Isnin, 28 November 2022 | 12:30pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keabsahan PM ke-10 jamin proses politik dinamik, inklusif

Kemelut pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berakhir minggu lalu kini perlu dimanfaatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memeta hala tuju negara mengikut acuan Kerajaan Perpaduan.

Selepas mengangkat sumpah jawatan dan kerahsiaan, Anwar tidak berselindung menonjolkan sikap terbuka beliau untuk memimpin Kerajaan Perpaduan dengan hendak memastikan kedudukannya sebagai Perdana Menteri mempunyai keabsahan.

Beliau bercadang mengadakan undi percaya apabila Dewan Rakyat bersidang pada 19 Disember ini untuk membuktikan beliau memperoleh majoriti cukup bagi diangkat sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Ini langkah baik untuk meyakinkan pihak dan puak masih was-was dengan keabsahan Anwar, sekali gus menjadi landasan untuk menstabilkan Kerajaan Perpaduan.

Pendirian Anwar untuk mengadakan usul percaya di Parlimen adalah langkah tepat dan betul bagi membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti.

Akuan berkanun atau bersumpah (SD) kerap digunakan dalam percaturan politik kebelakangan ini bukan bukti sahih untuk menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri.

Dalam hal ini, semua pihak boleh merujuk kepada kes tindakan menurunkan Tun Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 1965 apabila mahkamah memutuskan undi percaya perlu diadakan di dewan mulia dan bukan di luar dewan.

Justeru, Stephen yang diturunkan daripada jawatan Ketua Menteri diangkat semula sebagai Ketua Menteri kerana keputusan mahkamah berkenaan pada 1965. Oleh itu, SD hanya boleh dipakai bagi 'petunjuk kasar' dan bukan petunjuk mutlak.

Namun, dalam menentukan kedudukan Anwar, beliau menegaskan undi percaya untuk menentukan keabsahan dirinya sebagai Perdana Menteri adalah satu dari beberapa isu penting akan 'ditangani' pada persidangan Parlimen pertama.

Pendekatan jamin proses politik inklusif 

Hakikatnya, keputusan Anwar ini berpijak pada bumi nyata kerana zaman kerajaan parti pemerintah tidak memiliki majoriti mutlak, pendekatan beliau ini penting bagi menjamin proses politik yang dinamik dan inklusif seperti mana Kerajaan Perpaduan dibentuk.

Apa yang pasti, pendekatan ini juga amat baik kerana mereka yang berkuasa akan lebih berhati-hati menjalankan amanah dan tanggungjawab kerana mereka sentiasa diperhatikan lawan yang disifatkan 'cukup kuat' juga.

Perlu disedari dan difahami, apa yang ingin dilakukan Anwar ini adalah satu proses politik baharu kerana sebelum ini khususnya ketika Barisan Nasional (BN) memerintah enam dekad, ia dilihat cukup berat sebelah sehingga ada masa pembangkang tidak memiliki suara langsung dalam apa juga tindak tanduk dilakukan parti itu menjadi kerajaan.

Perlu difahami, di Semenanjung, penguasaan penuh kerajaan dilihat penting kerana kerajaan di 11 negeri terbahagi kini diperintah hampir semua parti seperti BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bersama sekutu masing-masing.

Oleh itu, ia memudahkan rakyat memerhati dan menilai parti serta pemimpin mana lebih cekap, kompeten, baik, telus dan mesra rakyat menjadi kerajaan negeri.

Senario ini membawa harapan 'aura baharu' politik negara akan mengalir ke Sabah dan Sarawak yang memerlukan perubahan tersendiri kerana ramai golongan di Sabah dan Sarawak sering mendakwa proses politik serta pentadbiran kerajaan selama ini tidak memberi peluang kepada semua etnik untuk bersama-sama dalam arus perdana proses politik dan pentadbiran.

Apa yang penting, masa akan menentukan naratif baharu kerajaan yang wujud hari ini apabila terbentuknya Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan.

Namun, perubahan besar kepada proses politik Malaysia sudah bermula dan kita tidak menoleh ke belakang lagi. Malaysia akan maju jika rakyat menghargai semua elemen yang ada untuk melangkah ke depan. Ibarat pepatah Melayu 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'.

Penganalis politik yang juga Felo Akademi Sains Malaysia

Berita Harian X