negara memerlukan kumpulan pemaju yang boleh berfikir secara analitikal, sekali gus memahami hakikat semasa dan setempat.

Penguasaan keuntungan semata-mata dalam membangunkan perumahan rakyat ini tidak memadai, malah penghayatan nilai murni akan menjana prestasi pemaju untuk terus mendominasi pasaran perumahan secara beretika dan terhormat.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak

Berita Harian X