Selasa, 20 Julai 2021 | 11:00am
 Bersabar menghadapi ujian termasuk berdepan pandemik bantu tingkat ketakwaan kita kepada Allah. - Foto hiasan/BERNAMA
Bersabar menghadapi ujian termasuk berdepan pandemik bantu tingkat ketakwaan kita kepada Allah. - Foto hiasan/BERNAMA

Pandemik didik umat Islam sabar, berkorban tahap tertinggi

Hari ini seluruh dunia diuji dengan pandemik mengorbankan jutaan nyawa. Dalam Islam, manusia akan sentiasa diuji Allah SWT dan hanya mereka beriman serta bersabar akan berjaya mengharunginya, bahkan akan dilimpahi pelbagai nikmat dan kelebihan di sebalik ujian itu.

Firman Allah SWT: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang sabar: (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang dilimpahi pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya." (Al-Baqarah: 155-157)

Bersempena kedatangan Aidiladha ini, ada baiknya kita mengambil teladan daripada kisah nabi dan rasul, khususnya Nabi Ibrahim AS dan keluarganya yang berjaya dalam ujian dihadapi dengan 'Islam' - bermakna menyerah diri kepada Allah SWT.

"(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepada-Ku wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam." (Al-Baqarah:131)

Ternyata kisah hidup Nabi Ibrahim AS dan keluarganya sentiasa dilingkari ujian Allah SWT demi membuktikan kepercayaan Baginda penuh keikhlasan (iman) dan penyerahan diri secara total (Islam) kepada-Nya dengan mentaati perintah-Nya serta meninggalkan apa sahaja larangan-Nya seperti dalam surah al-Baqarah ayat ke-124.

Ujian besar berlaku apabila Nabi Ibrahim AS diperintah meninggalkan anak kesayangannya yang masih kecil, Ismail AS bersama ibunya, Hajar di bumi Makkah gersang tanpa bekalan makanan dan minuman apatah lagi manusia sebagai teman.

Baginda menyahut perintah Allah SWT dengan sepenuh kepercayaan, meyakini sepenuh hati terhadap rahmat dan rezeki daripada-Nya. Kekuatan itu disokong ketabahan serta pengorbanan isteri yang juga sangat taat dan mempercayai suaminya. Cukuplah berbekalkan titipan doa kepada Allah SWT dirakam dalam surah al-Baqarah ayat ke-126.

Kemudian, selepas Ismail AS menjangkau usia boleh berjalan bersama ayahnya, Ibrahim AS; tiba-tiba datang ujian lebih besar iaitu perintah supaya Nabi Ibrahim AS menyembelih anak kesayangannya itu.

Sikapnya tetap sama, tunduk, taat dan patuh dengan penuh keimanan. Bezanya cuma pada pendekatan kerana anaknya kini sudah mula berfikir, maka diwujudkan suasana interaksi dua hala kasih sayang ayah dengan anaknya agar tidak timbul salah faham serta kekeliruan.

Hal ini dirakam dengan begitu jelas dalam al-Quran seperti firman-Nya dalam surah as-Saaffaat ayat 102 hingga 111.

Korban ialah istilah bahasa Arab bermaksud dekat atau lebih tepat, amalan dilakukan untuk mendekatkan lagi diri kepada Allah SWT. Mudah-mudahan ibadah korban kita lakukan akan berjaya mencapai matlamat itu.

Seawal kisah anak Nabi Adam AS lagi, kita disajikan peristiwa mempersembahkan korban dilakukan demi mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT. Terbukti Allah SWT hanya menerima pengorbanan mereka benar-benar bertakwa dan ikhlas kepada-Nya.

Seterusnya peristiwa demi peristiwa dilalui nabi dan rasul terdahulu sarat ujian dan berakhir dengan pengorbanan untuk dijadikan pengajaran dan inspirasi buat umat terkemudian.

Ibrah dan pengajaran kisah nabi dan rasul yang pelbagai itu, jelas mengajar kita bahawa ujian, kesulitan dan cabaran mereka lalui pasti ada penyelesaiannya. Asasnya, bersabarlah dengan ujian, perbanyakkan doa dan bersegera meningkatkan amal adalah pendekatan terbaik mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagai jalan keluar sebarang permasalahan.

Bersempena kedatangan Aidiladha ini juga, kita amat dituntut melakukan ibadah korban dalam tempoh ditetapkan, bermula hari raya korban hingga hari ketiga Tasyrik. Kegembiraan pasti terpancar di wajah mereka yang dapat melaksanakannya apatah lagi apabila melihat daging korban dibahagikan semata-mata kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT: "Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal ikhlas berdasarkan takwa dari kamu...." (Al-Hajj: 37)

Usahakan untuk menunaikan ibadah korban sebagai bukti ketakwaan. Berikan yang terbaik dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT. Semoga padanya ada keberkatan dan kemudahan dalam setiap urusan kita.

Sebagai Muslim, kita yakin setiap amalan serta pengorbanan dilakukan atas dasar iman kepada Allah demi mencari reda-Nya, maka kebaikan dan ganjaran akan kembali kepada diri kita sendiri.

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS ketika peristiwa korban anaknya, Nabi Ismail AS, ialah manifestasi ketundukan dan lambang ketauhidan cukup tinggi menjunjung titah perintah Allah SWT.

Kesanggupan Nabi Ibrahim AS sebagai ayah sangat menyayangi anaknya dalam menyembelih zuriat dengan tangan sendiri dan kerelaan seorang anak dalam membiarkan dirinya disembelih semata-mata kerana menjunjung perintah Allah SWT pasti memberi gambaran jelas kepada kita bahawa ketaatan dalam melaksanakan perintah Allah SWT menjadi keutamaan tertinggi sekali pun membabitkan pengorbanan harta dan jiwa.

Semoga kesan penghayatan kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS ini akan dapat memotivasikan serta mendorong diri kita agar terus berusaha menjadi umat terbaik yang sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah SWT.

Satu persoalan perlu dilontarkan kepada diri kita; adakah kita sudah menjadi hamba benar-benar memiliki ciri-ciri pengorbanan yang menghampiri pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS?

Hakikatnya, sedar atau tidak, pandemik COVID-19 sedang mendidik umat Islam untuk sentiasa bersedia pada tahap kesabaran paling optimum dan perlu banyak melakukan pengorbanan terhadap perubahan norma kehidupan baharu.

Bersempena pelaksanaan ibadah korban disyariatkan pada Zulhijjah ini, mari sama-sama kita mengambil iktibar daripada falsafah ibadah itu dalam melakukan pengorbanan dan melipatgandakan tahap kesabaran serta kebergantungan kepada Allah SWT demi mengekang penularan COVID-19.

Insya-Allah, dengan kesabaran dalam menempuh ujian, kita akan merasai nikmat kebahagiaan.

Al-Imam Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya Zaad al-Ma'ad menyebut: "Kebahagiaan itu dicapai dengan tiga keadaan: bersabar ketika mendapat ujian, bersyukur ketika mendapat kenikmatan dan bertaubat ketika melakukan kesalahan".

Sama-sama ambil ibrah kisah pengorbanan ini agar kita semua dapat mengutamakan perintah Allah SWT mengatasi segala kehendak nafsu dan kepentingan peribadi bersifat duniawi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Berita Harian X