Khamis, 14 Oktober 2021 | 11:01am
Kepelbagaian budaya dan agama menyatukan rakyat Malaysia untuk terus hidup harmoni. - Foto hiasan/Mohd Azren Jamaludin
Kepelbagaian budaya dan agama menyatukan rakyat Malaysia untuk terus hidup harmoni. - Foto hiasan/Mohd Azren Jamaludin

Integrasi kepelbagaian bangsa, agama satukan Keluarga Malaysia

Antara keunikan Malaysia ialah penduduknya berbilang bangsa dan agama. Sungguhpun demikian, rakyat tetap hidup aman dan harmoni sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963.

Walaupun terdapat beberapa insiden pergeseran akibat salah faham, semuanya dapat ditangani dan keharmonian terus dikecapi sehingga kini.

Selepas 64 tahun merdeka dan 58 tahun berada dalam sebuah keluarga besar Malaysia, pemimpin serta rakyat harus memandang ke hadapan supaya nikmat perpaduan dapat diperkukuh dan dipertahankan. Kepelbagaian yang ada menuntut pengurusan masyarakat dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Secara umum, kepelbagaian di Malaysia dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu pertama, pelbagai bangsa dan budaya, manakala kedua, pelbagai agama.

Beberapa proses integrasi diamalkan dalam pengurusan bangsa dan budaya yang berbeza di Malaysia. Antara lazim kelihatan ialah akomodasi dan asimilasi.

Akomodasi ialah pendekatan integrasi berteraskan penyesuaian hidup bersama secara aman damai dan saling menghormati satu sama lain dalam keadaan mengekalkan identiti bangsa serta budaya sendiri.

Asimilasi pula semangat perpaduan dibina berasaskan penyatuan antara bangsa yang berbeza untuk membentuk satu kelompok dengan identiti dan kebudayaan yang sama.

Di negara kita, pendekatan secara 'autoriti' dalam menguruskan perbezaan bangsa dan budaya ialah akomodasi. Identiti bangsa serta budaya asal kekal diamalkan dalam suasana harmoni.

Di samping itu, integrasi berlaku secara sukarela hingga ke tahap asimilasi kesan interaksi sesama ahli keluarga Malaysia.

Inilah mungkin acuan yang menjadi inti pati keharmonian negara sehingga kini.

Dengan perubahan cara fikir dan peredaran zaman, sudah tentu penilaian kembali perlu dibuat terhadap pelbagai dasar serta pelaksanaan sepanjang kewujudan negara ini supaya pendekatan diambil pada masa hadapan dapat memperkukuh keharmonian negara.

Aspek kedua, ialah menguruskan perbezaan agama. Dalam menguruskan perbezaan yang ada, pendekatan lebih berhati-hati perlu diambil kerana tahap sensitivitinya tinggi.

Agama ialah pegangan yang memandu penganutnya untuk hidup mengikut kepercayaan yang diajar. Sebahagian daripada ajarannya bersifat tetap dan tidak boleh diubah sesuka hati. Antara perkataan sering disebut dalam menguruskan perbezaan agama ialah toleransi dan hormat-menghormati.

Namun, penggunaan kedua-dua perkataan ini kebiasaannya dalam bentuk umum. Perincian mengenainya masih kurang dan kelihatan kabur.

Berdasarkan Kamus Dewan, toleransi ialah sikap menghormati atau menerima pendapat orang lain yang berbeza daripada pendapat sendiri.

Persoalannya, sejauh manakah sikap menghormati dan menerima pendapat berbeza dapat diamalkan dan bagaimanakah batasan yang perlu diawasi bagi menjaga pegangan agama seseorang?

Sudah menjadi lumrah, penganut agama tertentu akan mempertahankan ajaran agamanya sebagai yang paling benar. Jika seseorang berpendapat bahawa agama lain yang tidak dianutinya juga benar, barangkali terdapat masalah pada pegangan terhadap agama dianutinya.

