Ahad, 16 Januari 2022 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Proses semak, imbang jaga integriti, akauntabiliti kerajaan

Salah guna kuasa bukan sahaja memusnahkan institusi kenegaraan, malah mampu menenggelamkan kegemilangan empayar seperti dicatatkan dalam sejarah ketamadunan.

Dalam konteks negara kita, kesedaran antisalah guna kuasa semakin tinggi sejak kebelakangan ini kerana dipengaruhi perubahan landskap politik dan pendidikan antirasuah digerakkan pelbagai pihak. Amalan 'duit kopi' satu ketika dahulu dilihat sebagai kebiasaan, kini dianggap tindakan durjana.

Namun tidak dinafikan, salah guna kuasa masih lagi berlaku, bahkan lebih mengecewakan apabila dilakukan dalam kalangan pemimpin.

Malah, ada mendakwa golongan ini seolah-olah kebal undang-undang berbanding orang kebanyakan kerana pengaruh dan kuasa dimiliki.

Sebagai pemegang amanah negara, tanggapan sebegitu tidak boleh dibiarkan. Apatah lagi ia bukan sahaja mampu melumpuhkan kepercayaan rakyat terhadap seseorang tokoh, bahkan institusi dipertanggungjawabkan kepadanya.

Hakikatnya, integriti perlu ditonjolkan daripada peringkat atasan supaya menjadi contoh di peringkat bawahan. Cabaran menguruskan integriti boleh dilaksanakan dengan baik sekiranya doktrin pemisahan kuasa di peringkat atasan dihayati sebaiknya.

Ahli politik dan sejarawan Britain, Lord Acton dalam penulisannya, membicarakan soal moral dengan menegaskan 'kuasa cenderung untuk merosakkan dan kuasa mutlak merosakkan secara mutlak.'

Beliau menegaskan menjadi kewajipan piawaian moral sama terpakai kepada semua secara saksama kepada semua, termasuk kepada pemimpin politik atau agama.

Bagi mencapai matlamat ini, ahli falsafah Perancis, Montesquieu berpendapat kuasa politik sesebuah negara tidak boleh dipusatkan kepada seseorang ataupun sesuatu entiti, sebaliknya dipisahkan dan dibahagikan.

Montesquieu percaya sekiranya kuasa politik dipusatkan, ia akan membuka ruang salah guna kuasa dan kezaliman. Kenyataan ini turut disokong ahli falsafah Inggeris, John Locke yang menegaskan godaan terhadap kuasa adalah kelemahan manusia.

Ahli falsafah Greek, Aristotle berpendapat sekiranya pemisahan kuasa dilaksanakan sempurna, ia memberi isyarat bahawa Perlembagaan sesebuah negara disusun baik. Oleh itu, boleh disimpulkan doktrin pemisahan kuasa bersifat antikemaharajalelaan.

Berdasarkan model Tripartite Montesquieu, kuasa politik sesebuah negara harus dipisahkan kepada tiga bahagian, iaitu Eksekutif (pemerintah dan kerajaan); kehakiman dan legislatif (perundangan).

Montesquieu menegaskan setiap cabang perlu beroperasi dalam ruang lingkup fungsi dan kuasanya sendiri tanpa mencampuri urusan cabang lain.

Namun, versi Westminster dipelopori James Madison memberi ruang kepada pertindihan fungsi dan kuasa antara cabang berkenaan dengan syarat perlu ada mekanisme semak dan imbang. Konsep Madison itulah turut diguna pakai di negara ini.

Walaupun konsep ini mempunyai kelebihan tersendiri, ia juga membolehkan eksekutif menjadi badan lebih dominan. Contohnya, kuasa pelantikan jawatan utama dalam badan kehakiman di negara ini terletak di tangan eksekutif.

Fasal 121B(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan jawatan utama dalam badan kehakiman seperti Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri yang kedua-duanya sebahagian cabang eksekutif.

Pemakaian versi Westminster juga membenarkan ahli daripada cabang eksekutif untuk menjadi sebahagian cabang perundangan.

