Rabu, 23 Jun 2021 | 10:45am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Utama graduan pendidikan jadi cikgu jamin kualiti perguruan

Tanggungjawab mencari ilmu dan menyebarkannya bukan mudah. Pendidik atau guru mempunyai amanah besar menyampaikannya kepada murid. Selain bakat dan kesungguhan, guru perlu mempunyai kemahiran serta ilmu pengetahuan mendalam terhadap kandungan pembelajaran.

Justeru, langkah pengambilan khas one-off membabitkan 18,702 guru gred DG41 yang dibuka kepada graduan bukan pendidikan bagi mengatasi isu kekurangan guru perlu dilihat lebih teliti.

Antara mata pelajaran di sekolah rendah terbabit ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Bagi sekolah menengah pula, ia berlaku untuk subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.

Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula mengeluarkan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dalam program Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Kesusasteraan Melayu, Bahasa Tamil dan Ijazah Sarjana Muda (ISM) (dengan Pendidikan) bagi program Bahasa Arab dan Bahasa Cina serta Sarjana Muda Komunikasi Sosial. Lapan fakulti lain turut mengeluarkan graduan dalam bidang pendidikan.

Pelajar dalam bidang pendidikan ini mengambil kursus berpandukan struktur dirancang teliti dan dilaksanakan dari kohort ke kohort.

Ia turut membabitkan proses auditan dan semakan semula dokumen dengan nasihat Bahagian Perancangan Akademik dan nasihat pakar universiti lain serta panel lantikan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pelajar terbabit dilatih empat tahun, iaitu lapan semester dengan kemahiran bahasa dan pedagogi menduduki kursus major memfokuskan bidang.

Contohnya, pelajar program Bahasa Melayu mengambil kursus seprerti Sejarah Bahasa, Fonologi, Sosiolinguistik, Psikolinguistik, Analisis Wacana dan kursus mendekati kemahiran bahasa diterapkan di sekolah membabitkan komunikasi, membaca, menulis dan komponen kesusasteraan.

Mereka juga mengambil kursus minor dan elektif berkaitan serta kecenderungan dengan ilmu pedagogi. Ini ditambah kursus penggayaan, kokurikulum dan profesional yang melatih bakal graduan menjadi guru memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Ia berobjektif untuk meningkatkan penghayatan ilmu, menerapkan nilai jati diri, memupuk nilai kewarganegaraan beradab dan memupuk semangat daya usaha serta patriotisme tinggi.

Ini tidak termasuk pencapaian peribadi pelajar berbakat dengan pembabitan dalam sukan, aktiviti kebahasaan, seni dan budaya. Pelajar bidang pendidikan mengambil kursus Rekabentuk Pengajaran atau Perkaedahan terkenal dengan kod awal KPD, dengan jumlah jam kredit tinggi, iaitu enam jam kredit.

Mereka juga menempuhi Program Perantisan Guru dan Latihan Mengajar yang mempunyai 10 jam kredit serta perlu menghasilkan Kertas Projek Tahun Akhir sebanyak enam jam kredit.

Ia menampakkan ciri-ciri teruji, berkualiti sepatutnya dibanggakan Kementerian Pendidikan (KPM), kerana hampir kesemua graduan ditempatkan di sekolah di seluruh ceruk negara ini.

Keadaan sebegini berlaku sekian lama tetapi tetap terjadi keputusan luar jangkaan kementerian mengenai graduan bidang pendidikan ini.

Oleh itu, KPM melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sepatutnya meletakkan graduan bidang pendidikan sebagai pilihan utama, bukannya membuka kepada graduan bidang lain secara meluas untuk terjun sebagai guru semata-mata mengisi kekosongan terdesak.

Walaupun adanya program guru interim, latihan dan diploma atau sijil kelayakan perguruan, adakah kualiti proses pembelajaran lapan semester dapat disamakan dengan dua semester?

Keputusan KPM membuka ruang graduan bukan pendidikan untuk 'menjadi cikgu segera' adalah tergesa-gesa dan seolah-olah tidak menghormati kepakaran serta ketulenan ilmu pedagogi yang menjadi amalan sistem pendidikan seluruh dunia.

KPM diharap dapat meneliti kembali kaedah pengagihan guru dengan unjuran tawaran kepada bakal pelajar universiti awam (UA) dan institusi pendidikan. Kementerian sepatutnya merancang unjuran dengan kekurangan di negeri dan melihat ke daerah, malah menjejak setiap zon dan mukim untuk melihat situasi kekurangan guru.

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) perlu lebih berkesan memastikan penempatan guru baharu serta berpengalaman seimbang.

Diharapkan keputusan dengan rasional dan menghormati tradisi keilmuan, tanpa kepentingan politik diberikan penekanan kerana kesannya adalah sepanjang hayat. Setiap manusia boleh bertindak dengan apa sahaja permintaan dan keputusan, namun hal berkaitan keilmuan, jangan diremehkan.

Ciri-ciri guru yang baik diharapkan dapat menghasilkan murid menjadi warganegara cemerlang. Semua pihak terutama guru, murid dan pentadbir pendidikan memerlukan pemahaman terhadap konsep ilmu.

Pembicaraan budaya ilmu tidak lengkap tanpa mengupas apa akan terjadi sekiranya budaya ilmu tidak terbina dalam diri dan masyarakat. Apakah akibat dan jelmaan gejala tidak berilmu?

Peribadi dan masyarakat tidak berbudaya ilmu akan membawa kemerosotan nilai serta kejahilan. Perbincangan sebegini memerlukan perbincangan dan wacana lebih spesifik termasuk dalam soal mengisi kekosongan mendesak dalam profesion keguruan.

Penulis adalah Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X