Selasa, 20 Julai 2021 | 11:00am

Tambah baik tadbir urus TH sesuai model operasi

Keputusan Kementerian Kewangan meletakkan Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara bertujuan mewujudkan penambahbaikan terutama dalam pengoperasian institusi itu, selaras hasrat memperbaiki tadbir urus semasa dengan lebih berkesan dan berintegriti.

Pengumuman ini mendapat reaksi bercampur dalam kalangan masyarakat. Sebahagiannya menyuarakan kebimbangan langkah ini akan menyebabkan matlamat asal TH akan sukar dilaksanakan di bawah kawal selia Bank Negara.

TH akan tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013) yang lebih berfokus kepada institusi kewangan Islam selaku pengantara kewangan atau financial intermediary sedangkan institusi terbabit mempunyai matlamat lebih besar daripada itu.

Ini dapat dilihat menerusi dua matlamat utama penubuhan TH, iaitu sebagai badan pengurusan berkaitan operasi haji dan institusi Islam membantu untuk membina ekonomi umat Islam khususnya di negara ini.

Kekhuatiran timbul jika TH diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara, matlamat utama itu akan terjejas kerana ia akan tertakluk kepada peraturan seperti institusi kewangan Islam lain terutama dari sudut penilaian risiko kredit yang sedikit sebanyak mampu menjejaskan pertimbangan dan keputusan dalam melakukan pelaburan pada masa hadapan.

Contohnya, Bank Rakyat yang menjadi perbankan koperasi di bawah kawal selia Bank Negara. Walaupun penubuhannya sebagai institusi koperasi bermatlamat menjaga kepentingan ahli koperasi, Bank Rakyat tidak dapat mengoptimumkan penawaran servis kewangan terutama untuk ahli koperasi tidak berkelayakan membuat pinjaman kewangan disebabkan syarat ketat di bawah kawal selia BNM.

Selain itu, dana Bank Rakyat juga terhad dan tidak dapat digunakan secara maksimum terutama untuk kegunaan pelaburan 'strategik' yang boleh memberikan lebih manfaat kepada ahli koperasi disebabkan terikat dengan Akta IFSA 2013.

Hal ini sama seperti sekiranya kita meminta badan pelaburan negara seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk berada di bawah Akta IFSA 2013. Dalam hal ini, badan pelaburan ini tidak akan dapat melakukan sebahagian pelaburan 'strategik' terutama dalam membangunkan ekonomi Bumiputera sekiranya pelaburan berkenaan hanya dinilai berdasarkan risiko kredit.

Umum mengetahui langkah meletakkan TH di bawah seliaan Bank Negara dibuat rentetan isu melanda institusi kebanggaan umat Islam sebelum ini. Sebelum ini, TH dilanda isu tadbir urus dan pengurusan hingga membawa kepada pelaporan defisit oleh TH pada laporan tahunan 2017 dan pemberian hibah paling rendah dalam sejarah sebanyak 1.25 peratus.

Selain itu, sejumlah aset TH dirasionalisasikan dan dipindah milik kepada syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Sebenarnya, isu TH ini dapat diselesaikan dengan menambah baik tadbir urus semasa tanpa perlu meletakkan di bawah kawal selia Bank Negara. Dalam memastikan sesebuah institusi mempunyai tadbir urus baik, antara perkara penting perlu dilakukan kerajaan adalah dengan memastikan tiada campur tangan politik dalam pengurusan TH.

Ini selari dengan panduan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG 2021) menggariskan antara ciri tadbir urus baik adalah dengan tidak mempunyai lantikan politik dalam lembaga pengarah sesebuah institusi korporat.

Selain itu, pemantauan Bank Negara juga dapat dilakukan dengan meletakkan wakil mereka dalam kalangan ahli lembaga pengarah TH bagi tujuan semak dan imbang terhadap keputusan dilakukan pengurusan TH tanpa perlu kawal selia secara terus di bawah bank pusat terbabit.

Tambahan pula, TH tidak menawarkan produk atau servis kewangan seperti institusi kewangan Islam lain yang memerlukan kawal selia secara terus Bank Negara.

Tadbir urus TH juga dapat ditingkatkan dengan memastikan peranan jawatankuasa lembaga pengarah terutama jawatankuasa pelaburan dan jawatankuasa audit berfungsi sepenuhnya.

Dalam hal ini, dengan meletakkan pakar bidang dalam jawatankuasa itu sedikit sebanyak membantu lembaga pengarah TH dalam menjalankan tugas pemantauan operasi TH pada tahap optimum.

Apapun, hasrat kerajaan menambah baik tadbir urus TH sememangnya amat dialu-alukan semua pihak. Namun, dalam memastikan prinsip dan matlamat utama institusi itu tidak dikompromi, penambahbaikan tadbir urus perlu lebih berhemah dan sesuai dengan model operasi institusi itu sendiri.

Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X