SIFAT kedekut dan bongkak menjadi antara ciri ahli neraka yang perlu dijauhi orang beriman, manakala sifat pemurah dan berasa kasihan kepada orang lain serta lemah-lembut dengan manusia disebut sebagai antara ciri ahli syurga.
Hakikatnya, sifat ahli syurga itu ialah pancaran daripada akhlak Nabi Muhammad SAW yang sangat mengambil berat umat Baginda sama ada yang hidup bersamanya atau selepas kewafatan, termasuk kita di akhir zaman.
Sheikh Muhammad Yusuf Kandhalawi dalam kitabnya, Mutakhab Ahadis membawa hadis dalam bab Memuliakan Muslimin: Kedudukan dan Kemuliaan Orang Islam, Harisah Ibnu Wahab RA berkata beliau mendengar Nabi SAW bersabda: "Tidakkah patut aku menceritakan siapakah ahli syurga kepada kamu?" (Kemudian Baginda pun menjawab): "(Ahli syurga ialah) setiap insan yang lemah-lembut, iaitu tidak bersikap keras dalam hubungannya sesama manusia, bahkan merendah diri hingga dianggap sebagai orang lemah. (Bagaimanapun dalam soal hubungan dengan Allah SWT, iaitu agama) andainya dia bersumpah dengan nama Allah SWT (mengenai sesuatu perkara), maka pasti Allah SWT melakukan perkara itu (bermaksud menyempurnakan sumpahnya itu).
Kemudian Nabi SAW bersabda lagi: "Tidakkah patut aku memberitahu kamu siapakah ahli neraka?" (Kemudian Baginda sendiri menjawab): "(Ahli neraka ialah) setiap orang yang mengumpulkan harta kemudian bakhil terhadap hartanya serta bersikap keras, angkuh dan sombong." (HR Bukhari).
Kedua-dua ciri ahli syurga dan neraka itu sudah jelas lagi bersuluh kepada umat Rasulullah malah turut terserlah dalam sirah Nabawi yang sangat lemah-lembut dengan sahabat RA dan golongan fakir miskin, lemah dan sesiapa yang menemui Baginda dengan niat yang benar serta baik.
Penjelasan Rasulullah SAW yang disampaikan dalam cara pengungkapan yang menjentik perasaan kita untuk mengetahui kedua-dua ciri penting itu, membuka ruang kepada kita untuk menterjemahkannya dalam kehidupan ini.