Jumaat, 19 Ogos 2022 | 12:00pm
- Gambar hiasan/BERNAMA
- Gambar hiasan/BERNAMA

Bajet 2023 penting teruskan momentum pemulihan ekonomi

Data terkini ekonomi Malaysia pada suku kedua tahun ini (S2 2022) merekodkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 8.9 peratus, secara keseluruhannya menunjukkan momentum pemulihan ekonomi pascapandemik semakin kukuh.

Momentum baik dalam fasa pemulihan ekonomi ini sudahpun bermula pada suku keempat 2021 (S4 2021) lagi apabila ekonomi Malaysia berjaya bangkit dan merekodkan pertumbuhan ekonomi pada 3.6 peratus.

Pada suku sebelumnya, iaitu suku ketiga 2021 (S3 2021), ekonomi negara masih lagi menguncup pada kadar 4.5 peratus. Sejak S4 2021, momentum pemulihan ekonomi ini diteruskan dengan pertumbuhan ekonomi direkodkan pada lima peratus pada suku pertama 2022 (S1 2022) dan seterusnya 8.9 peratus (S2 2022), iaitu antara kadar tertinggi di dunia pada suku berkenaan.

Jelas peningkatan dalam momentum pemulihan ekonomi ini juga berkait pendekatan, tumpuan, dasar dan strategi diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang dari perspektif ekonomi, memfokuskan usaha merancakkan kembali aktiviti ekonomi pascapandemik dengan menumpukan isu lebih substantif seperti kemiskinan, pengangguran, pendapatan, jurang agihan pendapatan, pelaburan, perdagangan dan krisis iklim secara keseluruhannya dalam kerangka konsep Keluarga Malaysia.

Harus diingat Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri ketika Malaysia masih bergelut krisis kesihatan, ekonomi, sosial dan politik, begitu juga dengan keadaan ekonomi global dan ekonomi negara maju yang masih lagi dalam keadaan tidak menentu.

Ini tidak bermakna isu ini sudah selesai, tetapi ia sedikit sebanyak dapat dikawal dan diredakan, terutama dalam aspek ekonomi yang masih lagi mempunyai pelbagai isu, masalah serta cabaran perlu diselesaikan yang memerlukan satu bentuk reformasi struktur berbentuk jangka sederhana dan panjang.

Pada ketika ini pula, siapa sangka konflik ketenteraan di Ukraine merencatkan lagi prospek pemulihan ekonomi global hingga ada analisis menjangkakan ekonomi global akan terjerumus kembali kepada kemelesetan pada tahun depan. Sememangnya, lambat laun ia akan memberi kesan kepada prospek pemulihan ekonomi kita juga.

Namun, data ekonomi ditunjukkan pada S2 2022 memberikan sedikit keyakinan kepada kita bahawa ekonomi Malaysia masih berada pada landasan betul untuk memulih dan mempunyai prospek secara relatifnya baik, terutama jika dibandingkan dengan ekonomi di Sri Lanka.

Perancangan, komitmen penuh Perdana Menteri

Dengan komitmen jelas daripada Ismail Sabri bahawa tidak akan ada lagi apa-apa bentuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pembukaan sepenuhnya sempadan antarabangsa negara pada 1 April lalu, sektor permintaan domestik negara dapat bertumbuh secara signifikan pada S2 2022 dengan berkembang pada 13 peratus, berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya.

Begitu juga penggunaan swasta meningkat pada kadar 15.4 peratus. Selain pembukaan sempadan dan komitmen jelas tidak ada lagi PKP, dasar kerajaan juga membantu dalam meningkatkan kuasa beli pengguna lantas meningkatkan perbelanjaan pengguna pada April hingga Jun tahun ini.

Dasar atau inisiatif diperkenalkan adalah seperti pelaksanaan kenaikan dalam gaji minimum, tambahan kepada pembayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) serta pengeluaran khas RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Komitmen Ismail Sabri dalam usaha mencipta peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia juga amat jelas. Dalam Bajet 2022, skim Jamin Kerja diperkenalkan dengan komitmen untuk mewujudkan sekitar 600,000 pekerjaan baharu.

Pada S2 2022, kadar pengangguran sudahpun berada pada 3.9 peratus, jauh berbeza dengan keadaan pengangguran negara sebanyak 5.3 peratus pada Mei 2020.

Daripada perspektif ekonomi, kadar 3.9 ini sudah menunjukkan Malaysia sudah berada pada tahap Guna Tenaga Penuh. Dan jika kita lihat data pada Jun lalu, kadar pengangguran turun lagi pada kadar 3.8 peratus.

Dengan pelbagai bantuan diberikan kepada peniaga seperti program Pembiayaan Mikro, Skim Geran Pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Program Subsidi Upah (PSU) 5.0 dan pelbagai Bantuan Khas kepada pengusaha, kita melihat peningkatan pertumbuhan ketara kepada sektor perkhidmatan serta sektor perkilangan pada S2 2022.

Begitu juga dalam aspek pelaburan pada April hingga Jun ini, data untuk Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) meningkat pada 5.8 peratus daripada 0.2 peratus pada suku sebelumnya. Kita juga dapat melihat peningkatan dalam pelaburan swasta kepada 6.3 peratus pada S2 2022, berbanding 0.4 peratus pada suku sebelumnya.

Ini menunjukkan usaha peniaga untuk meningkatkan kapasiti mereka akibat lonjakan dalam permintaan apabila sempadan negara dan sempadan antarabangsa dibuka.

Bagaimanapun, beberapa isu penting juga perlu dilihat pada data S2 2022 ini. Kedua-dua bentuk inflasi, iaitu inflasi keseluruhan dan inflasi teras menampakkan trend menaik, yang dijangkakan akan meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat teramai. Kejatuhan ringgit pada S2 2022 juga akan meningkatkan lagi inflasi import di Malaysia.

Begitu juga sektor pertanian, menguncup pada kadar 2.4 peratus. Sektor pertanian ini perlu diperkasakan untuk mengatasi masalah sekuriti makanan dan inflasi makanan.

Pelbagai lagi usaha perlu ditingkatkan untuk mereformasikan ekonomi pada masa hadapan, terutama dalam isu peningkatan dalam kos sara hidup, hutang isi rumah dan hutang kerajaan. Begitu juga dengan isu guna tenaga tak penuh, kemiskinan pelbagai dimensi dan keciciran pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Begitu juga risiko luaran, iaitu keadaan ekonomi global, harga komoditi, prestasi ekonomi China, Amerika Syarikat (AS), Eropah dan ekonomi global. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), baru-baru ini juga menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini kepada 5.1 peratus daripada 5.6 peratus sebelum ini.

Bajet 2023 dilihat penting untuk meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan menjadi penyelesaian lebih kreatif kepada isu struktural serta ekonomi rakyat dan alam sekitar.

Berita Harian X