Sabtu, 16 Julai 2022 | 8:00pm
Langkah jangka panjang untuk mendepani gelombang baharu COVID-19 perlu difikirkan dengan serius. - Foto hiasan
Langkah jangka panjang untuk mendepani gelombang baharu COVID-19 perlu difikirkan dengan serius. - Foto hiasan

Sudah tiba masa Malaysia cipta sendiri ubat antiviral baharu

TIDAK lama selepas mengharungi gelombang varian Omicron pada Februari hingga April lalu, Malaysia kembali berdepan dengan ancaman gelombang baharu susulan kemunculan varian Omicron BA.5.

Oleh kerana subvarian BA.5 adalah keturunan varian Omicron, karakternya masih menyerupai induknya, iaitu sangat mudah merebak dan mampu menghindar daripada antibodi terhasil, sama ada daripada vaksinasi atau jangkitan varian sebelumnya.

Kemampuan menghindar antibodi memberi keunggulan kepada subvarian ini dari segi kebolehjangkitan semula. Ada pesakit terjangkit subvarian BA.5 seawal empat minggu selepas jangkitan sebelumnya.

Saintis Universiti Tokyo memberi amaran subvarian BA.5 mampu masuk lebih jauh ke dalam paru-paru, berbeza dengan varian Omicron asal yang cenderung menjangkiti salur pernafasan bahagian atas.

Kemampuan virus untuk masuk ke dalam paru-paru berkaitan dengan gejala semakin parah. Semakin mudah virus masuk ke dalam paru-paru, semakin parah gejala dialami pesakit.

Berita buruknya ialah kita akan melihat kemunculan lebih banyak subvarian baharu dari varian Omicron yang boleh mencetuskan gelombang demi gelombang.

Baru sahaja gelombang subvarian BA.5 bermula di Malaysia, kita mendengar kemunculan subvarian BA.2.75 atau 'Centaurus' yang menyebabkan lonjakan kes COVID-19 di India.

Berita baiknya ialah kekebalan berlapis-lapis kita peroleh daripada vaksin, dos penggalak dan jangkitan sebelumnya boleh mengurangkan risiko sakit teruk dan kematian.

Menurut saintis Kolej Imperial London, vaksin berjaya menyelamatkan 20 juta nyawa selama setahun pelaksanaan program vaksinasi sejak Disember 2000 hingga Disember 2021. Lebih ramai nyawa boleh diselamatkan jika lebih ramai individu mengambil vaksin dan dos penggalak.

Apabila pencapaian peratusan vaksinasi lengkap 98 peratus dan dos penggalak 68 peratus pada penduduk dewasa, Malaysia diharapkan mampu mendepani gelombang subvarian BA.5 tanpa diikuti lonjakan drastik bilangan kematian.

Namun, masyarakat tidak boleh leka. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Kaedah ini terpakai untuk semua jenis penyakit, termasuk COVID-19.

Walaupun bilangan kematian dijangka tidak melonjak drastik disebabkan peratusan vaksinasi tinggi, bilangan pesakit luar atau di hospital akan meningkat disebabkan karakter subvarian BA.5 boleh menghindar antibodi manusia peroleh sebelumnya.

Lonjakan pesakit luar dengan gejala ringan boleh membawa kepada masalah bekalan ubat. Kita masih ingat isu kekurangan bekalan ubat ketika gelombang Omicron melanda negara sebelum ini.

Kes jangkitan influenza meningkat

Negara juga sedang berdepan peningkatan kes jangkitan influenza. Selepas hampir lenyap akibat ketibaan COVID-19, virus influenza berpotensi mengganas dengan lebih hebat. Kita tidak mahu gelombang kes COVID-19 dan influenza membawa kepada krisis bekalan ubat.

Selain itu, peningkatan bilangan pesakit boleh menyebabkan kehilangan produktiviti. Jika jumlah pesakit menjalani kuarantin terlalu ramai dan berlaku serentak akibat jangkitan tidak terkawal, ia mengganggu operasi perkhidmatan awam dan aktiviti ekonomi.

Ketika ini, kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam fasa pemulihan ekonomi. Hal ini bermakna kita dituntut bekerja seperti biasa untuk membangkitkan semula ekonomi. Kita tidak mahu momentum pemulihan ini terganggu disebabkan lonjakan bilangan pesakit COVID-19.

