Khamis, 22 Julai 2021 | 10:30am

Analisis ekonomi bukti negara tidak gagal urus impak COVID-19

Seperti negara lain di dunia, Malaysia tidak terlepas menghadapi cabaran politik, ekonomi dan sosial akibat pandemik COVID-19. Tahun lalu, ekonomi negara berjaya mengelakkan satu bentuk 'senario paling buruk' - iaitu berlakunya tahap pengangguran besar-besaran dalam tempoh panjang.

Seperti banyak negara lain di dunia, ekonomi Malaysia tahun lalu juga mengalami kemelesetan hingga menguncup pada kadar 5.6 peratus. Namun, kadar penguncupan ini tidaklah menyamai ketika krisis kewangan Asia 1997/98 yang ekonomi Malaysia menyusut pada kadar paling teruk dalam sejarah negara, iaitu 7.4 peratus.

Ekonomi Malaysia berjaya dibangkitkan semula dan pada 2017, kita sudah pun hampir mencapai status negara berpendapatan tinggi. Tahun sama juga, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar antara tertinggi di dunia.

Pelaburan asing, terutama dari China melonjak tinggi, kadar kemiskinan tegar hampir dihapuskan, pendapatan rakyat meningkat, peluang pekerjaan dijana, tahap inflasi dan kadar pengangguran juga rendah.

Kadar ketidakseimbangan dalam agihan pendapatan juga berada pada tahap antara paling rendah dalam sejarah, tahap kebahagiaan rakyat berada pada paras paling baik, tahap fiskal defisit rendah, kadar hutang terkawal, jumlah hasil negara meningkat dan keadaan politik serta sosial stabil.

Pandemik COVID-19 menghambat Malaysia ke arah satu keadaan begitu sukar yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara apabila krisis kesihatan dan ekonomi berlaku serentak.

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu dengan pelbagai variasi merencatkan ekonomi negara.

Walaupun pada Jun lalu, sekatan pergerakan penuh atau total lockdown dilaksanakan, kita dapat lihat kadar jangkitan harian semakin meningkat, malah kini melebihi 11,000 kes sehari. Kadar kebolehjangkitan juga tidak menampakkan penurunan dan sistem kesihatan negara terus tenat dari semasa ke semasa.

Hakikatnya, apabila sektor ekonomi dan sosial ditutup sepenuhnya ataupun dihadkan, keadaan ekonomi serta perniagaan akan terjejas teruk. Akibatnya, ramai hilang mata pencarian, dibuang kerja, perniagaan terpaksa gulung tikar, gaji dipotong separuh dan ada pula terpaksa mengambil cuti panjang tanpa gaji.

Tahun lalu sahaja, kadar kemiskinan negara meningkat ke paras 8.4 peratus. Selain itu, sekitar 600,000 golongan M40 tergelincir menjadi B40, hutang isi rumah sudah berada pada sekitar 93 peratus dan kadar pengangguran pada Mei 2020 sudah pun mencecah 5.3 peratus. Kadar pengangguran generasi muda pula semakin meningkat, manakala fenomena underemployed pula semakin meruncing.

Tahun ini pula, keadaan dijangka lebih teruk dengan munculnya varian baharu virus COVID-19. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) juga baru-baru mengeluarkan kenyataan dunia kini dalam tempoh sangat bahaya akibat munculnya varian membimbangkan (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI) yang mengakibatkan kes jangkitan seluruh dunia mengalami trend peningkatan.

Di Malaysia pula, dengan penerusan PKP dan banyak kawasan di beberapa negeri terutama Selangor serta Kuala Lumpur melaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD), ia dijangka melumpuhkan lagi prospek pemulihan ekonomi Malaysia dalam masa terdekat ini.

Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dianggarkan 580,000 perniagaan perusahaan kecil dan sederhana mikro (PKS Mikro) akan gulung tikar dan dijangka memberi kesan kepada lebih 7 juta rakyat, sekiranya mereka tidak dibenarkan beroperasi menjelang Oktober ini.

Pada ketika ini, sudah ada gerakan 'bendera putih' di negara ini, menunjukkan rakyat sudah pun begitu terdesak untuk meletakkan makanan di atas meja. Lebih merisaukan, pada ketika ini tahap kesihatan mental rakyat dianggarkan secara purata empat orang bunuh diri setiap hari sejak tiga bulan pertama tahun ini.

Persoalannya, adakah ini semua menunjukkan Malaysia menuju ke arah negara gagal? Jika dilihat sudut ekonomi, tidak sama sekali.

Pertama sekali, kita perlu menganalisis keadaan ekonomi negara dalam perspektif betul. Memang benar, Bank Dunia menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.5 peratus daripada 6 peratus sebelum ini.

Hakikatnya, dengan mengambil kira semua faktor ini, ekonomi Malaysia pada tahun ini dijangkakan berkembang, bukannya menguncup. Pada Mac lalu sahaja, ekonomi Malaysia sudah berkembang pada kadar 6 peratus.

Bank Dunia juga, dalam unjuran dibuat, menjangkakan ekonomi Malaysia akan bertumbuh pada kadar 5 peratus tahun depan. Jadi, ini jelas menunjukkan Malaysia bukanlah menuju ke arah negara gagal.

Ketika ini, Malaysia juga mempunyai kedudukan fiskal stabil. Walaupun sasaran fiskal defisit 5.4 peratus diunjurkan pada Belanjawan 2021 tidak dapat dicapai, kadar defisit pada sekitar 6 hingga 6.5 peratus masih lagi dilihat sebagai stabil.

Negara lain di dunia juga berbelanja besar untuk menyelamatkan rakyat dan ekonomi mereka akibat impak pandemik COVID-19. Singapura misalnya, dijangka merekodkan kadar defisit fiskal melebihi 15 peratus tahun ini.

Badan penarafan kredit antarabangsa seperti S&P dan Moody's juga mengekalkan penarafannya terhadap kedudukan kredit negara. Ini bukanlah ciri-ciri negara gagal dari sudut ekonomi.

Kerajaan pula sudah memperuntukkan lebih RM800 bilion, iaitu dengan lapan pakej rangsangan ekonomi dan juga Belanjawan 2021 untuk menangani cabaran pandemik COVID-19 ini. Peruntukan ini boleh ditambah lagi pada masa depan memandangkan tahap hutang negara masih dalam keadaan terkawal, iaitu di bawah 60 peratus KDNK negara.

Kerajaan juga mempunyai perancangan dan strategi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi pada masa depan seperti pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) negara baru-baru ini, yang dijangka mewujudkan banyak lagi peluang pekerjaan dan perniagaan, terutama kepada generasi muda.

Program vaksinasi juga sudah berada pada tahap begitu baik yang tahap imuniti kelompok dijangka dapat dicapai seawal September ini.

Walaupun jelas Malaysia tidak menuju ke arah negara gagal, isu dan cabaran dihadapi negara ketika ini, terutama keadaan ekonomi, sosial serta mental rakyat perlu diberi perhatian segera dan menjadi fokus utama berbanding perkara lain.

Semua pihak perlu teguh bersatu supaya kita dapat menang bersama melawan pandemik ini.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X