Isnin, 6 September 2021 | 11:00am
Pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka perlu dikaji semula elak beri kesan lebih buruk.
Pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka perlu dikaji semula elak beri kesan lebih buruk.

Kaji semula keputusan buka sekolah untuk PdP bersemuka

Pemakluman kaedah pengoperasian sekolah oleh Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, menarik perhatian ramai pihak khususnya warga pendidik, ibu bapa, penjaga serta murid sendiri.

Pengoperasian Sektor Pendidikan membabitkan sekolah rendah dan menengah ini memperincikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan mengambil kira statistik terkini penularan COVID-19 di Malaysia.

Perincian kaedah PdP secara bersemuka dicadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) bermula 3 Oktober depan, dikhususkan kepada negeri berstatus Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ia memberi keutamaan kepada murid yang akan menduduki peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malay- sia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Bagi Fasa Tiga PPN, sesi persekolahan hanya dibuka berperingkat bagi mengatasi masalah PdP di rumah (PdPR) seperti capaian internet rendah dan peranti berkaitan.

Namun, data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menunjukkan jangkitan kes COVID-19 masih tinggi, begitu juga angka kematian harian. Kadar kebolehjangkitan (R-naught) semasa juga turut mengundang kegusaran ramai.

Sudah tentu, data ini antara kriteria utama KPM dalam memutuskan kebenaran PdP secara bersemuka di sekolah. Ketika ini juga, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjalan lancar dan mencatatkan angka penerima vaksin yang sangat memberangsangkan.

Apa pun, kebimbangan penularan tetap ada selagi tahap imuniti kelompok belum dicapai sepenuhnya. Sasaran sekurang-kurangnya 85 peratus populasi penduduk negara mendapatkan suntikan vaksin belum tercapai.

Justeru, keputusan mengoperasikan semula sekolah secara bersemuka harus dikaji semula berdasarkan empat faktor utama.

Pertama, kadar kebolehjangkitan COVID-19. Pada 10 Mac lalu, kadar kebolehjangkitan berjaya diturunkan susulan impak positif tindakan kerajaan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan rakyat ketika itu. Justeru, unjuran nilai R-naught amat signifikan untuk dijadikan panduan bagi membendung penularan lebih parah.

Kedua, jangkitan varian baharu seperti Alpha, Beta dan Delta yang lebih mengganas di lokaliti, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati kadar jangkitan membabitkan varian Delta paling dominan di negara ini dengan kadar kebolehjangkitan lebih tinggi, sekali ganda berbanding varian terdahulu yang melanda negara.

Ketiga, kadar vaksinasi ekosistem pendidikan di sekolah dan komuniti. Kadar vaksinasi ekosistem pendidikan di setiap lokaliti hendaklah sekurang-kurangnya mencapai tahap imuniti kelompok berserta penilaian risiko oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Keempat, penelitian semula SOP sekolah dalam norma baharu 2.0. Dengan mengambil kira penularan varian baharu semakin mengganas, garis panduan sedia ada dikeluarkan KPM sebelum ini hendaklah dikaji semula dan ditambah baik.

Kesimpulannya, pengoperasian persekolahan secara bersemuka hendaklah dikaji dan diteliti secara holistik semua pihak berkepentingan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 ini.

Dengan mengambil kira tempoh sesi persekolahan bagi sesi 2021 hanya berbaki 10 minggu, sebarang keputusan diambil hendaklah bersandarkan keselamatan anak dan warga pendidik khususnya.

Sesuai peribahasa Melayu, 'biar merangkak, jangan menjalar', yang bermaksud sebelum kemelaratan itu menjadi besar, lebih baik menghindarkannya dan tidak tergesa-gesa.

Mohd Nurfaisa adalah Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak,

Dr Irwan adalah Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, UiTM Perak

Berita Harian X