Selasa, 6 Julai 2021 | 11:00am
Permintaan masyarakat yang meningkat merancakkan penyediaan produk dan perkhidmatan. - NSTP/Asyraf Hamzah
Permintaan masyarakat yang meningkat merancakkan penyediaan produk dan perkhidmatan. - NSTP/Asyraf Hamzah

Pakej bantuan rakyat bangun semula ekonomi negara

SEJAK awal 2020, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan pandemik COVID-19 akan mencetuskan kemelesetan ekonomi global dengan kesan lebih buruk berbanding krisis kewangan 2008.

Pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 hingga kini, menyebabkan banyak sektor ekonomi ditutup. Pengurangan waktu operasi pula menyebabkan ramai penduduk hilang pekerjaan dan berkurang punca pendapatan.

Hakikatnya, kesan kemelesetan ini turut menjejaskan pendapatan negara.

Pada 28 Jun, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dibentangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ramai menyambut baik pelan dilancarkan, namun tidak kurang juga mengeluarkan pelbagai telahan negatif termasuk mengkritik.

Ramai hanya berkata dan berkongsi tanpa punya ilmu yang cukup. Ramai hanya membidas tanpa cuba memahami apa sebenarnya dilakukan kerajaan.

Sebenarnya, tidak kira parti mana memerintah, dasar ekonomi dilaksanakan ketika berhadapan kegawatan ekonomi adalah sama. Bukan untuk Malaysia dan negara jiran saja, malah ia cabang ilmu ekonomi dipraktik seluruh dunia.

Hari ini, pertumbuhan ekonomi sememangnya merosot dan mencecah negatif, di samping kadar pengangguran makin meningkat dan melepasi tahap guna tenaga penuh.

Dalam kitaran perniagaan, situasi pertumbuhan menurun ini dipanggil recession ataupun kegawatan ekonomi. Justeru, untuk membangunkan semula ekonomi negara, dasar fiskal mengembang dan dasar monetari mengembang perlu dilaksana.

Menerusi dasar fiskal mengembang, langkah akan dilaksanakan ialah meningkatkan perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan kadar cukai. Kedua-dua elemen akan meningkatkan kuasa beli pengguna yang bertujuan meningkatkan permintaan dalam kalangan masyarakat.

Apabila permintaan masyarakat meningkat, ia akan merancakkan penyediaan produk dan perkhidmatan dalam kalangan pengeluar.

Apabila peluang pekerjaan meningkat dan hasil perniagaan semakin rancak, pendapatan kerajaan akan kembali pulih dengan peningkatan hasil cukai. Penyediaan dana perniagaan, potongan cukai premis perniagaan dan program subsidi upah antara pakej disediakan kerajaan.

Pemberian moratarium selama enam bulan satu daripada pelaksanaan dasar monetari mengembang yang juga bertujuan meningkatkan penawaran wang dalam kitaran.

Rakyat terutama yang terjejas pendapatan diberi ruang mempunyai lebihan wang dalam tangan untuk menggalakkan berbelanja.

Kadar bank dan pinjaman diturunkan, manakala bayaran balik pinjaman ditangguhkan. Semua langkah ini bertujuan meningkatkan permintaan dalam kalangan masyarakat.

Peniaga dan pengusaha yang menyedari banyak permintaan perlu dipenuhi akan menambah bilangan pekerja dan langkah ini akan mengurangkan kadar pengangguran dalam negara.

Ketika dilanda kegawatan ekonomi, majoriti negara di dunia akan melaksanakan kaedah perbelanjaan defisit, di mana perbelanjaan kerajaan melebihi pendapatan diperoleh.

Namun, perbelanjaan ini akan memberi kesan pengganda yang akan kembali memulihkan ekonomi negara. Nampaknya kali ini, kerajaan berbelanja lebih daripada biasa, iaitu mencecah 6 peratus defisit fiskal berbanding pendapatan negara.

Namun, defisit fiskal 2020 negara seperti Brunei (17.7 peratus), United Kingdom (13.4 peratus), Sepanyol (10.9 peratus) dan Singapura (8.9 peratus) lebih tinggi.

Ketika negara dilanda pandemik, kerajaan turut berhadapan cabaran memastikan pemberian vaksin mencapai imuniti kelompok.

Justeru sebagai rakyat, wajar kita memberi kerjasama sepenuhnya dalam penjagaan prosedur operasi standard (SOP) dan kurangkan menyebar maklumat negatif yang tidak tepat.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka

Berita Harian X