Jumaat, 26 March 2021 | 11:01am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Penilaian risiko rasuah tutup ruang penyelewengan

Isu berkaitan rasuah kembali terpampang di muka akhbar dengan berita terkini mengenai penahanan anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Realitinya, ia bukanlah mengejutkan kerana sejak awal tahun lagi kita disogokkan pelbagai berita berkaitan pendedahan rasuah dan penurunan Malaysia di kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Ke-23 bagi 2020.

Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta SPRM 2009), terdapat empat kesalahan rasuah utama, iaitu meminta atau menerima rasuah, menawar atau memberi suapan, mengemukakan tuntutan palsu dan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam.

Apa yang dapat dilihat daripada berita ini ialah jenayah rasuah berlaku pada pelbagai peringkat dalam sesuatu organisasi.

Hakikatnya, risiko rasuah ini terdedah kepada semua pihak, tanpa mengira pangkat, keturunan dan jantina.

Bagi memerangi isu ini, pengurusan organisasi perlu lebih proaktif melaksanakan usaha bagi pencegahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Pihak dalaman organisasi perlu mengambil tanggungjawab lebih besar bagi mencegah rasuah dan mengukuhkan integriti warga kerja. Langkah pertama pragmatik dalam proses ini, menjalankan penilaian risiko rasuah.

Asas kepada program antirasuah holistik ialah penilaian risiko rasuah, iaitu proses mengenal pasti, menganalisis, menilai dan mengutamakan risiko rasuah dalaman serta luaran organisasi.

Ia langkah terancang ke arah memperkukuhkan dan memperkasakan tadbir urus terbaik bagi sesebuah organisasi.

Operasi dan aktiviti jabatan perlu dinilai bagi mengenal pasti risiko serta kawalan bersesuaian bagi menyekat dan menutup ruang dan peluang rasuah.

Antara risiko sering terdedah adalah apabila organisasi terbabit dengan kontrak perolehan, pelanggaran berkaitan keselamatan maklumat, salah laku berhubung kewangan, salah laku berkaitan dengan sumber manusia serta kecurian atau penyalahgunaan sumber.

Penilaian risiko rasuah adalah seiring dengan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) diperkenalkan pada 2019 untuk menangani permasalahan dan kelemahan tadbir urus, integriti serta antirasuah dalam organisasi.

Namun, OACP ini masih pada peringkat awal di majoriti jabatan dan entiti di sektor awam. Adalah menjadi kegusaran yang OACP ini hanya cantik dirancang dan dinyatakan di atas kertas, namun keberkesanan pelaksanaannya belum dapat diukur dan disebarkan kepada pihak awam.

Organisasi perlu mengguna pakai pendekatan pelaporan bersepadu bagi memastikan komunikasi dan ketelusan entiti.

Pelaporan ini perlu merangkumi risiko rasuah dinilai, latihan diberikan kepada pekerja mengenai dasar antirasuah dan bagaimana tindak balas dilaksanakan terhadap sebarang insiden rasuah berkaitan dengan aktiviti serta operasi organisasi. Penilaian risiko rasuah sistematik dapat membantu organisasi mengutamakan dan memberi tumpuan kepada aktiviti dikenal pasti sebagai lebih berisiko. Mengenal pasti dan menguruskan risiko rasuah tidak boleh dibiarkan hingga terlambat untuk mengelakkan akibat lebih mudarat.

Pelaporan organisasi berkaitan risiko dan kaedah menangani rasuah sentiasa menjadi perhatian pihak berkepentingan, sekali gus tidak seharusnya menjadi omong kosong organisasi dalam usaha membanteras rasuah, menambah baik tadbir urus dan membudayakan integriti.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Jaminan Kualiti, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X