Ahad, 23 Mei 2021 | 11:01am
Rakyat perlu terus patuhi SOP bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 terus meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara. - Foto hiasan
Rakyat perlu terus patuhi SOP bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 terus meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara. - Foto hiasan

Sistem kesihatan lumpuh 'bencana' perlu dielak

KETIKA ini, tiada satu pun daerah di Semenanjung berstatus Zon Hijau COVID-19, dengan 11 daripada 13 negeri dan Wilayah Persekutuan dalam Zon Merah.

Sehingga semalam, jumlah kes direkodkan dalam negara menghampiri angka setengah juta. Kira-kira 60 peratus keseluruhan kes jangkitan tahun ini tiada kaitan epidemiologi atau tidak diketahui puncanya.

Menurut pakar kesihatan awam, Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, pertambahan jangkitan sporadik mungkin disebabkan kelemahan dalam siasatan kes oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia termasuk pengesanan kontak tidak sempurna, kajian epidemiologi tidak lengkap dan komuniti berisiko sama ada tidak atau lambat disiasat serta diuji.

Selain itu, ramai tidak tahu atau tidak sedar mereka sudah dijangkiti, akhirnya menjadi punca jangkitan kepada orang lain. Ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) turut menyumbang.

Mutakhir ini, Malaysia terus merekodkan kes kematian harian tertinggi akibat COVID-19. Sekurang-kurangnya tiga faktor mendorong lonjakan ini, iaitu peningkatan kes sporadik akibat penularan meluas dan pantas dalam komuniti, pesakit lambat dapatkan rawatan di hospital serta sistem perkhidmatan kesihatan berada pada tahap genting.

Realitinya, peningkatan berterusan kes jangkitan sejak lima minggu kebelakangan ini menyebabkan kapasiti kesihatan negara, khususnya di Lembah Klang berada pada tahap membimbangkan.

Jika ia berterusan, keupayaan sistem kesihatan dikhuatiri menjadi kritikal, sekali gus memberi kesan negatif terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan awam. Sehebat dan secanggih mana pun kepakaran dan hospital, jika barisan hadapan kesihatan awam lumpuh, seluruh sistem kesihatan negara turut lumpuh.

Anggota kesihatan boleh terbeban dengan aktiviti rawatan kes positif, pengesanan kontak, pengasingan kes di rumah dan pengukuhan pemantauan bagi mengesan kes awal serta kaedah pengecaman lokasi panas untuk libat urus dinamik.

Peningkatan kes mendadak boleh menyebabkan jangkitan dengan gejala teruk dan komplikasi, termasuk peningkatan kemasukan kes ke wad, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan unit rawatan rapi (ICU) serta kematian.

Semua ini menyebabkan sistem perkhidmatan kesihatan negara terbeban dan lumpuh bukan hanya dalam mengendalikan kes COVID-19, bahkan pengendalian kes lain. Senario ini berlaku di beberapa negara seperti India, Brazil dan Itali.

Terkini, sistem penjagaan kesihatan negara mencapai had maksimum. Kadar penggunaan katil ICU pesakit COVID-19 di hospital sudah tahap 100 peratus, manakala di Lembah Klang mencecah 125 peratus.

Dari semasa ke semasa, jumlah katil ICU ditingkatkan bagi memenuhi keperluan rawatan pesakit COVID-19. Malah, hospital swasta yang mempunyai kerjasama dengan kerajaan juga sudah hampir kehabisan katil akibat digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

Ini belum termasuk anggota perubatan di hospital seluruh negara yang dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas. Selain pesakit kritikal COVID-19, hospital khusus ICU juga perlu menerima dan merawat pesakit kritikal bukan COVID-19.

Peningkatan kes mendadak kebelakangan ini memberi tekanan kepada sistem perkhidmatan kesihatan. Justeru, menjadi tanggungjawab semua untuk mengelak sistem kesihatan negara lumpuh.

Ketika ini, rakyat selaku barisan hadapan paling penting sangat dituntut mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan kerajaan.

Apa sedang berlaku di India seharusnya mengajar kita untuk terus patuh arahan pihak berkuasa dan sentiasa mengambil inisiatif menyekat penularan.

Memainkan peranan dalam tanggungjawab sosial memastikan kita berjaya atau tidak melawan penularan dan jangkitan yang amat membimbangkan ketika ini.

Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia

Berita Harian X