Rabu, 20 Januari 2021 | 11:01am
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

'Menjiwai semula' nilai integriti kekang rasuah sektor awam

Rasuah mungkin dianggap tajuk lapuk, namun topik ini perlu terus diperkatakan mengambil kira kesan besarnya kepada bangsa dan tanah air.

Relevannya sudah tentu untuk mencari solusi supaya rasuah tidak terus berleluasa, umpama sekam yang tiba-tiba menjadi bara.

Biarpun rasuah membabitkan isu umum, tumpuan utama turut meliputi penjawat awam. Sekalipun hanya segelintir terbabit, dampak negatifnya boleh mencalar kewibawaan keseluruhan perkhidmatan awam negara.

Insiden lolosnya pintu masuk negara, terlepasnya cukai hasil pendapatan negara dan ketirisan peruntukan perolehan berbilion ringgit yang merugikan negara hingga kepada episod daging kartel, semuanya mengundang musibah jauh lebih besar jika tidak segera ditangani.

Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, yang menyeru penjawat awam mengambil sikap 'menjaga tepi kain orang' perlu diberi perhatian untuk menyekat gejala yang diibarat 'selumbar dalam daging' ini daripada berterusan.

Penjawat awam perlu sedar matlamat perkhidmatan untuk masyarakat hanya dicapai apabila sistem penyampaian perkhidmatan awam dilaksana penuh berintegriti.

Oleh itu, integriti perlu dilihat sebagai kata kunci yang menjadi prasyarat kejayaan peribadi dan institusi.

Seseorang penjawat awam diamanahkan kuasa dan tanggungjawab perlu bertindak secara telus serta mematuhi proses atau prosedur undang-undang ditetapkan.

Memahami maksud integriti dan amanat disampaikan, semua penjawat awam harus melakukan introspeksi terhadap kehidupan sepanjang menjawat jawatan, supaya tidak terjebak amalan tidak berintegriti, daripada sekecil-kecil perkara hingga kepada salah guna kuasa dan rasuah.

Dalam erti kata lain, integriti menjadi benteng yang menghalang amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Perkhidmatan sepatutnya disampaikan berkesan dan telus dengan slogan 'Berkhidmat Untuk Negara', boleh sahaja tergugat dengan motif keuntungan peribadi dalam pelbagai bentuk seperti duit kopi, pengeras, wang pelincir atau wang panas yang jelas bertentangan lunas undang-undang dan nilai murni, termasuk hukum agama.

Sungguhpun pelbagai inisiatif dan usaha dilaksanakan kerajaan demi memperkukuhkan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam seperti penggubalan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993; pengenalan pelbagai dasar bermula dengan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam; Dasar Bersih, Cekap dan Amanah; Dasar Tonggak 12; pelancaran Pelan Integriti Nasional hinggalah kepada penubuhan unit integriti di setiap agensi awam, namun gejala rasuah ini masih tidak berkesudahan.

Ini dibuktikan data Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan 525 kes rasuah kalangan penjawat awam direkodkan pada 2019, diikuti 467 kes bagi pada 2020.

Data ini membawa ingatan kita kepada tiga dasawarsa lalu, ketika Steven Schlosstein dalam Asia's New Little Dragons: The Dynamic Emergence of Indonesia, Thailand and Malaysia, menyebut rasuah yang berleluasa sebagai antara faktor besar yang menjejaskan pelaburan asing ke Malaysia.

Krisis keyakinan Scholosstein ini juga turut dinyatakan Datuk Dr Siddiq Fadzil dalam tulisannya 'Jenayah Kolar Putih-Krisis Etika Pengurusan?' di Berita Harian.

Semua ini ditambah pula dengan laporan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia 2020 yang masih jauh terkebelakang dibandingkan Singapura atau Brunei.

Meskipun data hanya angka, naratif di sebalik segala yang berlaku memberi isyarat yang menuntut sikap proaktif semua pihak supaya dapat membendung gejala ini daripada berterusan berlaku.

Ini boleh dijayakan dengan 'menjiwai semula' nilai integriti dalam posisi masing-masing. Bagi mendukung aspirasi ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkenal siri program 'UMT Pimpin', dengan harapan di segenap lapisan kepemimpinan, mampu menyemarakkan penghayatan integriti dalam konteks universiti awam.

Sebagai kesimpulan, integriti adalah citra kesolehan atau akhlak mulia seseorang penjawat awam.

Saranan 'menjaga tepi kain orang' perlu dilihat dalam konteks berbeza, iaitu sebagai whistle blowers dalam mengekang gejala rasuah daripada terus membarah.

Marilah kita bersama menghayati nilai integriti demi wibawa perkhidmatan awam lebih cemerlang, supaya Malaysia mampu melangkah gagah lebih bermaruah!

Berita Harian X