ISLAM yang diutuskan kepada Rasulullah SAW tidak bersifat keras hingga menolak kesenian dan hiburan yang dapat menghidupkan hati, sekali gus menjadikannya lembut untuk menerima hidayah Allah SWT.
Malah, Nabi Muhammad SAW sendiri menyukai syair walaupun Baginda seperti ditegaskan dalam al-Quran bukan penyair atau sasterawan. Bagaimanapun, Rasulullah SAW memiliki kefasihan bahasa yang hebat, malah Baginda dapat berbicara sesuatu yang sedikit dengan tepat tetapi mempunyai makna yang tidak habis untuk ditafsirkan.
Jabir ibnu Samurah RA meriwayatkan beliau duduk bersama Nabi SAW lebih daripada 100 kali dengan sahabat RA ketika itu saling mendeklamasikan syair dan bercerita mengenai jahiliah. Baginda hanya berdiam diri dan kadang-kala tersenyum bersama mereka.
‘Amr ibnu Syarid pula meriwayatkan bapanya pernah bercerita: “Aku membonceng kenderaan di belakang Nabi SAW, lalu aku mengalunkan 100 qafiah atau bait syair daripada karya Umayyah ibnu Abis-Solt al-Thaqafi.
“Setiap kali aku bacakan satu bait syair kepada Nabi SAW, Baginda bersabda kepadaku: Tambahkan lagi.
“Hal itu berterusan hingga aku mengalunkan 100 bait syair yang kemudian Nabi SAW bersabda: Hampir sahaja dia (Umayyah) itu masuk Islam,” katanya.
Pada zaman itu juga, ramai penyair hebat bangkit yang membela Nabi Muhammad SAW dan mempertahankan Islam seperti Hassan ibnu Thabit RA, Kaab Ibnu Malik RA dan Abdullah ibnu Rawahah RA.
Rasulullah SAW sendiri memuji penyair dan sasterawan itu seperti Allah SWT membantu Hassan melalui perantaraan Ruh al-Qudus, iaitu Jibril.
Hal itu diteruskan oleh Tabi’in, pengikut mereka dan umat Islam kemudiannya hingga lahir ramai penyair serta sasterawan yang mengarang qasidah.
Antara qasidah paling banyak dibaca, dilagukan, diterjemah dan ditafsir ialah Qasidah Burdah atau judul sebenarnya, al-Kawakib ad-Dhurriyya fi Madh Khair al-Bariyyah oleh Imam Abu Abdullah Muhammad ibnu Sa’id al-Busiri yang lebih dikenali sebagai Imam al-Busiri.
Qasidah itu bukan sahaja terkenal dalam dunia Islam khususnya Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), malah ditafsir dan dijadikan bacaan wajib oleh ulama besar sepanjang zaman pada majlis pengajian mereka.
Ia turut menjadi bacaan atau alunan pilihan ketika menyambut Maulidur Rasul, sekali gus menjadi puisi paling banyak dibacakan di seluruh dunia.
Begitu juga, Maulid al-Barzanji atau judul penuhnya, ‘Iqd al-Jawhar fi Maulid al-Nabi al-Azhar yang dikarang Imam Jaafar Hasan al-Barzanji yang menyusur sirah Nabi Muhammad SAW bermula kelahiran Baginda.
Sama seperti Burdah, Barzanji diterima jumhur ulama ASWJ termasuk di alam Melayu hingga dialunkan dalam pelbagai majlis seperti menyambut kelahiran, bercukur, berkhatan dan majlis perkahwinan, selain sambutan Maulidur Rasul sendiri.