Jumaat, 14 Oktober 2022 | 12:10pm
Pupuk akhlak dan adab baik sejak usia muda dalam membina keharmonian sesama Muslim. - Foto hiasan
Pupuk akhlak dan adab baik sejak usia muda dalam membina keharmonian sesama Muslim. - Foto hiasan

Menjaga adab ketika berinteraksi cerminan keimanan Muslim

DALAM konteks memelihara adab dalam pergaulan seharian, peribahasa Melayu ada menyebut 'orang memberi, kita berasa; orang berbudi, kita berbahasa'.

Maksud 'berbahasa' ini bukan sahaja memberi makna sebagai mempunyai bahasa, bahkan juga menonjolkan bangsa 'memakai' atau dalam sesuatu bahasa.

Terdapat pandangan mengatakan pertuturan bukan sahaja boleh membayangkan keperibadian si penutur, malah berdasarkan pertuturan boleh juga diimbas jenis kerjaya, tahap pendidikan dan status sosial penutur dalam masyarakat.

Sebenarnya sama ada berbahasa, menuturkan kata-kata, berbicara, berkomunikasi atau apa sahaja istilah merujuk kepada interaksi antara dua orang manusia atau lebih, di sisi agama Islam ia sebahagian daripada perkara adab atau akhlak.

Tanpa mengira latar belakang seseorang Muslim itu atau tahap pendidikannya, selagi ia mengaku beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, ia tidak akan meninggalkan aspek akhlak dalam kehidupannya selain mengamalkan perkara disyariatkan Islam.

Dengan perkataan lain, orang beriman adalah individu mengiktiraf keesaan Allah; melakukan setiap perkara (ibadah) yang diperintahkan dan meninggalkan perkara dilarang (maksiat); seterusnya menjaga akhlaknya termasuklah ketika bertutur, berkomunikasi dan bersosial dengan orang lain.

Dalam hal ini, bagaimanakah seharusnya seorang Muslim itu berakhlak? Sudah tentu rujukan dan panduan individu Muslim itu adalah Baginda Rasulullah SAW.

Panduan ini berdasarkan ayat 107 Surah al-Anbiyaa' menerusi firman Allah SWT bermaksud; "Tidaklah Kami mengutuskan kamu wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam."

Tafsir al-Maraghi menjelaskan Rasulullah SAW diutuskan kepada manusia adalah untuk membawa ajaran mengandungi kemaslahatan di dunia dan akhirat.

Baginda menunjukkan keperibadian dan akhlak baik sebagai sebahagian daripada rahmat kerana akhlak terpuji amat diperlukan dalam kehidupan bermasyarakat.

Elak kontroversi, persengketaan

Ia memberi ketenteraman dan keamanan kerana mampu mengelakkan tercetusnya sebarang konflik dan persengketaan sesama manusia.

Akhlak yang baik mengeratkan silaturahim sesama insan dan hal ini selari dengan pengertian 'rahmat' sebagai kasih sayang.

Apabila Aishah ra ditanyakan perihal akhlak Rasulullah SAW, beliau menyatakan akhlak Rasulullah SAW ialah al-Quran. Bermakna Baginda memiliki akhlak dan keperibadian sempurna.

Malangnya, pada hari ini manusia mengalami krisis akhlak dan kebejatan sosial, termasuk dalam berkomunikasi, terutama menerusi media sosial. Ia dapat dilihat menerusi cara manusia berinteraksi, terutama di media sosial.

Ia cukup menjelaskan krisis akhlak sedang dihadapi manusia, termasuk orang Islam. Keadaannya amat berat dan tenat, walaupun tidak dinafikan masih tahu menjaga adab dan berbahasa.

Slogan 'bahasa menunjukkan bangsa', tidak lagi menjadi pegangan manusia, termasuk orang Islam apatah lagi berketurunan Melayu.

Justeru, bagi menangani permasalahan ini, Muslim berkewajipan merenungi perintah Allah SWT menerusi firmannya bermaksud; "Dan mereka diberi petunjuk (di dunia) dengan mengucapkan kata-kata baik serta diberi petunjuk ke jalan Allah yang maha terpuji". (Surah al-Hajj ayat 24).

Muslim juga dituntut menjadikan akhlak dan peribadi Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan serta panduan dalam berkomunikasi atau berinteraksi.

Ini selari dengan hadis diriwayatkan at-Tarmizi, Abu Daud dan Ahmad bermaksud: "Rasulullah SAW bukan seorang yang keji dan tidak berbuat perbuatan keji, tidak berteriak di pasar dan tidak pernah membalas kejahatan dengan kejahatan. Baginda seorang pemaaf dan sentiasa berlapang dada."

Mafhum hadis ini jelas menunjukkan Nabi SAW sangat menjaga akhlak dan percakapannya. Dalam pergaulan juga Rasulullah SAW menegaskan Baginda tidak gemar dipuji secara berlebih-lebihan dan ini menggambarkan Rasulullah SAW amat tawaduk.

Melihat kepada fungsi akhlak dalam kehidupan bermasyarakat, dapat dilihat kecerdikan akal, kepesatan pembangunan fizikal serta kecanggihan teknologi tidak memadai untuk menjadi kayu ukur sebenar dalam mengukur ketinggian sebuah tamadun.

Islam garis kaedah terbaik bersosial

Sesebuah tamadun bangsa akan menjadi rapuh sekiranya akhlak dan keperibadian tidak sama-sama diberi perhatian serius. Dalam hal ini, Islam mempunyai kaedah terbaik dalam bersosial dan berkomunikasi sesama manusia.

Pertama, menuturkan perkataan benar seperti perintah Allah SWT bermaksud; "Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki amalanmu dan mengampuni dosamu. Siapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia mendapat kemenangan besar". (Surah al-Ahzab, ayat 70-71)

Panduan kedua adalah sebagaimana sebuah hadis diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim bermaksud: "Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam."

Kedua-dua panduan ini bukan bermaksud Islam agama 'beku dan kaku'. Kreativiti dalam komunikasi termasuk bergurau senda dibolehkan dalam interaksi asalkan ia masih dalam keadaan beradab dan boleh diterima dalam budaya keluarga dan masyarakat.

Dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan ketika berkomunikasi, Muslim dapat mengembalikan semula keadaan lebih harmoni dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat.

Penulis adalah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X