Rabu, 26 Januari 2022 | 11:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Strategi 'Sejahtera IPT' perkukuh ekosistem pengajian tinggi

AMANAT Tahun Baharu 2022 Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad wajar diberikan perhatian oleh warga akademia kerana memperkenalkan beberapa strategi perlu dilaksanakan semua warga pada peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT) seperti di universiti awam (UA), universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti.

Amanat itu menjelaskan Rangka Tindakan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi (Sejahtera IPT) wajar dijadikan misi dan visi utama dalam mendepani cabaran pandemik dengan tujuh strategi utama untuk meneruskan momentum kecemerlangan warga akademia ke peringkat seterusnya.

Pertama, memberikan penekanan kepada mengukuhkan ekosistem kampus berdasarkan situasi semasa dalam negara. Ekosistem kampus kondusif dan selamat adalah persekitaran di mana warganya berasa selesa dari segi fizikal, emosi dan sosial.

Dalam merealisasikan hasrat ini, ketersediaan infrastruktur dan fasiliti kondusif untuk semua warga perlu diberikan perhatian. Selain itu, kesihatan mental warga IPT dalam tempoh kritikal juga tidak boleh diabaikan.

Tidak dinafikan impak pandemik memberi kesan besar terhadap kebolehpasaran graduan IPT. Justeru, strategi kedua adalah memperkukuhkan kebolehpasaran graduan melalui pelbagai inisiatif sama ada pada peringkat nasional atau universiti.

Kerjasama antara IPT dan industri dalam menambah baik kualiti dan kandungan program ditawarkan mestilah diselaraskan supaya kemahiran diperoleh memenuhi kehendak majikan.

Ketiga, strategi pendigitalan pendidikan tinggi dapat dipacu supaya seiring dasar pendigitalan negara. Pandemik membuka mata ramai pihak bahawa langkah pendigitalan pendidikan mampu dilaksanakan.

Strategi pendigitalan pendidikan tinggi mendorong pelajar ke arah penggunaan peranti terkini untuk mengakses sumber rangkaian dalam talian IPT. Kesannya, mahasiswa kini menggunakan peranti peribadi mereka sendiri atau konsep dinamakan Bring Your Own Device (BYOD), untuk mengakses sumber di IPT.

Situasi semasa juga mencetuskan lonjakan besar terhadap kepentingan penyediaan bahan kursus terbuka dalam talian.

Keempat, strategi memantapkan jaringan kolaborasi strategik IPT bersama rakan akademia dan industri pada peringkat antarabangsa. Usaha ini langkah tepat dalam menjadikan IPT negara terkenal pada peringkat antarabangsa dalam bidang penyelidikan dan kepakaran.

Kelima, strategi memacu kesejahteraan komuniti dalam membangun masyarakat setempat melalui pendekatan inovasi sosial. Usaha ini dapat dilaksanakan dengan sinergi berkesan antara masyarakat, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan termasuk alumni.

Keenam, strategi mempersada kecemerlangan institusi melalui sinergi pelbagai pihak dalam mengangkat agenda pemerkasaan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada semua peringkat.

Sebagai tambahan, kecemerlangan institusi dapat dinilai melalui pelaksanaan kegiatan kesarjanaan dan peningkatan prestasi pada peringkat antarabangsa.

Ketujuh, strategi menyemarakkan semangat #KPTPRIHATIN dengan menyediakan bantuan dan sokongan bersesuaian dalam tempoh mencabar ketika ini. Ramai warga IPT terjejas oleh pandemik yang kini masih melanda dunia dan ditambah pula musibah banjir.

Sebagai rumusan, faedah utama akan diperoleh daripada strategi Sejahtera IPT ini ialah peningkatan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan IPT sebagai pusat percambahan, pengumpulan dan penyebaran ilmu.

Justeru, setiap warga IPT bertanggungjawab meningkatkan kecemerlangan dan sinergi dalam mempromosikan strategi ini secara meluas.

Hasrat ini bertepatan dasar kerajaan seperti dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menumpukan pengukuhan ekosistem pengajian tinggi, pemerkasaan TVET dan pengupayaan pendidikan swasta sebagai satu industri.

Semoga dengan usaha murni ini semua IPT akan benar-benar menjadi milik masyarakat dan akan berkhidmat kepada rakyat.

Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak

Berita Harian X