Jumaat, 14 Disember 2018 | 11:00am
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Krisis tadbir urus cetus skandal TH

PENDEDAHAN mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji (TH) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, memang menggemparkan ramai.

TH didakwa mengalami defisit RM4.1 billion bagi tahun kewangan 2017 dengan jumlah aset RM70.3 billion, berbanding jumlah liabiliti RM74.4 billion.

Dapatan siasatan dalaman merumuskan dividen atau hibah yang dibayar oleh pendeposit menggunakan simpanan pendeposit itu sendiri. Pengumuman itu hasil siasatan dalaman oleh firma audit, PricewaterhouseCoopers (PwC).

Sebelum pendedahan ini dilakukan, dua laporan polis sudah dibuat TH, yang pertama berkaitan dana RM22 juta Yayasan Tabung Haji yang digunakan bagi aktiviti mempunyai kecenderungan politik.

Dakwaan sembunyi maklumat penjualan saham

Laporan kedua pula berkaitan salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting mengenai penjualan saham TH pada 2012 dalam PT TH Indo Plantations kepada PT Borneo Pacific, syarikat perladangan di Indonesia.

Berdasarkan pendedahan dan laporan polis ini, isu TH dilihat bukan sahaja mengenai pengagihan hibah yang tidak mengikut prosedur, penyelewengan dan salah guna dana, bahkan turut menggambarkan krisis tadbir urus korporat yang tidak mengikut amalan terbaik.

Ini seterusnya membawa kepada kesan terhadap reputasi dan nama baik TH selaku institusi Islam. Justeru, semakan semula terhadap garis panduan tadbir urus TH dilihat perlu, selain usaha memulihkan prestasi kewangan TH.

Ambil kira suara pendeposit

Sebagai sebuah entiti amanah awam, dengan pemegang taruh utamanya ialah pendeposit, suara dan hak pendeposit perlu diambil kira dalam tadbir urus TH. Peruntukan sedia ada mengikut Seksyen 6(1) Akta Tabung Haji 1995 mengenai keahlian Ahli Lembaga Pengarah TH, perlu dipinda.

Berdasarkan peruntukan sedia ada, kuasa melantik pengerusi dan ahli lembaga pengarah TH di bawah bidang kuasa menteri yang bertanggungjawab terhadap urusan TH, walhal pendeposit selaku pemegang taruh utama tiada kuasa untuk melantik ahli lembaga pengarah mewakili mereka dalam memastikan operasi TH mengikut garis panduan tadbir urus yang baik.

Tambahan pula, kerajaan tidak memiliki pegangan secara langsung dalam TH daripada sudut ekuiti, berbanding pendeposit atau ‘pemilik sebenar’ TH. Justeru, tiba masanya pendeposit diberikan kuasa untuk melantik Ahli Lembaga Pengarah TH.

Lapor prestasi kewangan kepada pendeposit

Pelantikan ini dapat dibuat dengan mengadakan mesyuarat agung tahunan dan ahli lembaga pengarah yang dilantik bertanggungjawab melaporkan prestasi kewangan tahunan kepada pendeposit dalam mesyuarat agung tahunan seperti amalan syarikat senaraian awam.

Ini bukan sahaja dapat mengurangkan pengaruh politik dalam TH, bahkan turut meningkatkan kebertanggungjawaban pihak pengurusan dan lembaga pengarah TH, terutama terhadap pendeposit.

Cadangan semakan semula garis panduan mengenai kuasa tadbir urus kepada pemegang taruh ini turut disarankan bagi entiti amanah awam yang lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ia bagi memastikan entiti terbabit dapat memaksimumkan amalan tadbir urus yang baik dan bebas daripada pengaruh politik.

Penulis adalah Felo Siswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X