Rabu, 7 Disember 2022 | 2:29pm
Pada akhir 2020, kerajaan menyambung konsesi BERNAS sebagai pengimport dan pengedar tunggal beras negara buat kali ketiga selama 10 tahun mulai 11 Januari 2021 sehingga 10 Januari 2031. - Foto hiasan
Pada akhir 2020, kerajaan menyambung konsesi BERNAS sebagai pengimport dan pengedar tunggal beras negara buat kali ketiga selama 10 tahun mulai 11 Januari 2021 sehingga 10 Januari 2031. - Foto hiasan

Bukan BERNAS sahaja isu monopoli perlu diselesai kerajaan

ISU monopoli Syarikat Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dibincang pada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pertama, kelmarin dan kerajaan berpandangan BERNAS perlu mengambil tanggungjawab pembangunan sosioekonomi dengan lebih besar dan berkesan pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan BERNAS bersedia menyumbang RM10 juta tahun ini dan RM50 juta tahun depan untuk petani miskin. Sementara itu kerajaan akan meneliti keuntungan BERNAS sebelum membuat keputusan selanjutnya.

Pada akhir 2020, kerajaan menyambung konsesi BERNAS sebagai pengimport dan pengedar tunggal beras negara buat kali ketiga selama 10 tahun mulai 11 Januari 2021 sehingga 10 Januari 2031. Terma perjanjian dikemaskini serta penambahan tanggungjawab sosial untuk BERNAS.

Istilah monopoli sering menggambarkan struktur persaingan tidak sihat. Dalam suasana tanpa kawalan, firma monopoli mempunyai kuasa mutlak menentukan harga dan bekalan memaksimumkan keuntungan firma.

Firma monopoli lazimnya melaksanakan diskriminasi ke atas pembeli iaitu mengenakan harga berbeza kepada segmen pengguna berbeza mengikut keanjalan permintaan pengguna terhadap perubahan harga. Oleh kerana pembeli tidak mempunyai pilihan lain, maka mereka terpaksa membayar harga lebih tinggi membebankan.

Walaupun struktur monopoli (tanpa kawalan) membolehkan firma mengaut untung berlebihan dengan harga menindas pengguna, struktur monopoli mempunyai kewajaran ekonomi dibenarkan untuk wujud.

Terdapat produk atau perkhidmatan memerlukan skala pelaburan dan permintaan besar bagi membolehkan sesebuah firma mengeluarkannya tanpa mengalami kerugian. Industri ini secara semula jadi tidak boleh menampung lebih daripada satu pengeluar.

Terdapat juga kewajaran ekonomi membenarkan kewujudan firma monopoli berdasarkan kepentingan strategik produk atau perkhidmatan berkaitan. Dalam dua konteks ini, skala pengoperasian dan kepentingan strategik, lazimnya kerajaansecara terancang akan membenarkan kewujudan firma 'monopoli terkawal' beroperasi.

Firma monopoli ini dikawal, tertakluk kepada terma tertentu bagi memastikan kuasa monopolistik ini tidak dimanipulasi dan menindas pengguna. Kerajaan mempunyai kuasa ke atas penentuan harga atau caj dikenakan dan juga bekalan ditawarkan.

Dalam kes monopoli terkawal ini, kerajaan membenarkan sebuah monopoli beroperasi dan akan meletakkan syarat tertentu di dalam perjanjian dengan firma monopoli dibenarkan. Sebagai contoh mudah, penghasilan tenaga elektrik.

Hanya dengan pelaburan dengan skala pengoperasian dan permintaan besar, penghasilan tenaga elektrik dapat dihasilkan dengan efisien dan menguntungkan. Oleh yang demikian hanya Tenaga Nasional Berhad (TNB) diwujudkan untuk beroperasi secara monopoli.

Keuntungan adalah penting bagi memastikan firma monopoli ini dapat terus beroperasi dengan mampan, meningkatkan kapasiti dan mencapai tahap pengeluaran efisien. Namun bagi memastikan TNB tidak memanipulasikan kuasa monopoli diberi, caj dikenakan tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

Alasan sama digunakan untuk BERNAS ketika ia ditubuhkan bagi menggantikan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) pada 1996. Beras mempunyai kepentingan strategik sebagai makanan ruji rakyat Malaysia. Bekalan beras mencukupi perlu dijamin kewujudannya, maka BERNAS ditubuhkan sebagai firma monopoli dipertanggungjawabkan.

