Selasa, 4 Mei 2021 | 12:43pm
Sediakan garis panduan bekerja dari rumah. - Foto hiasan
Sediakan garis panduan bekerja dari rumah. - Foto hiasan

Sediakan garis panduan bekerja dari rumah

Implikasi pandemik banyak mengubah norma dalam sistem pekerjaan, dengan istilah bekerja dari rumah (BDR) tidak asing lagi.

Namun hingga kini, belum ada 'alat' boleh diguna pakai untuk mengukur keberkesanan dan kecekapan kakitangan yang terbabit dasar BDR.

Istilah BDR juga menimbulkan banyak kekeliruan kerana tidak ada definisi jelas mengenai cara pelaksanaannya.

Seperti contoh, jika waktu bekerja lapan jam sehari, bermula jam berapakah ia akan dikira? Ataupun sekiranya pekerja berehat seketika untuk ke ruangan dapur menikmati sarapan atau ke luar rumah melihat tanaman, adakah ia dikira sebagai waktu bekerja?

Melihat undang-undang buruh sedia ada, ia lebih kepada bekerja secara normal iaitu memperuntukkan pekerja datang ke tempat kerja dan bertugas bukan secara maya.

BDR mengundang cabaran apabila majikan sukar mengawal pergerakan dan keberadaan pekerja sepanjang masa.

Ia turut mempengaruhi semangat kerja berpasukan kerana perbincangan kerja hanya dilakukan dalam talian dan kebanyakan tugasan lebih kepada pelaksanaan secara individu.

Hakikatnya, konsep BDR belum sepenuhnya dapat dipraktikkan secara optimum di Malaysia. Ia dikuatkuasakan walaupun kebanyakan pekerja masih tidak bersedia berhadapan dengannya.

Justeru, pekerja ibarat 'bidan terjun' terpaksa melaksanakan tugasan dari rumah secara mendadak.

Sebilangannya berdepan kekangan kerana tidak mempunyai kelengkapan seperti komputer riba ataupun telefon pintar, selain berdepan masalah capaian internet.

Pada masa sama, ada majikan berterusan mengarahkan staf bekerja sehingga lewat malam lantaran tidak mempunyai panduan khusus BDR.

Ini memberi kesan kesihatan mental kepada pekerja. Akhirnya, produktiviti pekerja terjejas susulan tekanan dihadapi.

Berdasarkan laporan IPSOS Malaysia mendapati, tekanan kerana perubahan rutin kerja dalam kalangan masyarakat Malaysia adalah 67 peratus berbanding 55 peratus secara global.

Penurunan produktiviti dalam kalangan pekerja di Malaysia pula adalah 64 peratus berbanding 46 peratus pada peringkat global sepanjang pandemik.

Ia membimbangkan, apatah lagi laporan kes penularan COVID-19 kekal mencatatkan peningkatan dan memberi gambaran pelaksanaan BDR akan terus dilanjutkan pada masa akan datang.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, turut menyatakan kementeriannya akan membuat kajian dalam memperluaskan BDR kepada beberapa sektor lain.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan, pula berpendapat perlu diwujudkan satu dasar nasional ataupun panduan standard BDR.

Garis panduan meliputi imbangan kerja dan kesihatan mental patut dititikberatkan dalam memastikan pekerja sentiasa sihat, bermotivasi dan akhirnya produktif dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dari rumah.

Beliau Shamsuddin juga berpendapat majikan perlu mengambil kira pemberian insentif tertentu kepada pekerja dalam menyediakan kelengkapan BDR. Pelaksanaan kajian lebih terperinci meliputi keperluan daripada majikan mahupun pekerja penting untuk memastikan produktiviti organisasi dapat dicapai.

Tuntasnya, sia-sia BDR diteruskan, tetapi produktiviti pekerja menunjukkan penurunan ataupun tidak seperti diramalkan.

Justeru, keprihatinan kerajaan dalam menyokong usaha ini turut membantu menjadikan BDR platform operasi pekerjaan lebih fleksibel.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Rembau

Berita Harian X