Rabu, 15 September 2021 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Sikap tak bertanggungjawab jejas gelembung pelancongan

SEKITAR Jun hingga Ogos lalu, beberapa negara melonggarkan sekatan pergerakan untuk tujuan pelancongan dan aktiviti rekreasi. Namun, kelonggaran itu terpaksa dibayar dengan harga mahal.

Di Cornwall England, berlaku peningkatan kes jangkitan dan kematian baharu tertinggi dalam tempoh enam bulan susulan kebenaran aktiviti pelancongan. Di Belanda pula, peningkatan kes berlaku sehingga 500 peratus hanya selepas seminggu bar dibenarkan beroperasi.

Majoriti jangkitan baharu berlaku dalam kalangan individu berusia 18 hingga 29 tahun, sepadan corak kunjungan ke bar oleh kelompok demografi ini.

Keadaan sama boleh berlaku di Malaysia. Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dapat membantu mengurangkan risiko ini. Cuma, sejauh mana masyarakat dapat kekal mematuhi SOP?

Kajian pematuhan SOP COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada November 2020 mendapati masyarakat secara amnya boleh mematuhi SOP. Tetapi hasil kajian ini dilihat berbeza realiti semasa.

Laporan media menunjukkan masih ramai tidak menjaga jarak dan mengabaikan pemakaian pelitup muka. Teori psikologi ada mencadangkan individu boleh kembali kepada kelaziman atau perilaku lama jika didorong norma sekeliling.

Contohnya, seseorang tidak akan rasa bersalah menanggalkan pelitup muka apabila melihat ada individu lain berbuat demikian.

Sebagai Keluarga Malaysia, perlu untuk kita semua menegur individu yang melanggar SOP. Kesungguhan membuat teguran, di samping amalan SOP kendiri amat mustahak dalam memastikan risiko jangkitan COVID-19 di destinasi pelancongan dapat dikawal.

Sungguhpun berlaku peningkatan kes di luar negara susulan pembukaan aktiviti pelancongan, ia berjaya dikawal selepas beberapa minggu, banyak dipengaruhi program vaksinasi. Cabaran masih dihadapi kewujudan mutasi baharu COVID-19.

Kajian awal Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menunjukkan virus varian Mu mampu melawan imunisasi dibentuk vaksin. Varian ini belum menular di negara kita, tetapi menimbulkan persoalan, adakah mutasi baharu boleh bermula di Malaysia?

Jawapannya, boleh. Mutasi virus akan terus berlaku selagi mana adanya hos dijangkiti. Dalam erti kata lain, kemungkinan peningkatan jangkitan kerana pembukaan sektor pelancongan boleh meningkatkan risiko mutasi virus.

Melihat sifat mutasi ini, agihan vaksin perlu dibuat segera sebelum berlaku mutasi virus lain pula.

Alam semula jadi seakan memulih apabila pandemik berlaku. Air sungai lebih jernih dan udara lebih segar. Data satelit NASA juga membuktikan fenomena ini.

Destinasi pelancongan berpeluang memulih daripada terus 'diinjak' manusia. Dari satu perspektif, COVID-19 satu tempoh berehat kepada sumber alam kita.

Sayangnya semua kesan positif ini boleh berakhir dengan pembukaan sektor pelancongan. Ini kerana kita masih bersikap tidak bertanggungjawab.

COVID-19 mungkin mengajar kita menjaga jarak fizikal atau memakai pelitup muka, tetapi tidak ramai ingin berubah ke arah norma baharu yang lebih menghargai alam semula jadi.

Ini terbukti apabila banyak sampah pelitup muka dibuang merata tempat termasuklah di destinasi pelancongan – di kawasan pendakian dan perkelahan. Terdapat juga pelitup muka tersangkut pada leher atau kepak hidupan liar.

Ini manifestasi perilaku individu tidak bertanggungjawab. Lebih mendukacitakan, masih tiada inisiatif khusus bagi mengekang masalah ini.

Masalah pencemaran ini boleh mengancam potensi destinasi pelancongan yang kebanyakannya amat dekat dengan sumber semula jadi. Bayangkan lambakan sampah pelitup muka memenuhi Pantai Chenang, adakah destinasi itu boleh terus dikunjungi masa akan datang?

Semua fenomena dijelaskan adalah risiko tidak boleh dipandang ringan. Ia mendatangkan ancaman kesihatan dan kepada individu dan juga risiko integriti alam sekitar yang akhirnya boleh mengancam kelangsungan hidup manusia.

Ingatlah, virus yang terus mengganas dan destinasi yang teruk tercemar boleh memungkinkan tahun ini menjadi musim terakhir kita pergi melancong.

Pensyarah Kanan Jabatan Taman Alam dan Rekreasi, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X