Atas asas toleransi dan perpaduan, timbul juga pendekatan yang cenderung kepada fahaman pluralisme agama. Ia pendekatan yang mempromosikan idea setiap agama adalah sama, semuanya membawa kepada kebenaran.

Apabila diteliti, pendekatan ini juga boleh membawa kepada ketidakharmonian, apatah lagi kepada mereka yang mempertahankan kesucian ajaran agama dianutinya.

Dari sudut perundangan, Perlembagaan menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan. Agama lain bebas diamalkan, tetapi tertakluk kepada sekatan untuk dikembangkan kepada masyarakat Islam seperti diperuntukkan dalam Perkara 3(1), 11(1) dan 11(4).

Sebagai negara yang majoriti rakyat beragama Islam, di sebalik penggubalan peruntukan Perlembagaan yang berkaitan agama ini, tentu terkandung semangat toleransi dan perpaduan.

Majoriti bertoleransi dan menghormati hak minoriti dan begitulah sebaliknya dalam membentuk sebuah negara yang harmoni dengan acuan Malaysia.

Sebagai agama Persekutuan, Islam satu agama yang meraikan kepelbagaian. Ini jelas seperti ditunjukkan Rasulullah SAW dalam menguruskan kepelbagaian di Madinah.

Ketika mula menyusun komuniti yang pelbagai dengan pegangan agama berbeza, Baginda SAW juga menekankan aspek penyatuan rakyat berasaskan peruntukan yang termaktub dalam Piagam Madinah.

Di samping itu, Islam tidak mengukur kemuliaan seseorang berdasarkan bangsa. Ia juga tidak memaksa bukan Islam untuk memeluk Islam.

Walaupun begitu, Islam mempunyai ajaran tersendiri dan tidak membenarkan ajarannya dicampuradukkan dengan ajaran lain.

Dalam menyuburkan semangat toleransi beragama dalam kalangan Keluarga Malaysia, konsep paling sesuai untuk dijadikan asas toleransi ialah setuju untuk tidak bersetuju atau agree to disagree. Konsep ini menekankan pegangan bahawa agama dianuti itu adalah benar dan paling baik.

Bagaimanapun, pada masa sama perlu menghormati pegangan penganut agama lain tanpa menafikan ruang buat pihak yang berbeza agama untuk berdialog dengan harmoni dalam memahami agama yang berbeza.

Bagi memperincikan lagi semangat toleransi berasaskan konsep setuju untuk tidak bersetuju, beberapa garis panduan berikut dikemukakan iaitu:

l Pertama, setiap penganut agama hendaklah menyedari mengenai ajaran dan kepercayaan agama masing-masing.

Soal kepercayaan dan konsep ketuhanan tentu berbeza dan sama sekali tidak dapat dikompromi dan disatukan.

l Kedua, pelbagai pihak harus menyedari dan mengakui hak dan tanggungjawab mengajar agamanya untuk penganutnya sendiri, walaupun ajaran itu seperti menyinggung ajaran yang lain.

l Ketiga, pelbagai pihak mesti menghormati kepentingan pihak agama lain dalam melakukan amalan mengikut ajaran agama mereka.

l Keempat, bersikap adil dalam urusan harian, iaitu seseorang tidak boleh didiskriminasi atas asas perbezaan agama.

Kesimpulannya, pengurusan kepelbagaian memerlukan pendekatan bersesuaian supaya perpaduan dan keharmonian dapat diperkukuh dan dipertahankan.

Dalam pengurusan kepelbagaian bangsa dan budaya, pendekatan akomodasi boleh digunakan di samping tidak dihalang berlakunya asimilasi secara sukarela.

Dalam pengurusan agama pula, pendekatan toleransi berasaskan konsep setuju untuk tidak bersetuju seharusnya digunakan dalam menyuburkan semangat persefahaman terhadap kepelbagaian.

Semoga rakyat Malaysia terus bersatu padu, hidup aman dan harmoni.

Penulis adalah Pensyarah Kanan
Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Berita Harian X