Sabtu, 23 Julai 2022 | 7:01am
Mohammad Nasrun Saad antara penerima Geran Khas Prihatin menggunakan bantuan itu untuk membeli dron bagi pembenihan sawah padi. Foto NSTP
Mohammad Nasrun Saad antara penerima Geran Khas Prihatin menggunakan bantuan itu untuk membeli dron bagi pembenihan sawah padi. Foto NSTP
Jasni Amir menggunakan GKP untuk beralih daripada agensi umrah dan haji yang terjejas apabila sempadan ditutup kepada penjualan pakaian Muslimah yang kini sudah membuka cawangan baharu menjual barang keperluan haji. - Foto NSTP
Jasni Amir menggunakan GKP untuk beralih daripada agensi umrah dan haji yang terjejas apabila sempadan ditutup kepada penjualan pakaian Muslimah yang kini sudah membuka cawangan baharu menjual barang keperluan haji. - Foto NSTP

Empat wira sejati bangkit harungi pandemik, pulihkan ekonomi dan kehidupan

MUNGKIN tidak semua antara kita boleh benar-benar faham betapa besarnya impak COVID-19 kepada negara dan langkah yang diambil untuk mengharungi antara tempoh paling getir dalam sejarah Malaysia.

Sekatan pergerakan pertama bermula 18 Mac 2020 serta sekatan perjalanan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilaksanakan melumpuhkan banyak perniagaan, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Walaupun pelbagai langkah dilaksanakan termasuk moratorium selama enam bulan, subsidi upah dan pinjaman mudah, masih ada perusahaan terpaksa gulung tikar. Banyak juga terjejas pendapatan, lalu memotong gaji atau lebih teruk lagi, memberhentikan pekerja.

Paling terkesan sudah tentu golongan berpendapatan rendah dan mereka bergantung kepada pendapatan harian kerana tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menghadapi musibah tidak dijangka ini. Dalam sekelip mata, banyak keluarga terpaksa mengikat perut.

Bagi rakyat Malaysia berkemampuan, COVID-19 ini mungkin hanya kesan sementara dalam hidup mereka, menyebabkan beberapa 'kesulitan' seperti terpaksa memakai pelitup muka dan tidak dapat menjamu selera di restoran kegemaran atau bercuti di luar negara.

Ramai sudah kembali berbelanja

Melangkah ke hari ini, kita dapat lihat di media sosial sesi makan-makan dan percutian kerana ramai berbelanja seolah-olah 'membalas dendam' setelah sekian lama tidak dapat berbelanja. Trend ini dicerminkan dengan pertumbuhan 29.9 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit untuk Mei lalu.

Ya, kini semuanya berubah: orang ramai berpusu-pusu ke pusat membeli-belah atau 'berebut' meja di restoran popular, menggambarkan betapa ekonomi kita kembali rancak. Ramai juga bersungut kerana terpaksa menempah dua minggu lebih awal untuk makan dim sum di hotel terkemuka pada hujung minggu!

Jika dibandingkan dengan zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, keadaan kini amat berbeza, tetapi sangat dialu-alukan.

Dengan ekonomi dibuka semula sepenuhnya dan kembalinya kehidupan 'normal' prapandemik, tempoh suram pandemik beransur-ansur kabur dalam ingatan. Namun bagi Kementerian Kewangan (MOF) dan saya sendiri, pengajaran tempoh perit berkenaan masih jelas.

Izinkan saya berkongsi tiga pengajaran utama dari tempoh pandemik:

Pertama, adalah penting untuk memastikan tindak balas dasar lerajaan berjaya MELINDUNGI rakyat serta perniagaan mereka dan di mana yang boleh, membantu mereka MENERUSKAN kelangsungan hidup, supaya mereka dapat MERANCANG dengan baik untuk menghadapi apa jua cabaran atau kemungkinan kemerosotan ekonomi pada masa hadapan.

Kedua, tidak kira berapa bilion yang kita belanjakan, yang paling penting adalah sama ada bantuan berkenaan sampai kepada golongan disasarkan. Bagi MOF, bukan hanya penyaluran dan langkah bantuan, malah lebih penting adalah bagaimana rakyat dan perniagaan dapat bertahan.

Agensi MOF, Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) juga memainkan peranan penting dalam memantau dan membantu MOF memperhalusi tindak balas serta intervensi dasar kerajaan.

Ketiga, walaupun dari awal lagi MOF bersikap RESPONSIF dari segi memperkasakan sosioekonomi negara dan aspek kelestarian, MOF juga harus bersikap BERTANGGUNGJAWAB dan REFORMIS dalam menangani isu struktur.

Sejak saya dilantik sebagai Menteri Kewangan, saya menyedari kita perlu membina ekonomi dan masyarakat lebih berdaya tahan yang menyediakan akses saksama untuk rakyat bukan sahaja untuk bangun kembali, tetapi juga untuk terus maju.

Pastikan bantuan disasarkan sampai

Bagi poin kedua di atas, malam-malam di mana kita bersengkang mata bagi menyiapkan pakej rangsangan dan bantuan tidak penting. Yang paling penting adalah sama ada bantuan berkenaan sudah mencapai keberhasilan disasarkan bagi golongan ingin dibantu.

