Jumaat, 5 March 2021 | 10:45am
Gambar hiasan, rasuah.
Gambar hiasan, rasuah.

Pengurusan sistematik dalam membanteras rasuah

Semalam, genap 17 tahun penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan tujuan utama mengkoordinasi, memantau dan menilai pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang kini dijenamakan semula sebagai Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

Sehingga hari ini, IIM terus komited membangunkan kompetensi dan kapasiti semua sektor awam dan swasta, terutama dalam aspek governans, integriti dan antirasuah.

Tema dilipih - 'Membanteras Rasuah Melalui Pengurusan yang Sistematik' - lebih kepada meningkatkan kesedaran mengenai pendekatan berbeza dalam memerangi rasuah.

Ia juga meningkatkan pematuhan pelaksanaan, pemantauan dan penilaian, penambahbaikan serta kajian semula keberkesanan inisiatif.

Tema ini diharap memberi mesej bahawa kini tiba masa semua agensi kerajaan mahupun swasta menggunakan kaedah lebih sistematik, komprehensif dan inklusif.

Dengan menggabungjalinkan kepenggunaan sistem aplikasi pendigitalan perkhidmatan, kerenah birokrasi dan risiko rasuah dapat dikurangkan, selain menjimatkan kos memerangi rasuah dalam organisasi masing-masing.

Pengurusan sistematik sudah pasti meningkatkan kualiti. Inilah yang benar-benar menggambarkan integriti.

Pengurusan sistematik dinyatakan dalam tema ulang tahun IIM kali ini juga merujuk pensijilan MS ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS).

Secara ringkasnya, ABMS satu sistem yang menggunakan pendekatan pencegahan awal dengan mengenal pasti risiko rasuah di sesebuah organisasi berdasarkan fungsi sesebuah jabatan, unit mahupun bahagian. Ia menutup ruang dan peluang rasuah.

Jika dari awal ruang dan peluang rasuah ditutup, sudah pasti kes rasuah dapat dikurangkan. Dalam kata lain, sistem ini sentiasa beberapa langkah di hadapan.

Jika masih ada yang melakukan rasuah, aduan boleh dibuat sesiapa sahaja melalui saluran pendedahan maklumat atau 'whistleblowing channel'.

Saluran khusus di dalam sistem ini selamat dan berkesan. Tiada satu aduan pun akan terlepas pandang kerana keseluruhan sistem akan melalui proses audit yang ketat. Inilah dimaksudkan pengurusan sistematik.

IIM sendiri memperoleh pensijilan ABMS daripada badan pensijilan diiktiraf antarabangsa, iaitu SIRIM QAS International Sdn Bhd awal tahun ini.

Selain melaksanakan sistem pengurusan sistematik melalui pensijilan ini, IIM berhasrat menonjolkan kepemimpinan melalui teladan dan memberikan contoh baik kepada segenap organisasi luar sana, lebih-lebih sebagai agensi peneraju NACP untuk melaksanakan objektif strategik digariskan pelan itu.

Pengalaman membangunkan pensijilan ini semestinya berharga dan IIM sentiasa bersedia membantu organisasi yang mahu membangunkan ABMS.

Setakat Februari 2021, IIM sudah membantu 20 organisasi dengan sembilan daripadanya mendapat pensijilan. Jumlah ini akan terus meningkat tahun ini, lebih-lebih lagi menyedari keberkesanan sistem ini.

Sudah pasti ramai tertanya-tanya sama ada sistem pengurusan antirasuah ini benar-benar efektif atau sebaliknya.

Berdasarkan kajian keberkesanan membabitkan lapan organisasi yang sudah mendapat pensijilan ABMS, terdapat peningkatan aduan salah laku dalam organisasi terbabit.

Ia berikutan ada saluran untuk membuat aduan yang menjadi elemen penting dalam ABMS. Hasil dapatan kajian mendapati ABMS berkesan meningkatkan prestasi dan reputasi organisasi.

Terkini, lebih kurang 90 organisasi di Malaysia melaksanakan sistem pengurusan antirasuah ABMS dan bilangan ini masih dikatakan kecil.

Jika lebih banyak organisasi melaksanakannya, tidak mustahil rasuah di negara kita dapat diturunkan sekali gus membaiki kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun mendatang.

Jika dilihat perspektif berbeza pula, pensijilan ABMS meningkatkan keyakinan rakan perniagaan, klien malah pembekal untuk berurusan dengan organisasi terbabit.

Apabila menyentuh CPI, tindakan lebih drastik perlu diambil bagi memperbaiki kedudukan dan skor negara pada tahun mendatang.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, juga menyarankan pensijilan AMBS dijadikan sasaran indeks prestasi utama (KPI) organisasi tahun ini.

Jadi, semua pihak perlu mula melaksanakan pengurusan sistematik dalam membanteras rasuah khususnya menerusi pelaksanaan ABMS.

Nor'afiza Saim

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM)

Berita Harian X