Selasa, 13 April 2021 | 12:00pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Amal nilai integriti bermula dengan diri

RATHS, Harmin, dan Simon (1980) mendefinisikan nilai sebagai suatu garis panduan umum terhadap tingkah laku. Garis panduan ini memberikan satu arah kepada kehidupan seseorang atau anggota sesuatu masyarakat.

Integriti pula - dalam konteks paling mudah difahami - ditafsirkan sebagai melakukan perkara yang betul, walaupun tidak ada sesiapa melihat.

Apa pun, nilai integriti bermula dalam diri, kemudian dicontohi dan diteladani mereka yang terdekat, keluarga serta masyarakat.

Pandemik COVID-19 hari ini, banyak menguji dan mengajar kita mengenai kepentingan pengamalan nilai integriti. Kurangnya sifat jujur dalam diri individu dan masyarakat akhirnya mengundang kesulitan kepada negara.

Contoh paling mudah dalam konteks pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pemakaian pelitup muka, penggunaan sanitasi dan penjarakan fizikal.

Benar masyarakat mengambil serius pematuhan SOP, namun terdapat segelintir yang memandang enteng, menyebabkan wujudnya pelbagai kluster baharu COVID-19

Kewujudan pelbagai kluster ini menunjukkan masyarakat masih tidak berintegriti dalam pematuhan SOP dan natijahnya, memberikan implikasi buruk kepada ekonomi negara.

Contoh lain, dari segi pengamalan nilai integriti dalam kalangan peniaga. Terdapat situasi di mana pemilik premis hanya meletakkan alat pengesan suhu, alat sanitasi tangan dan buku log maklumat pelanggan atau kod QR MySejahtera di hadapan premis, tanpa ada pemantauan terhadap pematuhan.

Persoalannya, sejauh manakah pelanggan dipastikan mengisi maklumat diperlukan atau mengimbas kod QS MySejahtera, serta membuat pengesanan suhu sebelum masuk ke premis?

Tidak dinafikan, terdapat faktor menyumbang limitasi kawalan pemantauan disebabkan bilangan pekerja yang terhad.

Namun, perkara sebegini perlu dipandang serius supaya tidak timbul masalah di kemudian hari.

Dari sudut penjawat awam pula, isu boleh diketengahkan untuk penerapan dan pengamalan nilai integriti adalah amalan bekerja dari rumah (BDR). Ia mula dilaksanakan secara meluas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, pelaksanaan BDR menimbulkan banyak persepsi dan persoalan kerana ramai tidak jelas berkaitan konsep ini.

Antara persoalan paling banyak diutarakan, sejauh mana nilai kejujuran dalam diri penjawat awam untuk menjalankan amanah dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan tugasan ketika BDR.

Tidak dinafikan, ada segelintir penjawat awam menggunakan kesempatan BDR untuk keluar bersantai atau beli-belah di pasar raya. Ada juga kes penjawat awam mengambil kesempatan melakukan pekerjaan luar semasa BDR.

Walaupun dalam Akta 605 membenarkan penjawat awam melakukan pekerjaan luar selepas mendapat kebenaran bertulis ketua jabatan, namun ia perlu dilaksanakan selepas waktu kerja dan tidak mengganggu tugas hakiki.

Kes sebegini menjejaskan imej organisasi dan menimbulkan persoalan serta persepsi orang ramai tentang setakat mana pengamalan nilai integriti seseorang penjawat awam ketika BDR.

Kesimpulannya, pandemik COVID-19 sangat menguji tahap pengamalan nilai integriti individu dan masyarakat.

Ia perlu bermula dalam diri masing-masing untuk membentuk menjadi seorang individu yang berintegriti, walaupun perkara ini bukan suatu perkara yang mudah.

Justeru, kefahaman, penghayatan dan kesedaran kepada nilai positif perlu diterapkan supaya konteks integriti dapat difahami secara keseluruhannya.

Ini sekali gus membantu menangani isu berkaitan integriti seperti rasuah, penyelewengan kuasa, pecah amanah dan penipuan.

Pegawai Integriti, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X