Khamis, 3 Jun 2021 | 11:00am
Menerusi PEMERKASA+ pemandu teksi terjejas turut mendapat bantuan khas. - Foto hiasan/BERNAMA
Menerusi PEMERKASA+ pemandu teksi terjejas turut mendapat bantuan khas. - Foto hiasan/BERNAMA

Usaha kolektif landai keluk jangkitan, pulihkan ekonomi

Bagi mengekang peningkatan mendadak kes COVID-19, kerajaan mengumumkan sekatan pergerakan penuh selama dua minggu bermula Selasa lalu.

Seiring itu, kerajaan mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) dengan tiga matlamat utama, iaitu mengutamakan kesihatan, kelangsungan hidup dan menyokong perniagaan.

Situasi kali ini tidak sama seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu kerana kebimbangan utama adalah kedudukan fiskal kerajaan lebih mencabar.

Ini berikutan keadaan pandemik agak lama berlaku dan kerajaan turut mengalami kerugian apabila sektor ekonomi ditutup. Sebelum ini, kerajaan sudah banyak menjalankan pakej rangsangan membabitkan kos agak besar.

Ada enam bantuan pakej rangsangan sebelum ini membabitkan perbelanjaan besar sebanyak RM350 bilion, iaitu kira-kira 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pakej bantuan terkini, PEMERKASA+ pula bernilai RM40 bilion dengan RM5 bilion berbentuk suntikan langsung.

PEMERKASA+ dilihat lebih spesifik membantu majoriti kumpulan isi rumah pendapatan rendah atau pertengahan terjejas pendapatan akibat sekatan pergerakan penuh, di samping menumpukan usaha meningkatkan kapasiti kesihatan awam.

Dari segi kelangsungan hidup rakyat, kerajaan menambah RM2.1 bilion bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kepada isi rumah, terutama kumpulan B40. Majoriti B40 terjejas pendapatan itu kerana kebanyakan bekerja sendiri atau terbabit dalam ekonomi gig yang bergantung pendapatan harian.

Justeru, penutupan sektor ekonomi menjejaskan pendapatan mereka dan kerajaan perlu menjalankan tanggungjawab sosial dengan memastikan setiap isi rumah sekurang-kurangnya mempunyai makanan di atas meja.

Bantuan moratorium juga diberi tiga bulan secara automatik atau ansuran 50 peratus selama enam bulan. Selain itu, bagi mengurangkan kadar pengangguran, kerajaan melanjutkan Program Subsidi Upah (PSU) selama sebulan bagi sektor ekonomi terjejas dapat dimanfaatkan 2.5 juta pekerja.

Bagi memastikan kelangsungan perniagaan, terutama kepada peniaga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), beberapa inisiatif seperti pemberian Geran Khas Prihatin kepada RM1,500, pembiayaan mikro kredit dengan kadar pembiayaan rendah, penambahan fasiliti kemudahan bantuan serta pemulihan bersasar dan diskaun bil elektrik turut diberikan.

Malah, kerajaan turut memberikan bantuan khas kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah terjejas. Namun, kebanyakan bantuan ini bersifat sekali beri dan memberikan kelegaan kepada rakyat serta perniagaan buat sementara waktu.

Bagi jangka sederhana, kerajaan perlu mempercepatkan kadar pemberian vaksin bagi mengurangkan peningkatan kes COVID-19 dan kematian supaya usaha pemulihan ekonomi dapat dilakukan.

Justeru, kerajaan melalui PEMERKASA+ memperuntukkan dana khas penambahbaikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan mempercepatkan pemberian vaksin daripada 80,000 dos sehari kepada 150,000 dos sehari.

Ini terbukti di negara maju seperti United Kingdom (UK) yang kes positif dan kadar kematian dapat dikurangkan apabila bilangan penerima vaksin mencapai imuniti berkelompok. Justeru, langkah kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin melalui PEMERKASA+ dapat membantu kejayaan proses vaksinasi.

Dengan kedudukan fiskal sekarang, kerajaan agak sukar untuk terus memberikan bantuan jika sekatan pergerakan penuh berterusan lebih lama. Sekiranya situasi pandemik berpanjangan, kerajaan masih boleh mempertimbangkan untuk meningkatkan nisbah hutang berkanun perKDNK daripada siling 60 peratus kepada 70 peratus. Mengandaikan KDNK nominal pada 2021 ialah RM1.5 trilion, ini akan memberi lebihan tunai RM150 bilion yang dapat dibelanjakan untuk membantu rakyat dan perniagaan menghadapi cabaran ekonomi. 

Bagi pelan pemulihan ekonomi jangka sederhana panjang, kerajaan wajar sediakan pelan pemulihan fiskal komprehensif supaya nisbah hutang dapat diturunkan, sekali gus memberi isyarat positif kepada agensi penarafan terhadap ekonomi Malaysia. Ini termasuk pengenalan cukai baharu, contohnya cukai penggunaan lebih berdaya tahan berbanding cukai konvensional seperti cukai korporat dan cukai pendapatan sensitif terhadap turun naik ekonomi.

Rakyat juga perlu dididik supaya memahami keperluan pelaksanaan dasar fiskal bersifat kitaran balas (countercylical), iaitu kerajaan akan meningkatkan perbelanjaan dan mengurangkan cukai semasa krisis (recession), tetapi sebaliknya apabila ekonomi memasuki fasa pengembangan (booming).

Kejayaan kita melandaikan keluk COVID-19 dan memulihkan ekonomi memerlukan usaha bersama secara kolektif dari semua lapisan masyarakat.

Kumpulan isi rumah tidak terjejas pendapatan, terutama berpendapatan tetap boleh membantu membeli barangan tempatan dijual atau memberikan bantuan kewangan kepada mereka terjejas.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X