Rabu, 18 Disember 2019 | 10:47am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Henti mempersendakan fizikal orang lain

“Kau ni dah makin gemuk, cubalah diet sikit”. “Kenapa kurus sangat macam tak cukup makan”. “Badan besar mana sesuai pakai baju cerah, nampak makin besar”. “Kau diri depan sekali sebab paling pendek”. “Hitamnya orang tu”.

Itu antara kata-kata sering kita dengar daripada mulut segelintir orang, bahkan mungkin ahli keluarga dan rakan terdekat. Ia sebenarnya dikategorikan sebagai body shaming atau dalam bahasa Melayu ‘ejekan tubuh’.

Perlakuan ejekan tubuh tidak hanya berlaku secara lisan iaitu secara bersemuka, tetapi juga melalui gajet dan aplikasi. Contohnya, melalui komen di media sosial yang semakin meluas dilakukan hari ini, sejajar perkembangan teknologi terkini.

Ejekan tubuh didefinisikan sebagai perbuatan memalukan seseorang atau diri sendiri melalui ejekan dan kritikan terhadap bentuk tubuh, warna kulit, penampilan, pekerjaan serta kekurangan dialami mereka.

Walaupun niat pelaku sekadar bergurau, memberi nasihat atau menunjukkan keprihatinan, ia tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mengguris perasaan, merendahkan maruah dan menyebabkan ‘mangsa’ hilang keyakinan diri.

Lebih membimbangkan individu terbabit akan mengalami stres dan kemurungan sehingga mengelak untuk bersosial serta lebih gemar menyendiri.

Paling ditakuti mereka ini berisiko mencederakan diri atau paling tragis, membunuh diri akibat merasakan diri tidak lagi menarik, menjadi bahan ketawa dan ‘manusia gagal’.

Kesan perlakuan ini dapat dilihat apabila beberapa bulan lalu kita dikhabarkan dengan tindakan nekad artis popular Korea, Sulli, yang membunuh diri akibat tidak mampu menanggung tekanan diejek di media sosial hampir setiap masa. Sulli juga menerima kritikan secara berdepan daripada penonton pada satu acarakerana dikatakan memiliki tubuh tidak sempurna.

Ini satu daripada beberapa kes bunuh diri akibat ejekan tubuh membabitkan selebriti di ‘negara ginseng’ itu yang berpunca daripada ketaasuban peminat dan pengikut dunia hiburan di sana untuk melihat kesempurnaan pada diri artis sehingga lupa batasan moral berkomunikasi.

Selain selebriti, ejekan tubuh berlaku dalam kalangan setiap lapisan masyarakat tidak kira umur, status dan latar belakang individu. Pendek kata sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa jika dilihat kurang sempurna di mata mereka yang gemar menghukum, mengkritik serta bergurau kasar.

Satu kes pernah dilaporkan membabitkan seorang remaja berumur 17 tahun membunuh diri dengan melompat dari tingkat lima bangunan dek tidak tahan sikap beberapa rakan yang hampir setiap hari mengejeknya gemuk sebagai bahan jenaka.

Walau apapun alasannya, ejekan tubuh adalah sikap yang tidak boleh dilakukan sama ada melalui lisan atau tulisan kerana memberi impak sangat negatif kepada mangsa. Di Malaysia perbuatan itu dikategorikan sebagai jenayah.

Berbekalkan bukti, mangsa’ boleh membuat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya.

Melalui laporan dibuat, pelaku boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Jika didapati salah, denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi mengatasi permasalahan etika ini, pendidikan awal harus diberikan kepada generasi muda bukan sahaja di rumah dan prasekolah, tetapi juga diwujudkan silibus dalam jadual waktu kelas secara mingguan pada peringkat sekolah rendah bagi memberi pendedahan kepada pelajar kepentingan memelihara sivik serta kemahiran berkomunikasi.

Kesimpulannya, individu harus belajar menghormati dan tidak memandang rendah kepada sesiapa sahaja demi menjamin keharmonian kehidupan masyarakat, selain cuba meletakkan diri serta memahami perasaan orang jika mereka sendiri dilemparkan kata-kata berbentuk ejekan tubuh.

Setiap manusia tidak sempurna dan sama sahaja di mata Tuhan, tetapi yang membezakan adalah amalan baik, jadi hentikanlah mengeluarkan kata-kata berbentuk ejekan tubuh.

Penulis adalah wartawan Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP.

Berita Harian X