Rabu, 17 Februari 2021 | 11:00am
Gambar hiasan/Sebahagian daripada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang hadir pada perhimpunan di Dataran Putra, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Gambar hiasan/Sebahagian daripada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang hadir pada perhimpunan di Dataran Putra, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kerjasama penjawat awam jayakan Dasar Perpaduan Negara

Dasar Perpaduan Negara (DPN) dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lalu.

DPN adalah dokumen strategi jangka panjang dan usaha berterusan dirangka untuk menetapkan hala tuju perpaduan negara dalam memupuk, mengukuh serta memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Blueprint Perpaduan Negara 2021-2030 pula dokumen menggariskan anjakan strategik dalam mencapai objektif seperti digariskan DPN. Ia turut menjadi rujukan dalam penyediaan Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025.

Dalam hal ini, penjawat awam mempunyai tugas paling berat dalam memastikan dasar dan rangka tindakan berjaya dilaksanakan.

Tanggungjawab ini bukan sahaja dipikul warga Kementerian Perpaduan Negara, malah semua warga kementerian lain. Ia berkait usaha dan proses penambahbaikan serta penyampaian sistem tadbir urus berkesan.

DPN menggariskan empat Pemboleh Daya Perpaduan yang perlu diambil serius warga penjawat awam yang boleh didefinisi sebagai pencetus atau mekanisme pemudah cara kepada perpaduan yang menyumbang kemakmuran rakyat.

Ia secara langsung memberi kesan kepada arah perpaduan seperti dicita-citakan negara.

Pertama, usaha meningkatkan peluang ekonomi yang saksama. Ia usaha mengimbangi taraf sosioekonomi antara etnik dengan wilayah tanpa mengira kepentingan mana-mana pihak.

Tumpuan pembangunan kepada golongan terpinggir, wilayah terpencil serta negeri yang ketinggalan. Dalam hal ini iltizam penjawat awam sangat diharapkan dalam mengenal pasti, menyantuni dan usaha turun padang. Perubahan terhadap sikap, nilai dan tindakan penjawat awam adalah diharapkan.

Dinamika dalam dasar tadbir urus juga dituntut. Memastikan perkhidmatan mesra rakyat, sentiasa profesional, mengutamakan integriti, cekap, berkesan dan melakukan perkara yang betul pada pertama kali sangat utamakan.

Kedua, memperkasa kumpulan minoriti dan rentan ekonomi, Dalam hal ini, penjawat awam seboleh upaya perlu menjadi 'mata dan telinga' bagi memastikan tiada golongan masyarakat tercicir dalam arus pembangunan.

Ia meliputi kumpulan B40, masyarakat Orang Asli, Bumiputera Sabah dan Sarawak, orang kurang upaya (OKU), belia, wanita, kanak-kanak dan warga emas. Setiap golongan mempunyai keperluan khusus yang perlu dikenal pasti dan dipenuhi dalam mencipta potensi masing-masing.

Ketiga, membabitkan usaha mengukuhkan jaringan perlindungan sosial serta memperkasa inovasi sosial. Penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kebajikan dan bantuan sosial harus dilaksanakan secara bersasar supaya lebih berkesan dan mengurangkan ketirisan.

Semua perlu dilakukan secara profesional diiringi dengan nilai cekap, berkesan, bertanggungjawab dan akauntabiliti demi kepentingan rakyat seluruhnya.

Pelaburan ke atas inovasi sosial pula amat penting melalui penjanaan idea, inisiatif, projek atau program bagi menyelesaikan masalah sosial membabitkan individu, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Agensi kerajaan dan NGO seharusnya bekerjasama menyumbang kepakaran masing-masing. Perkongsian data antara agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri juga penting dengan mengambil semangat federalisme.

Keempat, usaha merapatkan jurang pembangunan dan kebolehcapaian antara negeri dan wilayah. Kemakmuran bersama hanya boleh diperoleh dengan usaha melangkaui sempadan geografi.

Pembangunan infrastruktur yang luas serta peningkatan akses serta kecapaian fizikal dan komunikasi digital antara aspek perlu diberi tumpuan utama.

Pada era pandemik, menguasai perkembangan teknologi oleh setiap penjawat awam bukan lagi satu pilihan, malah satu kemestian. Nilai kompetensi perlu ada dalam kalangan penjawat awam dalam aspek kebolehan, kecekapan dan kemahiran.

Akhir kata, DPN dan Blueprint Perpaduan Negara 2021-2030 menggariskan pemboleh daya perpaduan yang perlu difahami, dihayati dan dilaksanakan penjawat awam bagi mencapai matlamat memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan negara.

Usaha ke arah perpaduan memerlukan komitmen semua pihak dan penjawat awam mempunyai peranan besar sebagai ejen membina negara maju, makmur, berintegriti dan bersatu padu serta diiktiraf pada peringkat global.

Sasarannya, menjadikan Malaysia negara bersatu, makmur dan bermaruah seperti dicita-citakan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Berita Harian X