Khamis, 10 Jun 2021 | 10:00am
Kesedaran rakyat menerima vaksin semakin positif dan memberangsangkan. - Foto hiasan
Kesedaran rakyat menerima vaksin semakin positif dan memberangsangkan. - Foto hiasan

Kesedaran terima vaksin beri impak positif

Kesedaran rakyat menerima vaksin semakin positif dan memberangsangkan. Ini memberikan impak besar kepada kelancaran Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Peningkatan mendadak kes positif menjadi titik tolak kesedaran masyarakat mendapatkan vaksin dengan segera. Sambutan luar jangka semasa pembukaan pendaftaran vaksin AstraZeneca fasa pertama dan kedua menyaksikan ia habis ditempah dalam beberapa jam sahaja.

Sambutan itu menjadi penanda aras penerimaan rakyat. Mereka mahu diberi vaksin segera terutama yang menetap di kawasan mempunyai kes tinggi.

Ia memerlukan perancangan teliti dan pengendalian efisien. Sehingga 8 Jun, seramai 12.7 juta orang mendaftar untuk menerima vaksin dengan penerima dos pertama ialah 2.5 juta, manakala dos kedua pula hanya 1.1 juta.

Ini menunjukkan hanya 3.6 juta dos sahaja dapat diberikan setelah 100 hari Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (​PICK) dijalankan. Ini belum cukup mengambil kira sasaran mencapai kadar 80 peratus daripada 33 juta rakyat untuk membentuk kelompok imuniti.

Kerajaan menyasarkan 150,000 dos suntikan sehari pada Jun, manakala Julai (200,000) dan menjelang Ogos (300,000). Justeru, beberapa langkah proaktif disenaraikan dalam rangka kerja PICK.

Kerajaan menubuhkan 605 PPV dikendalikan kakitangan pelbagai kementerian, agensi dan organisasi. Dimulai pembabitan hospital dan klinik kerajaan, diikuti hospital serta klinik swasta.

Bagi mencapai sasaran itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) akan memanggil lebih banyak tenaga kerja membabitkan profesional perubatan termasuk pesara doktor dan jururawat, doktor pelatih serta pelajar perubatan. Peluang turut dibuka untuk sukarelawan vaksin melalui program MyVAC.

Kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut diterima. Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) atau dikenali HUiTM yang baru beroperasi April lalu, terpilih menjadi PPV Mega.

HUiTM juga akan laksana pemberian vaksin secara pandu lalu dengan sasaran kepada warga emas dan orang kurang upaya bermasalah mobiliti.

PPV Bergerak turut dilancarkan dengan projek rintis Kementerian Wilayah Persekutuan, Vaksin Bergerak Trak MyMedia@Wilayah Prihatin membabitkan 1,000 penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah, Lembah Pantai dan diikuti 1,000 pekerja pembinaan Transit Aliran Massa (MRT).

Penggunaan fasiliti kerajaan seperti bas, lori dan kenderaan bersesuaian akan diguna pakai untuk program ini. Turut disarankan penggunaan mod pengangkutan berbeza seperti pengangkutan udara dan air khususnya untuk penduduk di kawasan terpencil dan sukar dihubungi melalui jalan darat.

Dalam konteks vaksin untuk OKU, Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields dipilih menjadi PPV khusus. Ia akan dipraktikkan ke seluruh negara dalam masa terdekat.

Namun, semuanya akan dapat dijayakan dengan bekalan vaksin mencukupi seperti dijadualkan.

Pada masa sama, Malaysia mencatatkan kebolehjangkitan di bawah 1.0, Isnin lalu, sekali gus pencapaian kali pertama sejak April lalu. Ini menunjukkan PICK dilaksanakan sejak hujung Februari lalu memberikan impak positif.

Diharapkan tindakan proaktif dan efisien dapat melabuhkan tirai pandemik secepat mungkin. Kerjasama serta usaha berterusan akan merealisasikan matlamat imuniti berkelompok penghujung tahun ini.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pengurusan Teknologi dan Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam

Berita Harian X