Rabu, 22 Jun 2022 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Wujud pelan tindakan menyeluruh tangani jenayah seksual

Kes jenayah seksual bukan sahaja kerap berlaku di Kelantan, bahkan sebahagian kesnya bagaikan tidak masuk akal. Bermula awal tahun hingga Mei lalu, 76 kes dilaporkan sama ada cabul, sumbang mahram dan rogol, malah jum- lah jenayah itu dipercayai lebih tinggi kerana mangsa tidak membuat laporan polis.

Antaranya, warden atau pegawai keselamatan cabul murid dan remaja didakwa dirogol pemain bola sepak, tetapi lebih menyedihkan, perbuatan sumbang mahram apabila anak menjadi mangsa kerakusan nafsu bapa beberapa tahun. Selain bapa 'makan' anak, ada juga kes abang 'makan' adik berusia 13 tahun mengandung enam bulan.

Di Tanah Merah baru-baru ini, seorang bapa 39 tahun menjadikan anak sebagai tempat pemuas nafsu selama empat tahun yang hanya terbongkar apabila mangsa yang kini berusia 14 tahun pengsan di sekolah.

Minggu lepas di Wakaf Bharu, Tumpat, seorang bapa 57 tahun merogol anak perempuannya 15 tahun sejak empat tahun lalu. Ini bermakna perbuatan keji itu dilakukan sejak anaknya berusia 12 tahun lagi.

Membaca kes dilaporkan itu, bukan netizen sahaja emosional hingga memberi komen negatif di media sosial, penulis sendiri terpaksa beristighfar berkali-kali sepanjang menyiapkan berita jenayah seksual ini.

Ada juga mempersoal bagaimana negeri digelar Serambi Makkah dan diterajui PAS itu, banyak menyaksikan kes jenayah seksual.

Sejujurnya tidak dapat dibayangkan akal, bagaimana adik-beradik yang keluar dari rahim ibu sama boleh bersekedudukan hingga mengandung atau anak perempuan asalnya ditatang penuh kasih sayang si bapa dari kecil, tetapi dinodai ketika remaja.

Statistik diberikan Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, baru-baru ini, pasti membimbangkan kita kerana 304 kes jenayah seksual dilaporkan di negeri itu sejak tahun lalu hingga Mei tahun ini, dengan kebanyakan mangsa berusia bawah 18 tahun. Ia membabitkan kes cabul, rogol, sumbang mahram dan seks luar tabii dengan 228 kes dilaporkan pada tahun lepas, manakala bakinya hingga Mei lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah meminta orang ramai tidak bermain dengan sentimen kenegerian atau menyalahkan kerajaan negeri sekiranya sesuatu kes jenayah berlaku.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan dasar Membangun Bersama Islam dengan meningkatkan pendidikan agama dan memberi kefahaman secukupnya kepada penduduk negeri ini namun tercabar dek kecanggihan teknologi serta dunia tanpa sempadan untuk menangani masalah jenayah.

Bagaimanapun, isu jenayah seksual menuntut jawapan lebih serius daripada semua pihak, termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa dengan mengemukakan penyelesaian lebih menyeluruh, apatah lagi Islam yang menjadi keutamaan dalam dasar kerajaan seperti ditegaskan Timbalan Menteri Besar itu menitik- beratkan soal keselamatan wanita dan pemeliharaan nasab keturunan.

Menurut penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim, semua pihak perlu mengambil bahagian dalam usaha membendung jenayah seksual ini.

Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan talian 15999 beroperasi 24 jam, sama ada untuk bertanya atau membuat laporan.

"Identiti pembuat laporan dirahsiakan dan orang ramai mempunyai sebarang maklumat perlu tampil membuat laporan, bukannya mengambil sikap berdiam diri.

"Pada masa sama, pasukan pelindung kanak-kanak diwujudkan di setiap daerah digesa tampil dan perlu bergerak aktif tanpa perlu dikerah walaupun hasilnya hanya menyelamatkan seorang kanak-kanak.

"Jika setiap daerah mampu menyelamatkan seorang kanak-kanak, ia cukup memadai dan saya yakin sekiranya semua pihak memainkan peranan, jenayah seksual dapat dikurangkan walaupun tidak mampu dibanteras sepenuhnya," katanya.

Perlu diakui isu jenayah seksual bukan sahaja membabitkan tanggungjawab pihak berkuasa dan kerajaan, bahkan semua pihak termasuk sekolah, masyarakat, syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu sama-sama menggalasnya.

Ini memerlukan usaha menyeluruh masyarakat, tetapi tetap diterajui pemimpin negeri supaya wujud strategi jelas dalam mengatasi jenayah seksual yang semakin menjadi-jadi ini.

Justeru, pelan tindakan menyeluruh perlu dirancang dan dilaksanakan segera yang membabitkan Kerajaan Persekutuan, negeri, pihak berkuasa serta masyarakat.

Wartawan BH

Berita Harian X