Rabu, 21 April 2021 | 11:01am
Promosi iklan judi sebahagian besar pelakonnya beragama Islam jelas menjatuhkan imej dan maruah sekaligus mencalar kesucian Islam.
Promosi iklan judi sebahagian besar pelakonnya beragama Islam jelas menjatuhkan imej dan maruah sekaligus mencalar kesucian Islam.

Tegas tangani pesalah cemar agama, isu sensitif

Penyiaran iklan yang mempromosi aktiviti judi dalam talian kepada umat Islam dengan menyalahgunakan hari raya yang tular di media sosial, dianggap melampau.

Ia jelas agenda jahat untuk menjatuhkan imej dan maruah Islam, apatah lagi disebarkan ketika Ramadan, sekali gus mencalar kesucian Islam.

Iklan mencetuskan kemarahan umat Islam itu dengan sengaja menampilkan kandungan mengajak umat Islam di negara ini berjudi bagi mendapatkan dana balik kampung sempena Aidilfitri.

Tindakan tegas perlu diambil pihak berkuasa. Bukan hanya kerana ia penghinaan amat dahsyat kepada umat Islam, tetapi juga mengambil kira kegiatan judi yang hukumnya haram di sisi Islam.

Sewajarnya pihak terbabit, terutama penerbit, kru produksi dan pelakon boleh diambil tindakan kerana bersubahat mempromosikan judi dalam talian dan ia satu kesalahan.

Lebih dikesalkan, sebahagian besar pelakonnya beragama Islam.

Mereka yang terbabit dengan penghasilan dan pengedaran kandungan boleh didakwa kerana tertakluk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia.

Namun, wujud 'kelompongan' dalam akta berkenaan kerana penyebarannya tidak dapat dikawal memandangkan ia dimuat naik daripada platform berpangkalan di luar negara dan bukannya melalui Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak tegas menghubungi pihak penyedia platform media seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menurunkan kandungan berkenaan.

Namun, satu lagi iklan judi hampir sama dimuat naik di platform berkenaan.

Untuk rekod setakat ini, SKMM sudah meminta 61 kandungan diturunkan Facebook, Twitter dan YouTube yang berpangkalan di luar negara.

Sebanyak 13 peratus sudah diturunkan, manakala selebihnya masih dalam proses penilaian dan penelitian penyedia platform.

Jika dianalisis, penerbit dan penggubah lagu iklan berkenaan boleh menjangkakan kandungan media ini akan mendapat bantahan masyarakat. Lantas, tindakan memuat naik video menggunakan platform luar negara mempunyai strategi propaganda jahat.

Sikap pengguna media sosial pula yang gemar memuat naik semula kandungan berkenaan menyukarkan proses menghalang penyebaran kandungan terbabit.

Pengguna media sosial di negara ini sepatutnya lebih bertanggungjawab, melaporkan secara terus kepada pihak berkuasa penyebaran video yang bercanggah norma masyarakat untuk diambil tindakan susulan.

Kejadian penghinaan terhadap Islam bukanlah kali pertama. Sebelum ini, banyak adegan sengaja mencemar kesucian agama, institusi beraja dan bangsa sehingga menimbulkan kemarahan, tular dalam media sosial.

Insiden dan gejala yang sengaja mencetuskan isu sensitif ini boleh merobek keharmonian dan perpaduan negara, malah sedikit pun tidak menghormati dan memahami roh serta semangat Rukun Negara.

Media sosial digunakan sebagai gelanggang menyebar fitnah, menghina, mengutuk dan menjatuhkan maruah seseorang atau organisasi.

Media sosial bukan lagi sekadar wadah menyampai maklumat, tetapi disalah guna untuk mencambah propaganda jahat dengan berselindung atas nama kebebasan.

Rukun Negara serta pelbagai dasar dibentuk dengan tujuan utama, iaitu membentuk perpaduan kukuh. Segala prinsip terkandung dalam Rukun Negara kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia.

Maka, tindakan tegas amat dituntut supaya pesalah mendapat hukuman setimpal dan perkara sebegini tidak akan berulang.

Sudah sampai masanya perkara ini diteliti secara serius dengan mewujudkan peraturan dan akta kandungan dalam talian di bawah bidang kuasa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Tindakan segera diperlukan supaya isu sensitif sebegini tidak berulang pada masa hadapan.

Penulis adalah Profesor di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X