Jumaat, 23 Julai 2021 | 10:30am
Penyertaan lebih banyak penaja mampu mendatangkan pulangan pelaburan untuk sukan pelayaran negara.
Penyertaan lebih banyak penaja mampu mendatangkan pulangan pelaburan untuk sukan pelayaran negara.

Kejayaan atlet kita pemangkin Program Podium Olimpik Nasional

Menaiki podium sukan Olimpik yang berprestij sememangnya menjadi 'mimpi unggul' setiap atlet dan jurulatih mereka. Kejohanan itu turut memberi pengiktirafan kepada setiap 'Olympian' untuk diperakukan dan dihargai rakyat serta negara mereka.

Patriotisme pula membakar semangat rakyat apabila atlet mereka berdiri di tangga podium, sama ada tempat ketiga, dua atau juara untuk dikalungkan pingat, diiringi lagu kebangsaan dan kibaran bendera negara.

Hari ini, tirai Sukan Olimpik Tokyo 2020 dibuka dengan cogan kata United by Emotion dan akan dilabuhkan 8 Ogos depan, dengan semangat World We Share.

Seramai 30 atlet Malaysia akan bersaing dalam 27 acara bagi 10 sukan. Kejohanan ini menarik diikuti kerana kita ingin tahu berapa kali Jalur Gemilang akan dapat dikibarkan dan lagu Negaraku berkumandang di venue acara. Ia menandakan atlet kita menang, sekali gus menaiki podium temasya Olimpik.

Perkembangan atlet negara di arena Olimpik wajar diikuti pelbagai pemegang taruh berkaitan terutama syarikat korporat. Atlet dan potensi sesuatu acara boleh dinilai sendiri mana-mana pihak yang berhasrat menjadi penaja.

Lagipun, penyertaan atlet negara ke sukan itu bukan baharu. Untuk acara pelayaran contohnya, atlet Malaysia layak tujuh kali berturut-turut mulai Olimpik Atlanta 1996 di Amerika Syarikat (AS), diikuti Sydney (2000), Athens (2004), Beijing (2008), London (2012), Rio de Janeiro (2016) dan terkini di Tokyo.

Apakah erti atau manifestasi daripada tujuh kali berturut-turut ke Sukan Olimpik ini - tujuh kali ke Olimpik, namun belum ada pingat dibawa pulang atlet pelayaran.

Apa yang boleh dibaca ialah atlet pelayaran negara setanding wakil negara lain yang mendominasi sukan ini. Namun, kenapa mereka tidak mampu ke podium selepas terbukti berjaya memperbaiki ranking dunia selepas menyertai pelbagai kejohanan pada peringkat antarabangsa?

Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) berusaha dan melakukan yang termampu untuk membangunkan serta memajukan sukan pelayaran negara. Dengan peruntukan terhad, MSA dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) menghantar atlet menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa dan dunia, selain menjalani latihan intensif di luar negara.

Sebenarnya, atlet pelayaran memerlukan lebih banyak kemahiran yang boleh dikuasai menerusi lebih banyak latihan mahupun kejohanan.

Kami yakin, jika mereka melalui kira-kira 30 peratus lagi latihan dan kejohanan, ini mampu melonjakkan mereka sehingga ke ranking 10 terbaik dunia.

Ternyata, wang atau pembiayaan menjadi kekangan 'mimpi unggul' kami dan negara sehingga terus berteka-teki bila agaknya akan dapat meraih pingat Olimpik!

Kami yakin, prestasi atlet lawan juga memuncak kerana mereka memperoleh 'tambahan' 30 peratus kemahiran menerusi latihan dan kejohanan yang kami tidak dapat sertai disebabkan tidak mampu membiayai kosnya.

Lantas, untuk mencapai 'mimpi unggul' itu, MSA memerlukan tajaan. Nilai pulangan pelaburan (ROI) penaja adalah kebanggaan membawa atlet pelayaran menyertai pelbagai siri kejohanan berprestij antarabangsa dan dunia.

