Selasa, 11 Januari 2022 | 10:30am
Penebangan hutan secara tidak terkawal antara punca berlaku kejadian banjir di negara ini apabila hutan hilang fungsi semula jadi.
Penebangan hutan secara tidak terkawal antara punca berlaku kejadian banjir di negara ini apabila hutan hilang fungsi semula jadi.

Pulihara hutan dengan segera elak bencana lebih buruk

Malaysia dan bencana banjir begitu sinonim. Bencana banjir kini menjadi sebahagian kehidupan kita. Namun kebelakangan ini, banjir melanda negara berbeza kerana lebih kerap berlaku dan lama serta membabitkan kawasan lebih luas. Hakikatnya, perubahan ini sememangnya dijangka dan tidak dapat dielakkan terutama jika kita masih ingin mengekalkan keadaan 'business as usual.'

Kerap kali masalah banjir dikaitkan faktor semula jadi seperti perubahan monsun dan iklim serta tiupan angin. Dari satu sudut, peranan faktor ini tidak dapat dinafikan namun sampai bilakah kita hendak 'mendiamkan' peranan manusia dalam masalah ini?

Antara peranan manusia dalam isu bencana banjir membabitkan pembukaan kawasan petempatan tidak terancang, proses perbandaran tinggi, kegagalan membina dan menyelenggara sistem saliran baik, penebangan hutan serta perubahan iklim. Antara perlu diberikan tumpuan adalah penebangan hutan.

Dalam konteks banjir, peranan hutan sangat penting. Hutan bertindak sebagai span memerangkap air dan kemudian melepaskannya secara perlahan-lahan ke saliran air seperti sungai. Proses ini sebenarnya menghalang masalah banjir daripada menjadi teruk dan mengekalkan aliran air sungai ketika musim kemarau.

Hutan juga meningkatkan kebolehtelapan (permeability) tanah dan mengeluarkan wap air ke atmosfera melalui proses sejatan serta transpirasi, seterusnya mengurangkan larian air hujan. Pengurangan aliran air hujan juga penting untuk membendung masalah banjir. Jadi, hutan sangat penting dalam usaha untuk menangani masalah banjir.

Dalam hal ini, sangat menarik untuk dikongsi dapatan Prof Corey JA Bradshaw daripada Universiti Flinders, Australia bersama sekumpulan pengkaji yang menjalankan kajian simulasi statistik berkaitan kehilangan hutan tropika dan kejadian banjir.

Hasil kajian menunjukkan jika satu per sepuluh daripada hutan tropika kini ditebang, kekerapan berlaku banjir akan meningkat antara 4 hingga 28 peratus dan jangka masa berlaku banjir juga bertambah sebanyak 4 hingga 8 peratus. Ini bermakna kehilangan hutan tropika menyebabkan banjir lebih kerap berlaku untuk satu tempoh lebih lama.

Walaupun Prof Bradshaw mengakui kajian penilaian risiko banjir bersifat 'kompleks dan membabitkan banyak faktor mengelirukan', ini tidak menolak hakikat hutan tropika diperlukan bagi mengawal masalah banjir. Dengan itu, pengekalan hutan dan penghutanan semula (reforestation) diperlukan bagi mengurangkan kekerapan serta tempoh berlaku banjir.

Kajian Prof Bradshaw ini khusus untuk hutan tropika kerana hutan ini sangat penting dalam usaha menangani kesan perubahan iklim. Hutan tropika mempunyai kemampuan tinggi untuk menyimpan karbon dan berkeupayaan untuk menggalakkan pembentukan awan melalui proses penyejatan-transpirasi berskala besar. Awan ini pula penting dalam proses pemantulan cahaya matahari.

Maknanya, hutan tropika berperanan mengurangkan kesan perubahan iklim dan ini secara tidak langsung, turut memberi kesan kepada pengurangan masalah banjir.

Daripada penjelasan itu, jelas hutan berperanan penting dalam usaha menangani masalah banjir. Walaupun terdapat faktor semula jadi sebagai penyebab masalah banjir, dengan adanya hutan, masalah ini mungkin tidak menjadi sebesar dialami sekarang. Oleh itu, sumber hutan negara mesti dikekalkan.

Malangnya bagi negara kita, hutan dimusnahkan tanpa memikirkan kesan tindakan itu. Berdasarkan data dikeluarkan Global Forest Watch, pada 2010, Malaysia mempunyai 20.3 juta hektar hutan semula jadi, iaitu meliputi lebih 87 peratus daripada keluasan tanahnya.

Bagaimanapun pada 2020, Malaysia kehilangan 122,000 hektar hutan semula jadi. Dari segi kadar kehilangan hutan pula, antara 2002 hingga 2020, Malaysia kehilangan 2.7 juta hektar hutan primer lembapnya, iaitu 34 peratus daripada jumlah kehilangan litupan pokoknya dalam tempoh sama.

Jumlah kawasan hutan primer lembap di negara ini menurun sebanyak 17 peratus dalam tempoh ini. Lima negeri dengan kadar kehilangan hutan tinggi ialah Sarawak, Sabah, Pahang, Johor dan Perak. Malaysia pernah mencatatkan kadar kehilangan hutan tertinggi di dunia antara 2000 hingga 2012.

Bagi negara kecil, kehilangan hutan pada kadar tinggi tidak seharusnya berlaku. Apatah lagi hutan itu menjadi khazanah negara dan diakui dunia sebagai kaya dengan kepelbagaian biodiversiti.

Jelas kita perlu menyemak semula sikap terhadap pemeliharaan hutan. Kerajaan mempunyai tanggungjawab besar dalam hal ini kerana untung nasib hutan negara adalah tanggungjawab mereka. Sampai bilakah kita hendak melihat hutan sebagai sumber pendapatan negara semata-mata? Hakikatnya, hutan ialah nadi kehidupan dan perlu dijaga dengan sebaik mungkin.

Apa lagi yang kita tunggu? Adakah kehilangan nyawa, kerugian harta benda dan tekanan emosi dihadapi mangsa banjir saban tahun tidak cukup untuk menjentik hati kita untuk melakukan perubahan? Apakah alasan lain yang perlu ada untuk kita mengubah sikap dan memulakan perancangan teratur bagi menangani masalah ini?

Dalam al-Quran, surah ar-Rum ayat ke-41 dan al-Shura (30), sering kali dirujuk bagi mengingatkan kita terhadap balasan yang akan diterima manusia akibat perbuatan tangan mereka sendiri. Setiap tindakan manusia itu ada balasan baik buruknya.

Kesan kemusnahan alam dilakukan manusia akan kembali kepada manusia jua. Oleh itu, sudah tiba masanya kita memperbetul kesilapan dilakukan dan semoga usaha ini akan tercatat sebagai amalan mulia dan mendapat balasan setimpal.

Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X