Warga emas dan penderita penyakit komorbid menjadi mangsa paling teruk gelombang baharu COVID-19. Kajian terhadap 40,000 veteran tentera Amerika Syarikat (AS) berusia lanjut dan menderita komorbid mendapati setiap jangkitan semula membawa kepada risiko kematian lebih tinggi.

Oleh itu kita tidak boleh mengambil ringan jangkitan COVID-19. Walaupun subvarian BA.5 tidak lagi membawa kepada lonjakan kematian seperti gelombang varian Delta tahun lalu, risiko sakit teruk dan kematian tetap ada, terutama pada warga emas serta penderita penyakit komorbid.

Justeru, penggunaan pelitup muka adalah antara langkah pencegahan jangkitan paling berkesan. Jika dipakai dengan betul, keberkesanan pelitup muka tidak terpengaruh oleh kemunculan varian apa pun.

Bermakna, kerajaan perlu sentiasa mengingatkan rakyat untuk patuh memakai pelitup muka, terutama di tempat tertutup dan tempat terbuka, tetapi sesak manusia.

Disebabkan jumlah antibodi menurun selepas beberapa bulan, rakyat disyorkan mengambil vaksin dos penggalak untuk mengurangkan risiko sakit teruk dan kematian.

Kerajaan juga menasihatkan tujuh juta rakyat Malaysia yang masih belum mengambil dos penggalak untuk segera berbuat demikian.

Kemunculan varian baharu akan terjadi terus-menerus. Kita akan melihat gelombang demi gelombang melanda negara kita. Langkah jangka panjang untuk mendepani gelombang baharu COVID-19 perlu difikirkan dengan serius.

Ambil langkah elak kekurangan ubat

Perlu diingat, negara mengalami isu bekalan ubat disebabkan gelombang Omicron. Kita tidak tahu bila gelombang seterusnya akan tiba. Justeru, kerajaan perlu bersedia dan mengambil langkah untuk memastikan tiada isu bekalan ubat ketika gelombang baharu melanda.

Paxlovid (nirmatrelvir) satu-satunya ubat antiviral COVID-19 memiliki keberkesanan tinggi mencegah gejala ringan menjadi teruk. Bukan Malaysia sahaja, seluruh negara di dunia ingin mendapatkan bekalan Paxlovid. Kekurangan bekalan dijangka berlaku sekiranya varian baharu yang lebih mudah merebak muncul selepas subvarian BA.5.

Berbeza dengan pembuatan vaksin, pembuatan ubat membabitkan proses lebih panjang dan bahan sukar didapati. Jika vaksin hanya diberikan dua atau tiga dos ke setiap individu, Paxlovid perlu diberikan dua kali sehari selama lima hari kepada seorang pesakit.

Bayangkan jika jangkitan COVID-19 tidak terkawal dan bilangan pesakit melonjak. Kita terpaksa bergantung kepada ubat import yang jumlahnya terhad.

Maka, sudah sampai masa Malaysia perlu mengorak langkah untuk mencipta ubat antiviral baharu. Kita tidak boleh bergantung kepada satu atau dua jenis ubat import.

Dalam hal ini, kerajaan patut memberi sokongan kepada penyelidik di pelbagai universiti dan institusi penyelidikan untuk mencari ubat antiviral baharu.

Kemampuan varian Omicron dan subvarian keturunannya untuk menghindar daripada antibodi memberi iktibar kita tidak boleh berhenti merekacipta dan menghasilkan vaksin baharu.

Hal ini adalah perkara wajar. Vaksin influenza contohnya, selalu dikemaskini setiap tahun untuk menjaga keberkesanannya terhadap varian baharu.

Selepas dua tahun pandemik melanda, dunia masih menggunakan vaksin direka mengikut varian asal Wuhan. Hal ini tidak boleh diterima. Usaha pembuatan vaksin baharu lebih berkesan perlu diberi tumpuan.

Kita juga mesti bersedia hidup bersama COVID-19 dalam jangka masa lama. Kemampuan untuk menghasilkan sendiri ubat dan vaksin adalah modal kukuh untuk mendepani cabaran pada masa hadapan.

Penulis adalah Pakar Kimia Perubatan, Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X