Sehubungan itu, MOF membuat susulan dengan pelbagai penerima manfaat, dan 20 daripadanya dikongsikan melalui 20 video di pautan YouTube MOF sejak hujung tahun lalu.

Pada hari ini, saya ingin berkongsikan kegigihan dan keazaman empat penerima manfaat mampu bertahan dalam menghadapi cabaran COVID-19, melalui pelbagai langkah di bawah empat pakej bantuan dan rangsangan kerajaan.

Pertama, Mohammad Nasrun Saad berasal dari Perlis. Semasa sekatan pergerakan, beliau kehilangan mata pencarian sebagai pembekal peralatan teknologi. Beliau menggunakan Geran Khas Prihatin (GKP) untuk membeli dron bagi pembenihan sawah padi. Kini, Nasrun mempunyai enam pekerja dan mengembangkan perniagaannya untuk melatih orang lain melaksanakan pembenihan menggunakan dron. Tonton kisah beliau di https://www.youtube.com/watch?v=oVk8Yw2tWjE.

Penerima kedua ialah Azami Hamdani, yang terbabit dalam industri pelancongan di Langkawi, yang hotelnya hampir gulung tikar semasa sekatan pergerakan. Beliau berusaha gigih untuk memastikan resort tiga bintangnya terus beroperasi kerana bersimpati terhadap kakitangannya, terutama mereka yang berkeluarga.

Semasa PKP, beliau berjaya meneruskan perniagaannya melalui Program Pembangunan Modal Insan, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). Dengan disiplin dan penjimatan, Azami mengembalikan dua pertiga daripada geran RM157,000 diterima kerana dia merasakan sudah menerima bantuan mencukupi.

Kini setelah sempadan antarabangsa dibuka semula, Azami baru-baru ini membeli beberapa bidang tanah untuk mengembangkan perniagaannya! Ini kisah beliau: https://www.youtube.com/watch?v=l9HMhH0wmDY

Jasni Amir menggunakan GKP untuk beralih daripada agensi umrah dan haji yang terjejas apabila sempadan ditutup kepada penjualan pakaian Muslimah yang kini sudah membuka cawangan baharu menjual barang keperluan haji. - Foto NSTP
Jasni Amir menggunakan GKP untuk beralih daripada agensi umrah dan haji yang terjejas apabila sempadan ditutup kepada penjualan pakaian Muslimah yang kini sudah membuka cawangan baharu menjual barang keperluan haji. - Foto NSTP

Bagi Jasni Amir berasal dari Banting, Selangor, agensi umrah dan hajinya terjejas teruk apabila sempadan ditutup. Apa menarik dalam wawancara beliau (https://www.youtube.com/watch?v=VmI3qKxDPCg&t=145s) adalah bagaimana beliau beralih kepada menjual pakaian Muslimah dan makanan, hasil daripada manfaat moratorium pembiayaan bank dan subsidi upah diterima. Kini, Jasni sudah membuka cawangan baharu menjual barangan keperluan haji di Shah Alam.

Shakrani Ishak (https://www.youtube.com/watch?v=G05O8vC3TeU&t=17) pula kehilangan pekerjaan di sebuah kilang semasa PKP. Semasa di rumah, beliau menumpukan perhatian kepada perniagaan kosmetik dan memutuskan untuk memohon GKP. Sebahagian GKP digunakan untuk pemasaran dalam talian.

Selepas PKP, beliau kembali bekerja, namun oleh kerana perniagaan berkembang pesat, suaminya berhenti kerja untuk memberi fokus kepada perniagaan.

Kesesuaian langkah, pelaksanaan tepat masanya

Ini semua kisah perjuangan sebenar rakyat Malaysia mencerminkan kesungguhan dan keazaman untuk mengharungi cabaran. Terdapat berjuta-juta lagi kisah ketabahan rakyat Malaysia yang mendapat bantuan daripada kerajaan bagi menempa kejayaan mengharungi cabaran hidup.

Bagi MOF, paling penting adalah kesesuaian langkah dan pelaksanaan tepat pada waktunya. Kami juga sedar dengan pelbagai kekangan bagi membendung COVID-19, pendigitalan menjadi satu pilihan. Namun, tidak semua pekerjaan boleh memanfaatkan pendigitalan. Contohnya, pekerja di salon rambut dan kecantikan serta pusat kesihatan tidak mungkin boleh menawarkan khidmat mereka secara maya, kecuali untuk tempahan dalam talian.

Dengan beberapa bantuan daripada kerajaan, ramai beralih kepada perniagaan boleh dipasarkan secara dalam talian untuk mencari rezeki. Sebagai contoh, melalui program pendigitalan PKS, beribu-ribu perniagaan mikro dan kecil dilatih untuk berdagang di platform pemasaran digital. Mereka yang dahulunya membuat perniagaan fizikal kini sudah berjaya mengadaptasikan perniagaan secara dalam talian.

Di MOF, kisah inilah yang embuatkan semua usaha dan keringat kami berbaloi, apabila bantuan membuahkan hasil untuk rakyat kita, bukan sahaja dari segi mampu bertahan akibat impak COVID-19, malah mampu bangkit semula dan berdaya maju selepas pandemik, Alhamdullilah.

Penulis adalah Menteri Kewangan

Berita Harian X