Selasa, 21 Jun 2022 | 2:37pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Penanaman selingan jamin kelestarian sumber makanan

Empat dimensi utama dalam Dasar Sekuriti Makanan, iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan dan kestabilan bekalan makanan sepanjang rantaian nilai makanan meliputi keselamatan makanan dan pemakanan di negara ini diakui sudah dipenuhi.

Bagaimanapun, persoalan penting perlu diberikan perhatian adalah berapa lamakah bekalan makanan kita dapat bertahan dengan merujuk kepada keempat-empat dimensi itu?

Kelestarian sumber makanan menjadi kunci utama dalam memantapkan sekuriti makanan sedia ada hingga memerlukan negara mempunyai perancangan jangka panjang dan strategik bagi mengatasi krisis bekalan makanan.

Oleh itu, usaha atau penyelesaian menangani isu kekurangan sumber makanan dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya kunci utama ini terjamin, iaitu melaksanakan penanaman selingan atau berlainan tumbuhan di sekitar kawasan sama.

Teknik penanaman selingan dapat digunakan dengan mengamalkan penanaman jagung dan kekacang. Kajian membuktikan penanaman selingan jagung dan soya dalam nisbah 50:50 mampu tingkatkan kualiti silaj jagung, hasil protein serta mengurangkan penggunaan baja kimia berbanding amalan penanaman jagung tunggal.

Ini dapat meningkatkan hasil tanaman dan kualiti jagung, sekali gus mengurangkan kebergantungan baja kimia dengan penggunaan campuran baja organik. Selain tahi ayam sebagai baja organik, kaedah kitar semula sisa buangan makanan boleh diperoleh dari kedai makan, pasar dan kawasan perumahan juga patut dilaksanakan, sekali gus mengatasi masalah peningkatan kos baja.

Kelestarian sumber makanan juga dapat dipastikan dengan menggantikan sumber makanan ruji menggunakan tanaman lain seperti menggalakkan penanaman ubi kepada petani atau boleh menjadikannya sebagai penanaman selingan. Ini mampu menjadi alternatif sumber karbohidrat seperti bijirin, selain mengatasi kenaikan kos bijirin.

Antara alternatif lain, penggunaan biji nangka sebagai tepung menggantikan penggunaan tepung gandum. Biji nangka sangat berpotensi dalam pembuatan tepung kerana memiliki kandungan gizi cukup tinggi, iaitu karbohidrat, protein, tenaga serta memiliki kandungan mineral seperti fosfor, kalsium dan besi.

Terdapat kajian terkini dari Indonesia dijalankan ke atas tepung biji nangka dalam pemprosesan produk bakeri, namun pengolahan formulasi dan kajian lanjut perlu dilaksanakan bagi mengoptimumkan rasa, tekstur dan warna tepung.

Selain itu, kajian juga perlu dilakukan untuk mengenal pasti kepelbagaian bersesuaian untuk penghasilan domestik dan rawatan yang mampu meningkatkan daya tahan tanaman gandum.

Pada masa sama, keperluan minyak masak di pasaran dunia semakin meruncing berikutan kekurangan bekalan minyak bunga matahari tidak dapat dielakkan.

Bagi memenuhi permintaan minyak masak di pasaran, minyak sawit tempatan mampu menggantikan dan memenuhi keperluan ini dengan menambahkan pengeluaran serta keluasan tanah bagi penanamannya di negara ini.

Inisiatif ini nampaknya disambut baik Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bagi menangani kekurangan bekalan dan menyambung kelangsungan makanan ruji negara.

Kajian terhadap pengusaha tanaman dan ternakan perlu dijalankan bagi meneliti semula penggunaan tanah bersesuaian dan optimum dengan keperluan negara. Penggunaan tanah bagi keperluan aktiviti pembangunan memberi impak negatif kepada pengeluaran makanan juga perlu dihentikan.

Usaha perlu dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan dalam perladangan, penternakan dan akukultur melalui internet kebendaan (IoT), jentera dan bioteknologi bagi memenuhi keperluan sara diri. Ia diamalkan negara seperti Australia, China, Thailand dan Singapura yang terbukti meningkatkan kualiti dan kuantiti penanaman serta penghasilan ke tahap optimum.

Seiring dengan itu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menubuhkan Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFSSA) sebagai Pusat Kecemerlangan daripada Kluster Penyelidikan Kesejahteraan dan Sekuriti Makanan (RCWFS) dalam usaha membantu sekuriti makanan negara.

IFSSA bergerak seiring matlamat Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2, iaitu sifar kelaparan, mencapai matlamat sekuriti makanan bagi mengukuhkan kedudukan indeks sekuriti makanan global negara serta menggalakkan agro industri pertanian mampan.

Pengarah Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFFSA) dan Pensyarah Kanan Fakulti Industri Asas Tani Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Berita Harian X