Sabtu, 24 Julai 2021 | 10:30am
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Kawalan kes, imuniti kelompok faktor utama pemulihan ekonomi

Sejak Mei lalu, peningkatan kes COVID-19 semakin mendadak. Terkini, negara merekodkan angka jangkitan harian tertinggi dengan 13,215 kes pada 15 Julai lalu.

Meskipun demikian, trend peningkatan kes positif COVID-19 bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan di negara jiran juga.

Beberapa negara di Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand turut berdepan situasi sama apabila menunjukkan bilangan jangkitan membimbangkan, di samping penularan varian baharu yang disifatkan lebih ekstrem seperti varian Delta.

Rentetan kes positif semakin meningkat, Bank Dunia menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2021 sebanyak 4.5 peratus pada Jun, jauh lebih rendah berbanding unjuran 6.0 peratus diumumkan pada Mac sebelum ini.

Pada masa ini, beberapa petunjuk makroekonomi yang utama masih mencatatkan peningkatan memberangsangkan pada lima bulan pertama tahun ini, meskipun dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilihat mempunyai impak lebih rendah terhadap ekonomi negara berbanding PKP 1.0 yang dilaksanakan tahun lalu.

Dari segi sektor luaran, jumlah eksport barangan Malaysia pulih sebanyak 31.1 peratus pada lima bulan pertama 2021, setelah menguncup sebanyak 10.8 peratus pada tempoh sama tahun lalu, dipacu sektor pembuatan dan pertanian.

Begitu juga, jumlah import yang meningkat 20.1 peratus daripada penguncupan 7.5 peratus pada tahun sebelumnya, menyebabkan lebihan dagangan meningkat kepada RM92.8 bilion berbanding RM43.7 bilion.

Perkembangan ekonomi domestik pula seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) berkembang sebanyak 14.9 peratus bagi tempoh lima bulan pertama 2021, berbanding penurunan sebanyak 10.8 peratus bagi tempoh sama 2020, didorong prestasi lebih baik oleh indeks pembuatan dengan peningkatan sebanyak 19.6 peratus. Ini disebabkan permintaan memberangsangkan bagi produk elektrik dan elektronik (E&E). Prestasi sektor luaran dan tempatan yang baik seharusnya dapat memberikan impak positif kepada KDNK 2021.

Sementara itu, kerajaan dilihat terus melaksanakan dasar fiskal mengembang dalam usaha mengurangkan kesan negatif disebabkan COVID-19 terhadap ekonomi domestik.

Sejak 2020, kerajaan mengumumkan beberapa siri pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi bernilai keseluruhan RM530 bilion yang merangkumi RM83 bilion suntikan langsung fiskal.

Selain itu, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merangkumi empat fasa mampu memastikan kerajaan dapat melaksanakan perancangan lebih tersusun dalam mendepani COVID-19 tahun ini.

Di samping itu juga, penambahbaikan dan peningkatan keupayaan proses suntikan vaksin yang mencecah purata semasa antara 300,000 hingga 400,000 dos sehari seharusnya dapat memastikan sasaran 80 peratus populasi rakyat negara ini lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 menjelang akhir tahun ini, akan dapat dicapai.

Setakat kelmarin, negara mencatatkan 21.8 peratus penduduk sudah mendapat vaksinasi penuh dan 46.7 peratus pula memperoleh sekurang-kurangnya satu dos. Ini pencapaian yang baik bagi mencapai imunisasi kelompok dalam usaha membawa negara keluar daripada kemelut pandemik COVID-19. Meskipun demikian, ekonomi domestik dijangka berada dalam keadaan lemah berikutan langkah PKP 3.0 yang dilaksanakan sejak Mei tahun ini.

Situasi PKP ini dilihat akan memberi kekangan kepada ekonomi untuk beroperasi secara penuh. Ini dapat dilihat melalui statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 9 Julai, yang mana terdapat peningkatan dalam bilangan mereka yang kehilangan pekerjaan pada Jun, iaitu sebanyak 1,894 orang kepada 5,621 orang.

Justeru, faktor ini akan memberi kesan negatif terhadap penggunaan swasta yang menjadi komponen utama dalam pengiraan KDNK negara. Oleh itu, pertumbuhan KDNK dijangka bergerak pada kadar lebih perlahan pada separuh tahun kedua 2021 berbanding jangkaan sebelum ini.

Sementara itu, sentimen dalam kalangan pengeluar juga merosot berdasarkan indikator Indeks Pengurus Pembelian (PMI) IHS Markit dalam sektor pembuatan. Prestasi industri pembuatan Malaysia susut kepada 39.9 mata pada Jun berbanding 51.3 mata yang dicatat pada bulan sebelumnya. Kejatuhan indeks PMI bagi sektor pembuatan Malaysia adalah disebabkan langkah pelaksanaan PKP 3.0 yang memberi kesan kepada tahap pengeluaran dan tempahan yang semakin sederhana.

Sehubungan itu, dijangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang 4.2 peratus pada 2021 berbanding penguncupan 5.6 peratus yang dicatatkan pada tahun lalu, disokong prestasi eksport lebih baik hasil permintaan global untuk barangan pembuatan terutamanya semikonduktor.

Bagaimanapun, ia sedikit perlahan berbanding unjuran awal 5.0 peratus sebelum ini. Selain itu, Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa pada kadar 1.75 peratus dilihat sudah memadai untuk membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negara sehingga akhir tahun ini.

Akhir kata, perkembangan ekonomi yang seterusnya amat bergantung jumlah kes baharu, program pemvaksinan serta tempoh masa diperlukan untuk mencapai imuniti kelompok.

Memang benar, bantuan kerajaan perlu diteruskan dan diberi kepada yang terkesan. Namun, bantuan terbabit akan menjadi kurang bermakna sekiranya ekonomi kita masih ditutup.

Disamping itu, suasana pandemik ini memberi kita 1,000 pengajaran mengenai erti kelangsungan hidup. Antaranya, berada di zon selesa adalah sesuatu yang perlu kita elakkan sepenuhnya.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus sentiasa bersyukur dan bersikap positif. Dengan mengambil pendekatan sedemikian, kita akan cenderung berfikir dan mencari jalan keluar kepada permasalahan dihadapi.

Selagi nyawa dikandung badan, kita perlu sentiasa meningkatkan usaha untuk memperbaiki diri demi kelangsungan kehidupan yang lebih lestari.

Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad

Berita Harian X