Selasa, 14 September 2021 | 10:30am
Hak sebagai pengundi dalam pilihan raya dan celik demokrasi perlu didedahkan kepada generasi muda.
Hak sebagai pengundi dalam pilihan raya dan celik demokrasi perlu didedahkan kepada generasi muda.

'Skop politik anak muda bukan soal kepartian sahaja'

Malaysia melakar sejarah apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan had umur calon bertanding bagi pilihan raya kepada 18 tahun.

Akta ini tercetus kerana kajian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mendapati ramai golongan ini tidak mendaftar sebagai pengundi apabila mencecah usia 21 tahun.

Susulan Pindaan Perlembagaan berkenaan, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang dijangka menyaksikan pertambahan 50 peratus daripada 14.9 juta pengundi pada PRU-14. Jumlah pengundi pada PRU-15 diunjur mencecah 22.5 juta, selepas diambil kira pertambahan pengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik.

Kajian saya pada 2020 menunjukkan 64.5 peratus golongan muda kurang berminat dengan politik. Mereka menganggap politik lebih dikaitkan dengan sesuatu yang negatif dan salah laku.

Isu golongan muda kurang berminat dengan politik juga fenomena sejagat, bukan hanya di Malaysia, tetapi juga di negara maju.

Kebetulan semasa kajian dilakukan, kemelut politik negara penuh dengan 'drama' dan adegan lompat parti, menyebabkan anak muda berasakan politik penuh ketidakjujuran serta mengutamakan kuasa.

Namun, sebahagiannya pula menganggap adegan lompat parti sebagai dinamika politik yang mula diterima masyarakat walaupun penuh perdebatan.

Sebenarnya, ramai menganggap anak muda seusia 18 tahun belum matang untuk menceburi bidang politik, apatah lagi diangkat sebagai pemimpin atau mampu bertanding dalam pilihan raya. Timbul persoalan, sejauh mana mereka yang berusia 18 tahun boleh menentukan pilihan sendiri pada pilihan raya nanti?

Namun, jika diteliti secara empirikal, anak muda sebenarnya sudah 'berjinak' dengan politik negara. Namun kerana wujudnya larangan sebelum ini untuk mereka menceburi politik, menyebabkan pembabitan mereka agak terhad.

Mereka mengikuti perkembangan dan citra politik melalui media sosial. Mereka tidak berada di lapangan atau duduk di ceramah politik, tetapi pengikut tegar secara alam maya di Facebook, Instagram, YouTube dan media sosial lainnya, yang diakui sarat dengan kempen oleh parti politik.

Persoalannya, kalau kita menganggap 18 tahun belum cukup matang, kenapa di Malaysia usia itu melayakkan seseorang untuk membayar cukai, memohon lesen perniagaan, memohon pinjaman kewangan atau menyertai pasukan polis dan tentera.

Pada usia sebegini juga, mereka sudah layak berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri serta menandatangani sebarang kontrak.

Berdasarkan fakta ini boleh dikatakan usia 18 tahun sudah boleh diberi tanggungjawab yang serius mengikut perundangan negara. Ini membuktikan mereka layak menjadi pengundi, apatah lagi pemimpin.

Sebenarnya, anak muda berusia 18 tahun sudah matang dan kitalah yang mematangkan mereka. Cuma, pertambahan golongan muda sebagai pengundi ini harus bergerak seiring pendidikan politik yang meningkatkan kesedaran mereka tentang pentingnya sistem politik dalam negara bagi menjamin kelangsungan pemerintahan dan sistem demokrasi diamalkan di negara ini.

Ilmu politik dan demokrasi serta kepentingan politik kepada negara ini perlu menjadi tunjang utama pendidikan politik.

Anak muda perlu didedah dan diberi pendidikan khas mengenai kepentingan pengundian dan hak sebagai warga negara untuk menentukan masa depan negara. Kursus, ceramah atau modul pendidikan ilmu politik ini perlu bebas daripada elemen politik kepartian, kempen atau penyebaran sentimen kebencian bagi meraih manfaat politik mana-mana pihak.

Apa yang perlu ditekankan kepada golongan muda adalah mengenai kepentingan politik dan mengundi dalam pilihan raya. Mereka perlu memahami sejarah penubuhan negara dan bagaimana kuasa politik yang stabil boleh membantu membangunkan ekonomi negara.

Asas pembentukan negara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menjadi fokus utama supaya timbul dalam minda mereka semangat patriotisme dan perasaan cintakan negara. Usaha ini perlu disegerakan memandangkan pilihan raya umum akan menjelang tiba. Semua pihak perlu menggembleng tenaga bagi memastikan anak muda memahami dan menghayati kepentingan ilmu politik, demokrasi dan hak sebagai pengundi dalam pilihan raya.

Tanggungjawab ini bukan hanya ditanggung SPR, tetapi semua pihak terutama yang berhubung secara langsung dengan golongan muda ini seperti parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berwajib.

Peranan sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) juga dilihat lebih relevan dan sesuai untuk melaksanakan program meningkatkan kesedaran 'celik demokrasi'. Ini termasuk melalui penganjuran dialog, wacana atau penambahbaikan kepada silibus pengajian sedia ada.

Dalam hal ini, syarat utama adalah semua pihak perlu berlapang dada dan tidak mengambil kesempatan mempengaruhi anak muda mengundi pihak atau parti politik tertentu. Untuk mematangkan mereka, biarkan mereka sendiri menggunakan kematangan, kebebasan dan hak demokrasi masing-masing untuk menentukan calon mana yang akan mereka undi.

Sebenarnya, keterlibatan dalam politik tidak wajar disempitkan skopnya kepada persoalan kepartian semata-mata, tetapi ia tanggungjawab seseorang warganegara untuk kelangsungan pemerintahan dan pentadbiran negaranya.

Golongan muda perlu dikisah dan dipasak bahawa elemen kestabilan politik sangat penting bagi menjamin perpaduan kaum, kesejahteraan rakyat dan keamanan negara. Hanya dengan kestabilan politik, mereka dapat menikmati pembelajaran bersistematik, baik dan selesa. Keharmonian dan perpaduan kaum adalah kunci perkembangan dan pembangunan negara.

Golongan muda perlu diberikan ruang dan peluang dalam bidang politik dan ia bermula dengan memastikan mereka turun mengundi pada pilihan raya akan datang.

Profesor di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X