Khamis, 17 Jun 2021 | 11:15am
Perancangan perlu dalam memastikan kualiti hidup pesakit COVID-19 yang sembuh tidak terjejas. - Foto hiasan
Perancangan perlu dalam memastikan kualiti hidup pesakit COVID-19 yang sembuh tidak terjejas. - Foto hiasan

Rangka strategi urus, tangani sindrom pasca COVID-19

PELAN Pemulihan Negara diumumkan kelmarin dilihat usaha persediaan untuk keluar daripada situasi pandemik COVID-19.

Secara keseluruhannya, ia meletakkan sasaran akhir pembukaan penuh sektor ekonomi dan sosial pada fasa empat yang dijangka boleh dicapai penghujung 2021.

Namun, pembukaan penuh sektor ekonomi dan sosial hanya akan berlaku sekiranya nilai ambang ditetapkan dicapai awal Oktober.

Ia merangkumi penurunan purata kes harian COVID-19 kepada kurang 500 kes, kadar vaksinasi pada 60 peratus jumlah populasi dan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) mencukupi.

Sektor ekonomi dan sosial sememangnya sangat terkesan dengan situasi pandemik dan memberi bebanan berlebihan kepada sistem kesihatan awam.

Oleh itu, masyarakat akan kembali kepada kehidupan normal prapandemik dengan lebih cepat sekiranya sasaran akhir Pelan Pemulihan Ekonomi dapat dicapai seawal mungkin.

Lantas, kerjasama semua pihak, termasuk setiap individu penting untuk memastikan kejayaannya.

Jika dilihat, Pelan Pemulihan Ekonomi sememangnya direncanakan untuk mengurus dan menangani pandemik COVID-19.

Namun, ia tidak mencakupi isu pasca pandemik. Jumlah mereka yang sembuh daripada COVID-19 sudah melebihi setengah juta orang.

Ada antara mereka masih menunjukkan tanda dan gejala jangkitan yang berlanjutan sehingga 12 minggu atau lebih. Tanda dan gejala pasca jangkitan dikenali 'long COVID' atau sindrom pasca COVID-19 ini boleh menjejaskan kualiti hidup mereka yang sudah sembuh.

Ini sudah pasti memberi impak kepada pekerjaan, keluarga, masyarakat dan kesihatan mental. Lebih membimbangkan, kesan jangka panjang kepada kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19.

Dengan jumlah kes kanak-kanak dijangkiti mencecah puluhan ribu, maka impak dalam kalangan kanak-kanak yang sudah sembuh perlu diberi perhatian.

Kanak-kanak mempunyai masa hadapan panjang dan sindrom pasca COVID-19 boleh menjejaskan perkembangan diri dan pembelajaran.

Pengetahuan berkenaan sebab dan bagaimana berlakunya sindrom ini masih kurang kerana fenomena ini baharu dan masih banyak perlu dipelajari.

Mengikut data, 10 hingga 70 peratus pesakit COVID-19 mengalami sindrom pasca COVID-19 dan mereka yang mempunyai komorbiditi akan lebih berisiko.

Mengikut kajian klinikal membabitkan 1,004 pesakit COVID-19 daripada kategori 4 dan 5 yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM), 66 peratus daripada jumlah itu mengalami sindrom ini.

Tidak kedengaran dan tidak diuar-uarkan tindakan susulan diambil atau dirancang untuk mengurus dan menangani kesan sindrom pasca COVID-19, selain daripada pemeriksaan kesihatan susulan bekas pesakit COVID-19 di klinik atau hospital.

Tidak seperti mengurus dan menangani pandemik yang mana pelbagai usaha dilakukan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penyediaan prosedur operasi standard (SOP), Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan ujian saringan.

Jadi, apa perancangan untuk mengurus dan menangani kesan sindrom pasca COVID-19 yang menjejaskan kualiti hidup mereka yang sudah sembuh?

Adakah Pelan Pemulihan Ekonomi terlepas pandang perkara ini? Diharapkan strategi pelan tindakan ini akan memberi perhatian kepada isu sindrom pasca COVID-19.

Penulis adalah Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia (USM)

Berita Harian X