BELANJAWAN 2019 yang bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera telah menstruktur semula perbelanjaan negara melalui Bajet Asas-Sifar (Zero-Based Budgeting).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerangkan bahawa Bajet Asas-Sifar ialah sistem belanjawan berasaskan sifar belanjawan. Pendekatan ini bagi meningkatkan keberkesanan, kecekapan dan penjimatan kerana perbelanjaan dibuat melalui matlamat peruntukan dan bukannya berdasarkan perbelanjaan tahun sebelumnya dan semua perbelanjaan yang menurut budi bicara akan dirancang melalui sifar.
Bajet Asas-Sifar dipelopori oleh Pete Pyhrr pada 1960 dan mula diperkenal dalam Harvard Business Review pada 1970 yang mengambarkan cara baharu mengurangkan perbelanjaan. Hal ini menarik perhatian Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter pada 1971 yang mengisytiharkan niatnya melaksanakan Bajet Asas-Sifar untuk mengurangkan perbelanjaan persekutuan pada ketika itu.
Berasas kecekapan dan keperluan
Adakah model Bajet Asas-Sifar akan berjaya dilaksanakan dalam pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2019?
Dalam membina semula belanjawan negara dari bawah, maka kewangan yang bersih dan bermula dari bawah menjadi pilihan dalam scenario ini. Bajet Asas-Sifar ialah proses belanjawan yang memperuntukkan pembiayaan yang berasaskan kecekapan dan keperluan program serta bukannya melalui sejarah perbelanjaan terdahulu.
Ini berbeza dengan belanjawan terdahulu yang perbelanjaan diambil secara automatik mengikut sejarah atau trend belanjawan. Belanjawan 2019 dengan model Bajet Asas-Sifar ini mengkaji setiap kategori perbelanjaan melalui setiap kementerian pada awal kitaran belanjawan dan akan mewajarkan setiap projek atau program untuk menerima pembiayaan.
Hal ini akan memberi peruntukan kepada projek atau program berasaskan kecekapan dan keperluan projek atau program berkenaan.
Sebagai contoh, jika dana RM50 juta disediakan kepada Kementerian Kesihatan bagi peruntukan rawatan penyakit jarang jumpa, Hepatitis B dan rawatan haemodialisis yang apabila pelaksanaannya memakan kos RM40 juta, peruntukan yang akan diberikan ialah mengikut keperluan sahaja, iaitu RM40 juta dan bukannya RM50 juta. Penjimatan sebanyak RM10 juta dapat dilakukan.
Inilah yang dimaksudkan dengan Bajet Asas-Sifar, iaitu berasaskan kecekapan dan keperluan dan bukannya berdasarkan peruntukan atau sejarah terdahulu.
Pelaksanaan Bajet Asas-Sifar berdasarkan kecekapan dan keperluan ini membenarkan tahap perbelanjaan ditetapkan mengi-kut keperluan aktiviti fungsi dan kos struktur yang sebenar dan bukannya berpandukan sejarah terdahulu.
Pelaksanaan Bajet Asas-Sifar ini walaupun di atas kertas nampak seperti sesuatu yang baik dan akan menjimatkan kos kepada negara seperti diharapkan kerajaan PH, namun mempunyai cabaran dalam pelaksanaannya kelak.
Untuk memastikan Bajet Asas-Sifar ini mampu dilakukan dengan baik, beberapa pendekatan perlu dilakukan oleh setiap kementerian dan agensi pelaksana. Pertama, model tadbir urus yang mudah dan linear bagi setiap kementerian dan agensi pelaksana.
Setiap kementerian dan agensi pelaksana perlu membuat penjajaran di antara pelan strategik dan Bajet Asas-Sifar yang boleh dianggap sebagai perancangan strategik dan kewangan bersepadu.
Penjajaran pelan strategik, KPI perlu diperhalusi
Pelan strategik perlu menetapkan visi, inisiatif strategik dan sasaran setiap kementerian serta agensi pelaksana mengikut rancangan untuk menyediakan belanjawan sifar yang bijak. Penjajaran pelan strategik dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang berkaitan perlu diperhalusi melalui setiap kementerian dan agensi pelaksana mengikut perancangan dengan kos yang bertepatan atau minimum.
Hal ini akan merombak tadbir urus sedia ada dan memerlukan masa penyesuaian di setiap kementerian dan agensi pelaksana.
Kedua, kementerian dan agensi pelaksana perlu melakukan kaedah matriks kos mengikut jenis perbelanjaan dan siapa yang memiliki setiap peringkat mengikut model tadbir urus yang ditetapkan.
Matriks kos ini perlu diguna pakai dalam pelaksanaan Bajet Asas-Sifar. Ini akan membolehkan setiap kementerian dan agensi pelaksana memperbaiki perbelanjaan untuk dianalisis serta ditambah nilai dengan lebih baik bagi setiap suku tahun atau setiap setengah tahun pelaksanaan.
Kaedah kos matriks ini akan mengenal pasti kos tetap dan kos sementara bagi setiap pelaksanaan projek atau program yang bakal dijalankan. Kaedah ini akan menjimatkan kos pelaksanaan.
Sekali lagi timbul isu kesediaan setiap kementerian dan agensi pelaksana untuk melangsungkan Bajet Asas-Sifar secara khusus kerana ini memerlukan lebih banyak kerja untuk memahami aktiviti dan kos struktur sesuatu projek atau program melalui kaedah kos matriks yang kompleks.
Bajet Asas-Sifar yang ingin dilaksana kerajaan PH dalam Belanjawan 2019 dijangka mengurangkan kos dan memperbaiki aspek operasi kuantitatif dan kualitatif, namun pelaksanaan Bajet Asas-Sifar yang lengkap mempunyai cabaran dan risiko kepada kerajaan.
Harimau Asia
Kitaran Bajet Asas-Sifar yang komprehensif bukan pilihan kos efektif bagi kebanyakan kerajaan pemerintah, namun komponen dan teori Bajet Asas-Sifar berguna dalam keadaan tertentu kepada kementerian dan agensi pelaksana dalam meneliti projek.
Mungkin ada program, kaedah dan teknologi alternatif yang kurang mahal dan lebih memberi tumpuan kepada pemacu kos yang disasarkan serta lebih berkesan dengan strategi yang telah ditetapkan.
Semoga dengan pelaksanaan Bajet Asas-Sifar yang bakal dilaksanakan dalam tahun depan seperti yang oleh Jimmy Carter pada 1971 mengembalikan kedudukan ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia. Mampukah Malaysia?
Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA, Johor