Matematik di sini ialah - jika atlet mampu ke Olimpik, maka bermakna dia mampu meraih posisi di podium atau sekurang-kurangnya 10 terbaik kejohanan. Itu antara ROI boleh dituntut penaja.

Bagi mana-mana sukan, aspek penajaan memainkan peranan sangat penting. Ia akan membolehkan atlet mencapai potensi dan prestasinya pada tahap maksimum. Penajaan juga membolehkan atlet dan penganjur fokus kepada kejohanan, bukan dibelenggu beban mencari dana diperlukan.

Agenda pembangunan sukan pelayaran bukan agenda solo MSA bersama MSN. Penaja secara jangka panjang amat diperlukan untuk melaksanakan program podium dan ini diharapkan daripada komuniti korporat yang dermawan.

Penajaan diperlukan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan kejurulatihan, penyediaan silibus latihan dan teori lebih bijak, pembelian perkakasan canggih, membangunkan penyelidikan dan sains sukan serta mempromosi sukan itu kepada massa.

Peruntukan juga perlu disediakan bagi menjadikan sukan ini mudah ditonton ramai. Antaranya, fasiliti liputan bagi setiap kejohanan menggunakan dron, selain kru bot untuk membuat siaran langsung ke skrin televisyen dan penonton di lokasi.

Ini akan menjadi penyuntik menjadikan sukan pelayaran popular seperti kebanyakan sukan lain.

Pencapaian sukan pelayaran di Olimpik juga akan meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maritim setanding negara maju yang mempunyai taraf sukan dan aktiviti pelayaran yang tinggi.

Ini sudah tentu menyumbang kepada peningkatan ekonomi menerusi peluang pekerjaan yang diwujudkan daripada pembangunan pusat marina dan kemudahan pelayaran.

Contoh di China, dengan lahirnya ramai pelayar terkemuka dunia, secara tidak langsung mendorong inisiatif pemaju hartanah dan kerajaan negara itu membina pusat pelayaran. Turut tumbuh ialah industri pembuatan bot serta aksesori dan kelengkapan pelayaran.

Ini juga akan menambahkan lagi aktiviti riadah berkait langsung dengan pelayaran dan sukan bot seperti di Australia, New Zealand, AS serta negara di Eropah.

Selepas lebih 15 tahun membina sukan ini dengan sokongan Kumpulan Johor Corporation, tiba masanya penyertaan lebih banyak pihak untuk bersama-sama menaja supaya kita mampu membuat anjakan paradigma sukan pelayaran negara.

Projek ini mungkin boleh dinamakan Program Podium Olimpik Nasional sebagai persiapan bagi Olimpik Paris 2024 dan seterusnya.

Sukan pelayaran antara sukan individu. Semua atlet negara ke Olimpik Tokyo 2020 juga mewakili sukan individu iaitu pelayaran, renang, basikal, memanah, renang, terjun, gimnastik, menembak, golf dan olahraga.

Antara publisiti menonjol kali ini ialah penajaan basikal model WX-R Vorteq kepada pelumba basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, yang dihasilkan menerusi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bernilai RM13 juta.

ROI diterima penaja ternyata berbaloi. Perkara sama turut tersirat dalam kalangan atlet pelayaran negara.

Penting diwujudkan hubungan yang segerak antara penganjur dan penaja. Menerusi persefahaman hubungan ini, kita laksanakan satu program komprehensif yang akan melahirkan lebih ramai atlet bertaraf Olimpik.

Program ini juga menuntut bagaimana penyertaan media boleh memberi publisiti dan melakukan promosi sebagai ROI kepada penaja, selain insentif cukai yang tersedia dalam pembangunan sukan negara.

Semoga atlet pelayaran melakukan kejutan membanggakan di Olimpik Tokyo 2020 sebagai pemangkin merealisasikan Program Podium Olimpik Nasional!

Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA)

Berita Harian X