Ini jelas apabila Perlembagaan Persekutuan melalui Fasal 43(2)(a) mensyaratkan seorang Perdana Menteri dilantik dalam kalangan ahli Dewan Rakyat, iaitu antara cabang legislatif dan mempunyai sokongan serta kepercayaan majoritinya.

Melalui fasal ini, ia memberikan ruang dominasi cabang eksekutif di Parlimen dalam melaksanakan urusan hariannya. Selain Perlembagaan, keabsahan dominasi ini turut timbul di atas rasa yakin pemerintah bahawa kerajaan berkenaan didirikan oleh rakyat melalui proses pilihan raya.

Kepercayaan dan keyakinan berlebihan terhadap mandat dimiliki mampu menjurus kepada salah guna kuasa, sekali gus mencipta ilusi bahawa segala apa tindakan penguasa akan direstui rakyat sepenuhnya.

Di sinilah pentingnya konsep semak dan imbang dilaksanakan dalam demokrasi terutama untuk memelihara integriti dan akauntabiliti kerajaan.

Matlamat teori pemisahan kuasa tidak akan tercapai sekiranya proses semak dan imbang telus gagal dilaksanakan dengan sempurna. Kunci utama proses ini adalah dengan cara mengawal dan mengehadkan kuasa budi bicara atau discretionary power eksekutif.

Amalan budi bicara berlebihan dalam pentadbiran sering membuka ruang salah guna kuasa. Agensi berkanun, termasuk agensi penguat kuasa harus dipertanggungjawabkan secara terus kepada Parlimen bagi menjamin ketelusan dan integriti.

Ini penting bagi mengelakkan salah laku di belakang tabir yang terjadi di luar pengetahuan massa. Di United Kingdom (UK) misalnya, terdapat beberapa badan dilantik dan dipertanggungjawabkan terus di bawah pemerhatian Parlimen, bukannya Perdana Menteri atau Menteri Kabinet.

Secara teori, badan ini lebih bebas beroperasi di bawah naungan Parlimen tanpa dibayangi pengaruh pemerintah, seterusnya mendorong untuk lebih bertanggungjawab, adil dan berintegriti, apatah lagi sekiranya membabitkan badan penguat kuasa undang-undang.

Sementara itu, memastikan institusi kehakiman bebas daripada mana-mana pengaruh luar termasuk eksekutif, adalah penting memastikan proses semak dan imbang boleh dilaksanakan dengan baik kerana institusi itu menjadi paksi keadilan dan kesaksamaan.

Penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan sama rata tanpa mengira darjat atau status, termasuk terhadap pemimpin mencabul amanah negara. Seterusnya, Parlimen juga harus lebih bebas daripada pengaruh eksekutif dalam melaksanakan fungsi sebagai mekanisme semak dan imbang kepada kerajaan.

Badan legislatif berperanan bukan sahaja sebagai penggubal undang-undang, bahkan pusat aduan rakyat di peringkat tertinggi. Aduan rakyat disuarakan wakil mereka perlu disampaikan secara terus dan telus kepada kerajaan di Parlimen tanpa disekat walaupun mungkin bersifat kritikan.

Justeru, cadangan mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen adalah jalan terbaik bagi memperkasakan peranan badan perundangan dalam melaksanakan proses semak dan imbang.

Ini akan memberikan lebih kebebasan kepada Parlimen dalam menjalankan urusannya tanpa dipengaruhi ataupun dibelenggu mana-mana pihak.

Pada masa sama, amalan demokrasi subur turut meraikan hak kebebasan media. Namun perlu ditegaskan juga kebebasan di sini bukanlah bermaksud kebebasan mutlak, sebaliknya media perlu bertindak dalam ruang lingkup undang-undang dan amalan kewartawanan beretika.

Dalam demokrasi, media bukan sahaja berperanan sebagai jambatan maklumat antara pemerintah dengan rakyat, bahkan sebagai estet keempat, iaitu pemantau, penegur dan pengawas perjalanan kerajaan serta institusi bernaung di bawahnya.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia, Kampus Melaka

Berita Harian X