Rabu, 21 Julai 2021 | 10:30am
Sebarang keputusan perlu memberikan kesan positif kepada TH, pendeposit, pemegang taruh dan umat Islam.
Sebarang keputusan perlu memberikan kesan positif kepada TH, pendeposit, pemegang taruh dan umat Islam.

Pastikan usaha tukar status TH tak abai matlamat penubuhan

Keputusan kerajaan meletakkan Tabung Haji (TH) sebagai institusi dikawal selia dilihat mampu untuk meningkatkan tadbir urus institusi itu, tetapi terdapat keperluan untuk kerajaan mengadakan rundingan dan perbincangan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakannya.

Sebahagian NGO melahirkan kekhuatiran mengenai keputusan meletakkan TH sebagai institusi kewangan Islam di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI), sekali gus meminta kerajaan mendapatkan pandangan semua pihak termasuk daripada pakar.

Hakikatnya, ia keputusan besar dan memerlukan lebih banyak rundingan dan konsultasi dengan pelbagai pihak terbabit. Apatah lagi pada 14 Julai lalu, kerajaan sudah mengumumkan pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020.

Justeru, cadangan NGO supaya kerajaan menyelesaikan terlebih dahulu RCI boleh dipertimbangkan kerajaan kerana hasil dapatan suruhanjaya diraja itu boleh dijadikan indikator penting terhadap penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam konteks pengurusan dan operasi TH.

Apapun, keputusan kerajaan meletakkan TH sebagai institusi dikawal selia badan pengawal seliaan tadbir urus organisasinya sudah pun dilaksanakan sebelum ini.

Contohnya, Permodalan Nasional Berhad (PNB) diletak di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), tetapi ia masih dapat menjalankan fungsi asal penubuhannya dalam memakmurkan agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera.

Begitu juga ada institusi kewangan dikawal selia Bank Negara, tetapi masih di bawah pengurusan sendiri seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) yang dikawal selia Kementerian Kewangan (MoF).

Pada masa sama, terdapat institusi kewangan dikawal selia Bank Negara di bawah APKI yang terus wujud dan bergerak dengan kerangka perundangan sendiri seperti Bank Rakyat di bawah Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978.

Ia menjadikan Bank Rakyat ditadbir Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi memastikan entiti terbabit dapat memaksimumkan amalan tadbir urus baik dan berintegriti.

Harus diingat, skop 'kawal selia' oleh Bank Negara dalam konteks TH membabitkan aktiviti pengambilan deposit, pengurusan risiko, tadbir urus korporat dan ketelusan. Ini bermaksud lembaga pengarah masih boleh berfungsi sebagai pengaturan kendiri.

Dari segi urus tadbir pula, ia memerlukan Bank Negara memantau dan membuat audit ke atas operasi TH. Perkara ini sama seperti Bank Negara melaksanakan audit kepada semua bank komersial lain.

Pelaksanaan audit dapat membantu dalam mengatasi isu berkaitan penyelewengan, ketirisan atau salah guna kuasa dan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan berterusan bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan dan operasi TH.

Bank Negara mempunyai pengalaman luas, termasuk pasukan dilatih profesional dalam membuat pemantauan terhadap pengurusan dan operasi bank sebelum ini. Tentu sekali pengalaman ini boleh diimplementasikan pada peringkat pengurusan dan operasi TH.

Langkah ini membantu mengesan lebih awal jika berlaku salah laku membabitkan penyelewengan, ketirisan atau salah guna kuasa dan langkah pembetulan dapat dilaksanakan segera.

Sebarang kesilapan menguruskan dana TH boleh memberikan impak besar kepada pendeposit, iaitu umat Islam di negara ini.

Oleh itu, langkah pembetulan segera akan memberikan kesan positif kepada TH dan berpotensi meningkatkan kepercayaan, seterusnya memberikan keyakinan kepada umat Islam untuk menyimpan wang di TH.

Penegasan juga dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa TH akan memastikan peranan utamanya adalah menjaga kebajikan dan kepentingan jemaah haji serta tanggungjawabnya kepada 8.3 juta pendepositnya. MoF turut menegaskan kerajaan tetap memberi jaminan terhadap simpanan pendeposit.

Oleh itu, TH perlu kekal dipandu Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), bukan bertukar arah sebagai entiti korporat semata-mata. TH wajar mengguna pakai model Bank Rakyat yang kekal di bawah perundangan sendiri sebagai institusi kewangan istimewa.

Walaupun dikawal selia di bawah APKI, fungsi dan hala tuju institusi masih kekal di bawah kementerian berkaitan bagi meneruskan tanggungjawab, polisi serta fungsi strategik ditetapkan kepada pemegang taruh.

Terdapat kerisauan terhadap keputusan meletakkan TH sebagai institusi kewangan Islam ditetapkan atau prescribed Islamic financial institution dikawal selia Bank Negara seperti dari segi penetapan pembayaran hibah kepada pendeposit.

Namun, berdasarkan kenyataan Menteri Kewangan, setiap aktiviti pelaburan TH perlu patuh syariah dan penilaian pelaburan dilaksanakan melalui proses teliti serta telus seperti amalan institusi dana lain dengan penubuhan panel pelaburan dianggotai individu dengan latar belakang dan kepakaran dalam bidang kewangan serta pelaburan.

MoF juga menyatakan langkah ini bertujuan memastikan pelaburan dibuat teratur dan berpandukan risk appetite TH serta dapat menjamin pembayaran hibah dibuat selaras ketetapan di bawah peruntukan Seksyen 22(3) Akta 535. Perkara ini akan dapat memastikan pembayaran hibah dilaksanakan teratur dan menepati syarat ditetapkan.

Walaupun TH dicadangkan sebagai institusi kewangan Islam ditetapkan, kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) masih kekal ke atas TH dan dibantu Bank Negara dalam konteks pemantauan pengambilan deposit, pengurusan risiko, tadbir urus korporat dan ketelusan.

Ini bagi memastikan tanggungjawab, hala tuju dan matlamat TH kekal relevan serta kepentingan pendeposit terjaga. Diharapkan perbincangan berterusan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Menteri Kewangan, Bank Negara dan TH akan mengambil kira sensitiviti pendeposit serta pemegang taruh lain.

Ia juga bagi memastikan tadbir urus baik akan memberi kesan positif dan menggembirakan rakyat khususnya umat Islam.

Hakikatnya, sebarang keputusan yang sudah dan akan diambil berkaitan TH akan memberikan kesan kepada umat Islam.

Perkara paling utama perlu ditekankan kerajaan adalah bagaimana keputusan ini membantu dalam memberikan kesan positif kepada TH, pendeposit, pemegang taruh dan umat Islam secara keseluruhan.

TH ialah satu-satunya institusi di negara ini mengendalikan urusan haji dengan mendapat jaminan simpanan pendeposit oleh kerajaan.

Justeru, umat Islam menaruh harapan besar kepada institusi ini agar kekal dengan tujuan asal penubuhannya, seterusnya meningkatkan tadbir urus baik serta menghindari penyelewengan, ketirisan atau salah guna kuasa yang bertentangan ajaran Islam itu sendiri.

Namun, apa yang pasti kerajaan perlu membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira pandangan semua pihak bagi menjamin masa depan institusi Islam terpenting ini untuk terus maju pada masa hadapan dengan mengekalkan tujuan asal penubuhannya, meningkatkan tadbir urus baik.

Profesor Madya Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X