Kedua-dua contoh ini, TNB dan BERNAS adalah firma monopoli terkawal dibenarkan kerajaan bersandarkan kewajaran ekonomi sah. Persoalan utama seharusnya di bincangkan Kabinet ialah tatacara kerajaan mengurus monopoli terkawal ini.

Laksana terma dipersetujui

Adakah kerajaan mempunyai kuasa jelas ke atas pengoperasian firma monopoli terkawal ini kerana ia bukan bersangkut kepada isu harga dan kecukupan bekalan tetapi juga pemilikan dan terma lain berkaitan, termasuk perkongsian keuntungan untuk tujuan pembangunan industri dan sosial, sekiranya ada.

Selain itu, agensi kerajaan manakah bertanggungjawab bagi memastikan monopoli terkawal ini melaksanakan semua terma dipersetujui, memantau dan melaporkan keberkesanan matlamat membenarkan monopoli terkawal.

Sekiranya teguran Perdana Menteri menyebabkan BERNAS bertindak, ini menggambarkan kerajaan seolah tidak berupaya mengurus monopoli terkawal ini dengan berkesan. Adakah sumbangan balik keuntungan BERNAS sebagai terma khusus dan terperinci perlu dipatuhi monopoli terkawal ini?

Berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, seolah-olah ia bersifat adhoc, tidak dinyatakan dengan jelas tetapi lebih kepada harapan supaya keuntungannya dikongsi dengan petani padi. Namun, bagaimana soal perkongsiannya. Berapakah jumlahnya, melalui siapa dan untuk tujuan apa. Semua ini perlu diperjelaskan.

Bagaimana RM10 juta dan RM50 juta dipersetujui? Adakah ia hanya berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) ditentukan BERNAS? Kita perlu berhati-hati, tanpa perincian dan matlamat jelas, ia sekali lagi terdedah kepada salah laku integriti.

Penegasan Perdana Menteri supaya tiada pihak mengaut untung di tengah jalan memerlukan perincian dan pelaksanaan tatakelola khusus.

Secara berkala, keputusan membenarkan monopoli terkawal beroperasi perlu dinilai semula. Matlamat untuk mewujudkan persaingan sihat dan adil seharusnya menjadi ketetapan untuk semua industri.

Monopoli terkawal ini amat terdedah kepada tingkah laku dan campur tangan keputusan tidak bertanggungjawab, kecenderungan mengaut untung dengan keputusan dicemar kepentingan peribadi. Campur tangan individu berkuasa mempengaruhi keputusan firma monopoli terkawal di semua peringkat rantaian bekalan mesti dihalang tadbir urus sempurna.

Kerajaan wajar mengangkat perkara ini sebagai satu dasar ekonomi negara lebih komprehensif, bukan hanya dalam kes BERNAS. Yang lebih merisaukan ialah kewujudan monopoli tidak dikawal, terselindung dengan pembentukan kartel dan pakatan perniagaan.

Kerajaan perlu mensasarkan pembangunan pasaran dan industri sihat dan adil untuk semua sektor. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu duduk bersama memastikan tahap persaingan optimum dicapai di setiap peringkat rantaian pengeluaran dan bekalan, dari pengeluar bahan mentah, pemprosesan, pengedaran dan peruncitan.

Kementerian lain yang terbabit dengan kawalan barangan dan perkhidmatan juga perlu melaksanakan perkara sama, semua sektor. Maklumat terperinci diperlukan untuk setiap sektor di sepanjang rantaian pengeluaran.

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) perlu diperkasakan untuk berfungsi dengan lebih berkesan. Tiada ruang untuk sesiapa memanipulasi kuasa perniagaan bersifat monopolistik. Pembentukan kartel secara rasmi atau sulit dan sebarang pakatan perniagaan pemilik persatuan pemilik perniagaan dalam penentuan harga serta perlu dihalang dan dikenakan penalti bagi menghindari ia berulang.

Penulis adalah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) dan Sarjana Fulbright di Kennedy School, Universiti Harvard


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X