Selasa, 23 Jun 2020 | 11:01am
Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel warga asing yang hadir membuat ujian saringan COVID-19 ketika tinjauan di sekitar Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni, 4 Jun. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel warga asing yang hadir membuat ujian saringan COVID-19 ketika tinjauan di sekitar Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni, 4 Jun. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Pelan tindak balas sekat pandemik berkesan

KITA pernah dengar orang menyebut kegagalan merancang adalah merancang untuk gagal. Ia bermaksud perancangan rapi perlu dibuat untuk mengelak kegagalan pada masa hadapan. Begitu juga perancangan atau persediaan dibuat untuk berhadapan sesuatu tidak dijangka seperti pandemik COVID-19.

Kekuatan dimiliki Malaysia banyak membantu memerangi pandemik ini. Ia termasuk asas ekonomi negara yang pelbagai, kedudukan kewangan stabil, pengalaman berhadapan beberapa krisis sebelum ini seperti krisis kewangan 1997 dan tsunami 2004.

Semua ini memerlukan pelan tindakan berbeza dan kemajuan teknologi digital sedia ada membantu negara lebih bersedia mengurus pandemik melanda.

Pada peringkat tindak balas krisis, rakyat melihat kerajaan merancang dan melaksanakan pelan tindak balas pencegahan berkesan untuk menyekat penularan.

Ini termasuk mengehadkan pergerakan bermula 18 Mac lalu melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan banyak fasa.

Kerajaan juga mengambil tindakan pantas menyekat penularan dengan mengawal sepenuhnya sempadan negara daripada ditembusi warga asing secara haram. Kewujudan pendatang asing tanpa izin (PATI) di lokasi seperti pasar borong dan kawasan penempatan mereka juga dibanteras, disusuli penghantaran pulang ke negara asal.

Fasa tindak balas krisis memperlihatkan komunikasi cukup mantap dan meyakinkan barisan pentadbir diketuai Perdana Menteri.

Penyaluran maklumat berkaitan COVID-19, PKP dan pelan pemulihan ekonomi, memberi harapan serta semangat kepada segenap lapisan masyarakat untuk turut sama mengekang penularan wabak.

Kita berharap dalam beberapa bulan akan datang Malaysia akan bebas sepenuhnya daripada COVID-19, disusuli pemulihan ekonomi. Ini pasti mencerminkan kejayaan semua pihak.

Berhadapan COVID-19 akan meningkatkan pengalaman negara dalam mengurus sesuatu krisis pada masa akan datang. Dengan perubahan iklim global, pergeseran kuasa besar dunia serta penggunaan senjata biologi dan kimia, kita tidak boleh memandang sepi kemungkinan krisis pada masa akan datang.

COVID-19 bukan setakat menguji kemampuan pengurusan krisis peringkat pemerintah, tetapi juga memberi cabaran kepada firma perniagaan, entiti bukan berasaskan keuntungan serta struktur sosial kecil, iaitu keluarga serta individu.

Kita mengharapkan ekonomi negara akan pulih segera pada 2021 dengan firma perniagaan dan masyarakat meneruskan kelaziman baharu bermanfaat semasa tempoh krisis.

Pasca-COVID-19 akan menyaksikan agensi awam dan swasta mengadakan sesi bedah siasat di pelbagai peringkat bagi menilai semula kelemahan dan kekuatan semasa menguruskan wabak.

Firma perniagaan sudah tentu lebih bersedia. Bagi agensi awam seperti Kementerian Kesihatan (KKM) pula, biarpun dilihat sangat efektif dalam menangani wabak, masih perlu melihat potensi beberapa teknologi untuk berhadapan apa juga wabak penyakit.

Sesuatu boleh dipelajari dari negara seperti Jerman, China dan Korea Selatan yang menggunakan teknologi satelit, robot, dron serta aplikasi telefon mudah alih dalam mengurus wabak COVID-19.

Penting juga bagi agensi awam dan swasta memperkemaskan jawatankuasa berkaitan pengurusan krisis dan bencana. Tidak rugi membuat pelaburan menubuh dan mengaktifkan pasukan pengurusan krisis peringkat organisasi dari segi memberi latihan berkala, mengadakan simulasi bencana, pendedahan kepada kepelbagaian krisis yang boleh menimpa organisasi dan bagaimana pasukan ini mampu bertindak.

Aktiviti libat sama antara agensi kerajaan dan swasta diperlukan. Ia untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi, selain meningkatkan keyakinan pelabur serta pelancong tempatan dan antarabangsa terhadap Malaysia.

Pasca krisis akan menyaksikan kelaziman baharu dan lama bergerak seiring perubahan dan keperluan transformasi operasi perniagaan, penciptaan dan penggunaan lebih banyak inovasi digital memudah dan mempercepatkan urusan peniaga dan pengguna. Penggunaan teknologi memudahkan urusan membabitkan khalayak seperti aktiviti pembelajaran, mesyuarat serta persidangan.

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Semoga Malaysia dapat segera mengumumkan negara menang dalam peperangan menentang wabak COVID-19 apabila tidak ada lagi kes aktif.

Pengalaman mengurus krisis COVID-19 menjadikan rakyat lebih menghargai kebebasan, cekal dan tabah serta sayangkan negara dan bersatu hati berhadapan apa sahaja krisis pada masa hadapan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis

Berita Harian X