Isnin, 13 September 2021 | 10:31am

Pastikan transformasi Parlimen bukan sekadar retorik politik

Hari ini Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 bermula. Mesyuarat ini bakal berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Oktober depan.

Tiga institusi penting menjadi tiang seri kepada sistem demokrasi, iaitu legislatif atau Parlimen, eksekutif atau kerajaan dan kehakiman. Ketiga-tiga institusi ini mempunyai peranan yang sangat jelas dan tersendiri.

Selepas Revolusi Perancis pada 1789, muncul doktrin pengasingan kuasa yang membahagikan kuasa antara Parlimen, eksekutif dan kehakiman. Revolusi ini turut menamatkan sistem feudal yang didakwa membawa banyak keburukan kepada aspek keadilan dan kebebasan manusia.

Di Malaysia, kita melaksanakan doktrin pengasingan kuasa secara fungsian. Parlimen bertanggungjawab menggubal undang-undang, manakala eksekutif melaksanakan undang-undang yang digubal dan kehakiman berperanan mentafsir undang-undang.

Namun, dari segi pelaksanaan, doktrin pengasingan kuasa ini tidak berlaku sepenuhnya apabila ahli eksekutif juga adalah ahli Parlimen pada waktu yang sama. Dalam kata lain, pihak yang melaksana undang-undang adalah mereka yang menggubal undang-undang. Situasi ini dinamakan sebagai pertindanan kuasa.

Sudah tentu kerajaan yang melaksanakan undang-undang akan mengenal pasti undang-undang yang diperlukan dan kemudian dibawa ke Parlimen untuk dibahas, sekali gus diluluskan. Apabila datang kerajaan yang lain, undang-undang terbabit akan dimansuhkan jika bercanggah dengan dasar mereka.

Contoh paling jelas adalah bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diluluskan di Parlimen semasa era kerajaan Barisan Nasional (BN). GST digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Perubahan undang-undang yang bertitik tolak daripada inisiatif kerajaan boleh membawa kebaikan jika ia menjadikan suatu undang-undang lebih baik dan berkesan. Namun, jika sebaliknya ia boleh memberi beban kepada rakyat.

Justeru, transformasi Parlimen sebenarnya perlu bermula dengan memerdekakan institusi ini daripada bayangan eksekutif. Bagaimanapun tidak dinafikan, usaha ini berhadapan cabaran apabila undang-undang yang dibawa oleh kerajaan ke Parlimen perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan Kabinet atau Jemaah Menteri.

Sebelum ini, institusi Parlimen sudah mengalami pembaharuan bagi mengurangkan pengaruh eksekutif. Antaranya melalui pembentukan enam jawatankuasa pilihan khas ke arah memartabatkan kedudukan Parlimen.

Ini termasuk pewujudan Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang, Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri, Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antara Negeri dan Persekutuan, Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender yang menjadikan fungsi Parlimen melangkaui persidangan semata-mata.

Transformasi Parlimen tidak boleh terhenti dengan inisiatif pembaharuan ini, malah perlu diteruskan. Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tawaran untuk melaksanakan transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan baru-baru ini, ia perlu disokong.

Transformasi ini sangat kritikal kerana ia bukan sahaja boleh menambah baik amalan dalam demokrasi, tetapi membawa kepada politik baharu yang lebih dinamik.

Tawaran transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan diumumkan Perdana Menteri meliputi Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti dan pelaksanaan Undi 18 dalam tempoh terdekat dengan satu RUU Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.

Selain itu, pindaan Perlembagaan Persekutuan akan diusaha untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, manakala keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen membabitkan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang;

Setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama, ahli parti pembangkang dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan; manakala Ketua Pembangkang bakal diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Sebahagian tawaran ini sebenarnya pernah diumumkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mahu mendapatkan sokongan termasuk daripada parti pembangkang untuk mengekalkan kerajaan terdahulu.

Namun tawaran ini ditolak pembangkang dan akhirnya membawa kepada peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Jika tawaran transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan ini dapat dipenuhi dan dilaksanakan, ia boleh memberi impak besar kepada politik negara. Lima impak utama boleh dikongsikan di sini, iaitu:

l Pertama; ia dapat menstabilkan politik negara apabila ahli Parlimen tidak boleh lagi sewenang-wenangnya melompat parti demi kuasa dan kepentingan peribadi. Tindakan lompat parti sangat jelas tidak menghormati mandat yang diberikan oleh pengundi pada pilihan raya.

l Kedua; meningkatkan penyertaan politik dalam kalangan pengundi muda berusia 18 tahun. Keberkesanan demokrasi berlaku apabila wujud penambahan jumlah penyertaan politik. Namun, akses dalam demokrasi perlu diseimbangkan dengan aspek kualiti melalui pendidikan politik kepada belia khususnya.

l Ketiga; mengelak amalan autokrasi dan kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa apabila seseorang ketua kerajaan atau Perdana Menteri berkhidmat terlalu lama. Amalan ini lebih awal dimulakan di beberapa negara apabila mengehadkan tempoh Presiden hanya dua penggal seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia.

Mengehadkan tempoh jawatan penting untuk governan yang baik, meskipun selepas Tun Dr Mahathir Mohamad (1981 hingga 2003 - 22 tahun) tidak ada Perdana Menteri yang berkhidmat melepasi 10 tahun.

Mereka ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi (2003 hingga 2009 - 5 tahun), Datuk Seri Najib Razak (2009 hingga 2018 - 9 tahun), Dr Mahathir (2018 hingga 2020 – 22 bulan) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (2020 hingga 2021 – 17 bulan).

l Keempat; mewujudkan konsep kepembangkangan berfaedah apabila peranan pembangkang dimurnikan untuk membantu negara dan bukan mengkritik serta menghentam kerajaan semata-mata. Peranan pembangkang yang bersifat konstruktif menjadikan amalan demokrasi lebih matang, sekali gus menguntungkan rakyat.

l Kelima; mengiktiraf kepemimpinan pembangkang dengan kedudukan sewajarnya. Dalam demokrasi, ketua pembangkang juga dianggap sebagai Perdana Menteri menunggu jika memenangi pilihan raya dan mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen. Perdana Menteri kita sekarang juga dahulunya pernah berperanan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Semua tawaran dalam transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan ini bakal menentukan landskap politik baharu negara. Ahli Parlimen yang bakal bersidang mulai hari ini perlu membuktikan bahawa mereka mahu berubah dan berkorban kepentingan demi masa depan Malaysia yang lebih baik.

Tuntasnya, transformasi ini amat bergantung kepada iltizam politik dalam kalangan ahli Parlimen dan ahli politik. Jika tidak, ia hanya kekal sebagai retorik yang indah untuk didengar dan diulang saban tahun.

Selamat bersidang wakil rakyat. Bekerjalah bersama rakyat.

Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X