Khamis, 27 Mei 2021 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Rangka strategi baharu atasi lambakan graduan pendidikan

Dalam tempoh 10 tahun terakhir, seramai 4,390 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di universiti awam (UA) tidak mendapat peluang temu duga bagi tujuan penempatan sebagai guru di sekolah Kementerian Pelajaran (KPM).

Lebih menyedihkan, mereka juga tidak dilayan majikan untuk mendapat pekerjaan dalam bidang selain pendidikan. Sampai bila masalah ini akan berterusan?

Jika tidak diatasi, UA akan berterusan menawarkan bidang pengajian yang dianggap memberikan harapan palsu kepada generasi muda dari tahun ke tahun.

Luahan graduan bidang pendidikan universiti awam yang terpaksa menjadi pengawal keselamatan, buruh kasar dan bekerja sendiri disebabkan tidak mempunyai peluang seperti graduan lain untuk menceburi sektor kerajaan dan swasta, perlu diambil berat dan tindakan segera pihak berwajib.

Bagi mengatasi masalah ini, sewajarnya pelbagai pihak khususnya universiti yang menawarkan kursus pendidikan mencari solusi secepat mungkin.

Kepakaran pada peringkat universiti perlu dioptimumkan bagi menjamin masa depan generasi muda yang saban tahun akan menyambung pengajian ke peringkat universiti.

Mungkin sudah tiba masanya, bidang pendidikan di UA yang dilihat pesaing kepada lepasan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) ditambah baik menerusi rundingan dan persefahaman dengan pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Sebelum ini, Ijazah (Kepujian) Sarjana Muda Pendidikan diijazahkan bersekali dalam satu sijil dan nama. Mungkin sebagai alternatif, ia boleh dibuat secara berasingan menerusi dua persijilan.

Graduan bidang pendidikan akan menerima ijazah kepujian dalam bidang masing-masing berserta sijil iringan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI). Kaedah ini dilihat membuka ruang dan pilihan untuk graduan meneroka bidang pekerjaan lain, jika mereka tidak ditawarkan penempatan sebagai guru di sekolah.

Sesuai dengan dunia semakin mencabar, kepelbagaian pilihan dalam bidang pekerjaan perlu diberikan kepada generasi baharu ini. UA juga boleh membuat pilihan untuk tidak membuat tawaran pengajian sarjana muda pendidikan dan memfokuskan kepada bidang lanjutan pada peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran dalam bidang pendidikan.

Pengembangan ilmu penyelidikan berkaitan pendidikan khususnya selepas berlakunya COVID-19 amat diperlukan bagi membangunkan sistem pendidikan negara yang lebih kukuh dan berdaya saing dalam dunia berasaskan digital.

Melalui pemfokusan ini, ia mampu menghasilkan ramuan baharu dalam sistem pendidikan negara. Graduan pendidikan di IPGM dan UA boleh bersinergi mengukuhkan sistem pendidikan yang ada dalam negara.

Gandingan pensyarah IPGM dan guru di sekolah yang terbabit secara langsung dalam bidang pendidikan rendah dan menengah bersama dengan pensyarah dan penyelidik pada peringkat universiti, perlu distrategikan semula bagi mengelak berlaku persaingan sehingga menyebabkan kerugian kepada sistem pendidikan negara.

Ia seterusnya merugikan pembangunan modal insan ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Kesimpulannya, pembuat dasar perlu duduk semeja dan lebih proaktif merungkai permasalahan yang ada serta mencipta solusi baharu yang lebih dinamik dan sesuai dengan keperluan semasa.

Jika tidak, kita seolah-olah menjadikan generasi muda sebagai mangsa jerangkap samar yang tidak berkesudahan sampai bila-bila.

Dr Mohd Sobhi adalah Felo Penyelidik Kanan Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala Dr Mohd Faisal adalah Ketua Pegawai Operasi Lembaga Pengurusan Sekolah Zakat Kedah

Berita Harian X